Friday, October 30, 2009

AKURLAH DENGAN TEGURAN



Setiap permulaan sudah pasti akan ada pengakhirannya. Kita bukannya dilahirkan sebagai immortal yang boleh hidup kekal abadi dan kekal muda seolah-olah masa itu beku untuk kita. Kita juga bukan kebal untuk menahan setiap asakan dan gelombang perubahan dunia yang bertukar bagaikan arus yang deras. Masa juga bukan milik kita kerana ia tetap berlalu meninggalkan kita walaupun kita seorang sang setia  menanti waktu.
Sepanjang hampir setahun kita semua mengembara merentasi badai dan belantara memikul tugas dan amanah yang mungkin tidak terpikul atau ada sebahagiannya merungut memikul beban yang lebih berat tidak seharusnya ditimbulkan dalam perbincangan kita kerana kita diberikan tugas dan portfolio yang berbeza. Mungkin dalam kalangan kita sudah arif dengan tugasan yang bakal diterima sebelum berkecimpung dalam organisasi MPP kerana saya mendapati anda semua cukup berbakat dalam mengendalikan setiap permasalahan.
IDEA
Setiap dari ahli tidak pernah kekeringan idea dan pendapat. Sebahagian idea mungkin boleh dianggap bernas. Setiap individu dalam organisasi memang diberikan peluang untuk melontarkan idea tetapi adakah idea yang disepakati diterima dengan baik oleh kepimpinan? Saya hanya bertanya tetapi janganlah blacklist nama saya pula. Jika kita sememangnya tidak suka menerima idea ataupun pendapat orang lain, sepatutnya awal-awal lagi kita perlu berundur dari organisasi. Hidup dalam jemaah kenalah ada adab berjemaah. Adab berjemaah sudah pastinya memerlukan pemimpin dan pemimpin sudah pasti memerlukan rakyat atau orang bawahan untuk dipimpin.
Program
Program-program yang diatur dan disediakan memang tidak mengecewakan. Bagi saya keseluruhan aktiviti yang dijalankan memuaskan walaupun ada sebahagian aktiviti tidak mendapat sambutan daripada pelajar-pelajar. Tidak mendapat sambutan pelajar tidak bererti gagal dan sambutan yang meriah tidak bermakna kejayaan. Saya tidak berhasrat untuk menyatakan senarai aktiviti yang berjalan sepanjang tahun kerana aktiviti-aktiviti itu sudah berlalu. Mengapa perlu dikenang perkara yang sudah berlalu kerana di hadapan kita masih banyak lagi ujian yang harus direntasi? Janganlah kita mengukur sambutan pelajar sebagai penanda aras berjaya ataupun gagal dalam mengendalikan program kerana kita kena faham jiwa muda selalu dahagakan hiburan. Oleh itu saya berharap kepimpinan yang akan datang janganlah hanya menyajikan aktiviti berunsur hiburan semata-mata kerana ingin menarik kehadiran pelajar yang ramai menyertai aktiviti. Satu perkara lagi kita kena faham kopun aktiviti yang dikumpulkan adalah bertujuan untuk mendapatkan kemudahan kolej. Oleh itu, bagi siswa yang melepasi bahagian 4 yang tiada jaminan penempatan kolej,oleh itu, mereka agak keberatan untuk menghadiri aktiviti yang disediakan. Memang hebat pemikiran mahasiswa yang berjiwa glocal. Istilah kirim kupon juga berlaku, pelajar-pelajar yang tidak menyertai aktiviti anjuran MPP,JPK mahupun universiti masih berpeluang mendapatkan kupon melalui teman-temannya yang menghadiri aktiviti tersebut. Adakah masih relevan sistem kupon dipraktikkan lagi di zaman IT ini?


Kerjasama
Kerjasama dan persefahaman yang ditunjukkan masih utuh bagaikan adik-beradik. Kita selalu bersama walau dalam apa jua keadaan. Kita mungkin berasa sedih kerana ada dikalangan kita yang akan graduate tahun ini, yang menjalani praktikal tetapi kita masih ada kemudahan yang membolehkan hubungan kekeluargaan terus berlanjutan. Apa gunanya kita memiliki handphone yang canggih-canggih, laman sosial yang lebih daripada satu kalau tidak digunakan untuk mengeratkan silaturrahim. Memang tidak dinafikan langit tidak selalu cerah, panas tidak akan sampai ke petang kerana ia mungkin mendung ataupun hujan di tengah hari. Jadikan hubungan itu seperti adik-beradik , adakalanya kita bergaduh, adik merajuk dengan abang, kakak yang mudah mengalirkan air mata tetapi semua itu berlalu begitu sahaja kerana eratnya kasih sayang. Janganlah ada dikalangan kita suka mensabotaj orang lain. Kita tidak boleh menentang seseorang disebabkan peribadi yang tak elok tetapi tarbiyyahlah ia untuk menjadi hamba Allah yang berakhlak mulia. Manusia mana yang tidak pernah buat silap dan salah, selagi kita bernama insan janganlah kita sombong dan angkuh kerana kita juga tidak sempurna.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud
“Tidak sempurna iman seseorang selagi dia tidak mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri”

Bagaimana ingin memupuk kasih sayang kalau hasad dengki dan berprasangka buruk menguasai hati?
Kekuatan kasih sayang hendaklah dibina dan robohkan sifat hasad dengki dan berprasangka buruk terhadap orang lain, kerana kita semua tidak jauh berbeza.memang terlalu mudah untuk mencari kelemahan orang lain kerana kita jarang muhasabah diri kita. Walaupun kedudukan kita lebih tinggi tidak semestinya kita lebih mulia, jika kita kaya bukanlah jaminan hidup yang bahagia, kalaupun kita ramai tak bermakna kita kuat. Semua ini berakar umbi kerana kita tidak menerima Islam keseluruhannya walaupun Islam ini meliputi segala aspek. Jika ada orang bertanya apa bukti yang menunjukkan kita ni orang Islam? Adakah kerana kita bangsa melayu? Kalau itu lah jawapan kita berikan maka orang arab lebih layak diiktiraf sebagai muslim kerana Rasulullah orang arab. Terimalah Islam sebagai ad-Din jangan biarkan ia hanya sebagai ungkapan yang manis di bibir.

Saya rasa cukuplah sampai di sini sahaja. Saya berharap kita semua dapat menghayati apa yang telah saya kongsikan. Saya bukanlah seorang yang mampu menjadikan kata-kata sebagai azimat dalam melontarkan setiap hujah. Bukalah mata hati kita dan nilai apa yang telah kita sumbangkan untuk diri kita, masyarakat malah yang paling utama kepada agama kita. Belajarlah daripada pengalaman kerana pengalaman banyak mengajar kita tentang kerukunan hidup. Peristiwa tidak bisa mencetuskan emosi tetapi emosi selalu menghadirkan peristiwa. Sekadar memberi pandangan, kalau ada silap dan salah saya dahului dengan sejuta kemaafan dan semoga Allah mengampuni kita dan kesalahan yang telah kita lakukan di masa yang lampau.


Monday, October 26, 2009

KEPIMPINAN DAN ORGANISASI


Setiap organisasi mesti ada seseorang yang digelar pemimpin untuk menerajui organisasi tersebut. Jika sebuah bahtera tanpa nakhoda,bagaimanakah sebuah pelayaran itu akan berlayar dengan sempurna tanpa ada orang yang mengemudinya?. Bagaimana pula yang akan berlaku jika sebuah bahtera mempunyai lebih dari seorang nakhoda?
Maka persoalan ini untuk siapa yang perlu ditujukan dan bagaimana ingin menghuraikan? Ada yang mengatakan kepimpinan peringkat mahasiswa adalah satu permulaan sebelum menerajui sebuah negara bangsa. Ada juga berpendapat pemimpin boleh dicipta. Sesetengah orang bersetuju pemimpin sejati itu adalah seseorang yang dilahirkan dengan bakat kepimpinan. Mungkin bagi kedua pendapat ini ada hujah yang tersendiri.
Pada hari ini orang tidak akan memilih pemimpin yang pelat dalam berkata-kata tetapi lebih rela memilih mereka yang kaki auta dalam memutar belitkan isu-isu. Tidak siapa pun yang rela memilih pemimpin yang bodoh tetapi kadang-kadang kita tidak menyedari ramai diantara kita telah diperbodohkan oleh sang pemimpin. Ada juga yang memilih pemimpin berdasarkan etika pemakaian semata-mata tanpa menyelidiki dahulu kocek-kocek pemimpin itu dipenuhi dengan duit rakyat.
Adakah sebuah sesebuah organisasi diwujudkan untuk meminta pertolongan dari ahli-ahlinya untuk menyenangkan orang-orang atasan? atau pucuk pimpinan yang yang dipilih dalam organisasi untuk membantu orang bawahan yang telah memberi mandat dan kepercayaan kepada mereka? Tapi inilah yang selalu terjadi orang bawahan yang memberi khidmat untuk menyenangkan pemimpin. Tidakkah kita tidak merasakan kita seperti kembali ke zaman purba untuk memberi khidmat kepada manusia seperti Firaun dan Namrud?
Setiap kali berubah pucuk kepimpinan maka berubahlah slogan yang mampu membuat rakyat terpukau ditambah pula dengan janji-janji materialistik yang tiada berpenghujung. Kini kita menyaksikan risalah-risalah 1 Malaysia bertebaran di bumi Malaysia menggantikan panji-panji Islam Hadhari yang diasaskan oleh orang Badawi. Adakah slogan yang diuar-uarkan mampu mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian?. Manakah buktinya. Bagaimana pula dengan krisis Dun di Perak untuk membutikan kerajaan komited dengan momokan mereka.
Sebagai konklusinya, marilah kita kembali kepada kepimpinan yang berteraskan Islam. Tiada ruginya kita mengamalkan Islam secara keseluruhan kerana ia akan memberikan situasi menang-menang kepada rakyat dan juga pemerintah. Memang benar Islam tidak membenarkan riba, arak, judi,dan rasuah yang sudah turun temurun menjana keuntungan kepada negara.

Wednesday, October 21, 2009

masa memang mencemburui



7.45 p.m(21 Oct 2009)
Hari ini merupakan test yang terakhir bagi coarse QMT 222. Jumaat ni ada 1 lagi test. Minggu depan 28 Oct-15 Nov 2009 akan berlangsungnya final exam bagi sesi July- Nov 2009. Minggu ni memang agak sibuk sedikit kerana perlu menyiapkan beberapa final assignment dan 26 Oct pula adalah group presentation yang wajib bagi coarse ETR 300. Jadi selesainya solat maghrib, aku harus ber sedia untuk ke dewan kuliah. Sebelum maghrib lagi aku dah membersihkan diri dan menyusun segala kelengkapan exam. Semasa perjalanan ke dewan kuliah, hujan telah turun membasahi bumi beserta dengan beberapa helai kertas yang ku bekalkan. Tanpa membuang masa, aku teruskan perjalanan.

8.00 p.m
Aku tiba di dewan kuliah 1, tempat yang akan ku duduki ujian. Seusai aku tiba ujian hampir bermula. Jadi aku mengambil tempat yang masih lagi kosong. Di kiri, kanan, depan serta belakangku adalah pelajar yang ambil ujian bagi kod QMT 216 dan paling membuatkan aku tak selesa adalah mereka di area ku semuanya siswi. Roommate ku menggunakan alas an kerusinya patah untuk beralih ke tempat lain. Jika di kira pelajar dalam kelasku hanyalah 26 orang, 20 orang lelaki dan selebihnya siswi. Tapi apakan daya terpaksa bercampur dengan kelas yang lain dan kursus berlainan. Aku memang tak pandai nak cari alasan walaupun kerusi yang ku duduki juga kurang elok. Inilah pengalaman pertama diapit oleh pelajar-pelajar siswi dalam ujian.

9.15 p.m
Alhamdulillah aku selesai menjawab dalam masa 1 jam 15 minit. Masa masih berbaki 30 minit lagi tapi aku mengambil tindakan keluar awal sejurus tamat ujian kerana tidak tahan dengan sejuk. Tambahan pula aku sangat tidak selesa dikelilingi oleh pelajar-pelajar perempuan. Masa exam juga terganggu dek kerana beberapa pelajar didapati meniru. Ini juga kali pertama aku melihat gelagat siswi meniru dalam exam. Aku masih teringat nasihat Ustazku masa dekat mrsm pt dulu yang mengatakan meniru adalah ibarat rasuah. Kita meniru sama seperti kita menerima rasuah dan memberi tiru tidak seakan pemberinya pula. Setakat ini Alhamdulillah boleh mengelak dari meniru tapi memberi tiru acap kali jugalah. Tolong kawan katakan.

9.30 p.m
Aku solat  Isyak di Masjid Uwais Al-Qarni. Kebetulan bekalan elektik terputus semasa aku dan 6 orang sahabat tengah mengambil wudhu. Jadi kami solat dalam keadaan bergelap. Mungkin bekalan terputus akibat kilat. Sesudah solat kami ke cafĂ© untuk membeli sedikit makanan. Aku hanya membeli segelas teh. Masih lagi terasa kenyang kerana aku dan beberapa kawanku telah terlebih dahulu singgah di pasar Rabu selepas tamat sesi kuliah petang. Rasanya ini adalah kali 3 aku singgah di pasar Rabu selama 2 tahun lebih di sini.

10.00 p.m
Aku terus mendapatkan laptop ku untuk menyiapkan final assignment sambil curi-curi masa menulis catatan ini. Sambil menunggu rakan dalam group ku menghantar report marketing budget, operation budget dan administration budget kerana aku perlu merumuskannya dalam financial department keseluruhannya.  Memang seronok buat kerja ramai-ramai ni, tambahan pula dah 3 bulan kami buat assignment ni bersama. Group aku tak ada siswi, jadi semua proses menyiapkan assignment di buat kat bilik aku. Bulan Ramadhan yang lalu bilik ini selalu buat majlis berbuka bersama-sama. Setakat ini sahaja dariku kali ini. Insya-Allah aku akan kongsi tentang program solat hajat dan ceramah motivasi berjudul “motivasi menghadapi peperiksa mengikut landas Islam” yang akan diadakan malam esok.

Tuesday, October 13, 2009

MENCARI KETENANGAN

Sebenarnya jariku tidak mahu berlari menekan huruf-huruf pada papan kekunci laptop tet api entah kenapa ia seakan senada dengan apa yang ingin aku nukilkan pada saat ini. Aku membuka laptop ini hanya kerana satu, mendengar suara lunak Fahd Al-Kanderi mengalunkan ayat-ayat suci al-quran. Aku pun tidak pasti kenapa aku sangat tertarik dengan pembawaannya memperdengarkan setiap bait-bait ayat suci al-Furqan(nama lain bagi al-Quran). Aku sendiri pun hilang arah, sebenarnya apa yang ingin aku muatkan blogku kali ni. Kalau bulan Ramadhan, aku banyak memperkatakan tentang bulan itu sendiri, jika di bulan Syaaban, bolehlah aku sentuh tentang nisfu Syaaban dan hari syak. Seawal menjelang Syawal, inginku berkongsi rasa mengenai kemenangan umat Islam setelah sebulan berpuasa.


Daripada tanganku ligat menyentuh keypad untuk bermain game bola, seeloknya aku menulis sesuatu yang dapat juga memberi sedikit sebanyak input dan informasi untuk aku dan para pembaca yang sudi meluangkan masa untuk sama-sama berkongsi idea dan rasa demi kebaikan bersama. Aku bukan penulis yang professional tapi hanya seorang amatur yang sama-sama mencari secebis keredhaan Maha Pencipta melalui mata pena yang masih berdakwat. Beberapa hari yang lalu aku telah masukkan satu artikel dalam blogku atas permintaan sahabatku. Tajuknya senang sahaja,’di mana manisnya?’ jika dalam artikel itu aku berkongsi dan melahir rasa kesal setelah berlalunya Ramadhan dan amalan yang dilakukan pada Ramadhan hilang entah ke mana setelah tibanya Syawal

Sumber Abu Hurairah r.a menceritakan Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

“Kenali Allah semasa anda senang, nescaya Dia mengenali anda semasa anda susah.”

(HR. Abu Al-Qasim bin Busyran:sahih)

Sebagaimana kita mudah dan selesa mengingati sesuatu yang menjadi kesayangan kita, jadi seharusnya kita mengambil roh yang sama untuk mengenali Tuhan yang menjadikan kita dari setitis air mani kepada semulia-mulia makhluk di muka bumi ini. Kita bukan sahaja di jadikan semulia-mulia makhluk hatta di berikan penghormatan untuk menjadi khalifahnya di muka bumi ini. Maka tidak cukup berbanggakah kita dipilih oleh Allah sedemikian rupa? Yang menjadi pokok persoalan ialah berapa ramai diantara kita yang bersyukur dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Komentar ku kali ini ingin bersama dengan kalian menghidupkan kembali hati-hati yang makin tenat, disusuli dengan barah akidah yang semakin nazak.

Memang sudah menjadi lumrah hidup manusia, akan mencari ketenangan atau tempat mengadu bila diasak dengan kesusahan dan kepayahan. Apabila diuji dengan kesenangan kita mudah alpa dengan fitnah dunia yang mengasyikkan dan mempesonakan. Adakah kita sudah lupa bahawa kita hanyalah perantau yang akan mengharungi perjalanan yang jauh. Sudah semestinya bagi seorang perantau seharusnya menyediakan bekalan secukupnya sebagai kelengkapan untuk mengharungi sepanjang ranjau perjalanan yang masih jauh. Dunia hanya ibarat sebuah persinggahan untuk melepaskan lelah sebelum meneruskan pengembaraan ke destinasi akhirat yang kekal abadi.

APABILA SI JAHIL BERKATA-KATA

Pilihan Raya Bagan pinang sudah pun berlalu. Kita perlu akur dengan pilihan rakyat yang masih meletakkan kepercayaan kepada calon UMNO-BN. Tidak diketahui kenapa BN masih mendapat mandat untuk terus menerajui kawasan berkenaan walaupun calon pilihan mereka telah terbukti mempunyai rekod jenayah politik wang sebelum ini. Adakah kerana beliau pernah menjadi MB selama 22 tahun menyebabkan beliau merupakan calon yang popular di sana? Ataukah kerana di sana merupakan kubu kuat BN?


Memang artikel ini agak lambat disiarkan tetapi ia tidaklah akan basi. Kepada calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar, janganlah berputus asa. Mungkin belum menjadi kenyataan lagi untuk PAS dan PR menawan Bagan Pinang. InsyaAllah PR-13 menjanjikan kemenangan kepada PAS dan PR. Biarkan BN bergembira seketika dengan kemengan itu setelah dipalit luka kalah dalam 8 PRK sebelum ini. Agak mengecewakan juga PRK Bagan Pinang di hujani dengan keganasan menjadikan pilihan raya terkotor selepas pilihan raya umum 2008.

Artikel kali ini bukan ingin mengulas tentang pilihan raya yang baru sahaja berlalu tapi ingin melahirkan rasa kesal di hati tentang kejahilan pemimpin kedua Malaysia. Adalah tidak sepatutnya terjadi kepada seorang pemimpin mendedahkan kebengongannya dalam membuat kenyataan apatah lagi beliau juga merupakan TPM dan menteri pelajaran. Kenyataannya yang menganggap istilah ‘jihad’ semata-mata untuk berperang adalah bercanggah dengan Islam sedangkan jihad itu sendiri ada banyak makna. Jika dikatakan jihadul kital barulah dimaksudkan berperang. Jihad fisabilillah yang dihantar Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan bukan bermaksud untuk berperang seperti yang didakwa oleh Muhyiddin.

Sebagai anak jati Kelantan, kenyataan pada hari-hari terakhir kempen pilihan raya yang lalu mengatakan Kelantan di bawah kepimpinan PAS selama 20 tahun terus mundur memang tidak boleh diterima. Maju sangatkah negeri-negeri di bawah pemerintahan BN? Sebagai MB Johor, beliau sendiri gagal membangunkan negeri itu sebagaimana yang sepatutnya. Walaupun Kelantan terus ditekan oleh UMNO dan kerajaan Persekutuan, negeri ini tetap teguh bertahan dan maju dengan acuannya yang tersendiri. Jika pada pilihan raya umum 2008 UMNO dengan angkuhnya meletakkan keyakinan mampu menawan Kelantan dengan menggembar-gemburkan Dr. Awang Adek Hussin sebagai MB Kelantan, Negeri Tanah Rendah Sekebun Bunga jika memenangi PRU tersebut. Tapi malangnya beliau sendiri kalah di Dun Perupok dan Parlimen Bachok. Apakan daya beliau tetap diberi penghormatan menjadi ahli kabinet di bawah teraju Najib.

Saturday, October 10, 2009

BENDA NI SENANG JE

Jika melihat pada apa yang ingin ku nukilkan, mungkin ini hanyalah satu catatan biasa. Sebahagian mereka mungkin memandang enteng tentangnya. Ada juga menyatakan bodohlah engkau ni, itu pun tak tau? Kau tak pernah belajar ke bro? sia-sia je ko masuk u, apa yang ko belajar kat sekolah dulu?Tapi bagiku ini adalah sesuatu perlu di pandang serius oleh setiap individu yang mengaku dirinya muslim. Bukan hanya meletakkannya hanya pada nama. Mungkin kita boleh berjenaka atau mengenakan sahabat-sahabat kita apabila melihat kesalahan atau kesilapan yang dilakukannya tapi lihatlah pada situasi ataupun keadaannya bagaimana.


Kadang-kadang bagi ku sendiri tiada apa yang perlu dirisaukan jika melibatkan perkara-perkara yang mungkin kelihatan simple seperti basuh tangan sebelum dan selepas makan, baca doa sebelum makan dan juga selepasnya, niat iktikaf ketika berada dalam masjid, selalu mengukir senyuman dan sebagainya. Banyak lagi amalan yang kita anggap biasa yang aku tidak nyatakan kerana jika aku berbuat demikian mungkin 100 muka surat pun belum sempat ku habiskan semua senarainya. Maksudnya di sini terlalu banyaknya amalan-amalan yang dalam sedar mahupun di luar sedar boleh mendatangkan pahala atau ‘pahala free’ kata orang kelate. Itulah buktinya sifat Ar-Rahman Allah yang selalu kita baca “Bismillahirrahmanirrahim” sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam bagi hambaNya yang bersyukur dengan melakukan solat fardu.

Tiada niat pun bagiku untuk tunding jari kepada sesiapa pun untuk cari siapa salah dan siapa betul. Al-maklum sahajalah siapa yang termakan cili dia yang merasa pedas dan siapa yang menghirup madu dialah yang menikmati kemanisannya. Aku teringat lagi kata-kata ustazku madu yang terbaik bukan senang nak dihasilkan, tapi kalau hempedu lagi senang nak dapat. Ranjau kehidupan pun begitulah juga, kita kena hadapi dulu perkara yang pahit untuk di telan sebelum kita dapat kemanisannya. Tapi ramai yang ambil jalan mudah, kalau naik kenderaan mesti nak guna jalan highway cepat sampai ke tempat di tuju. Kalaulah perjalanan ke syurga seperti jalan-jalan highway ni, senanglah nak masuk syurga. Tapi kenapa kita perlu melalui jalan yang berliku untuk sampai ke syurga. Renunglah kata-kata Amirul Mukminin Saidina Umar,” jika semua ke syurga kecuali seorang, aku bimbang seorang itu adalah aku”. Tahukah kita Umar adalah salah seorang daripada 10 orang yang dijamin Rasulullah S.A.W akan masuk syurga. Bagaimana dengan kita sahabat- sahabat sekalian? Anda yakin masuk syurga?

Seusia ini aku jarang mendapat teguran atau nasihat daripada sesiapa sahaja bermula dari kedua orang tua ku hinggalah kepada sahabat-sahabatku. Adakah aku tidak pernah buat salah? Aku bimbang akan timbul perasaan riak pada diri yang naĂŻf ini. Pernah juga aku cerita kebimbanganku kepada sahabat yang aku percayai agar aku sentiasa berada di landasan yang benar. Sebelum aku memperbetulkan orang lain adalah lebih elok aku perbaiki kekurangan yang sering menggelisahkan aku di saat aku lena di ulit mimpi dunia yang mengasyikkan. Terkadang aku tercari-cari ke mana hala tuju yang perlu aku tempuhi.

Jika aku nak bercerita, aku tidak pandai untuk menulis cerita-cerita kerana daya imiginasi aku agak rendah. Aku tidak menggemari membaca novel, jadi agak sukar untuk ku mengungkapkan ayat-ayat puitis kerana bagiku ayat-ayat Allah lebih indah bahasanya. Jika diberi tugasan sekolah berbentuk karangan, aku lebih rela membuat karangan berorientasikan rencana kerana aku menggemari karangan yang sarat dengan fakta. Apa yang jelas fakta dari ayat-ayat al-Quran pasti benar dan tiada lagi keraguan padanya. Aku juga cuba memahami intipati sebenarnya apa yang di maksudkan dengan beriman dengan kitab ?. adakah hanya sekadar melafazkannya sahaja bersama dengan sedikit bacaan terhadapnya?

Aku rasa setakat ini yang mampu aku catitkan pada saat ini. Aku merasakan jiwaku tidak serasi dengan apa yang ingin ku sampaikan. Aku mohon seribu kemaafan seandainya aku menghalakan segala pertanyaan yang aku sendiri sukar untuk menghuraikan kemelutnya

Wednesday, October 7, 2009

di mana manisnya?

Salam.


Sudah lama agaknya jari-jemari ini tidak menyentuh papan kekunci laptop. Bukan ketandusan idea tetapi masa agak membataskanku untuk berceloteh lagi. Setelah syawal menjelma, banyak amalan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan yang berlalu, hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Kini persoalan yang ingin ku ajukan pada kalian di mana perginya kemanisan madu yang kita hirup sebulan yang lalu?

Adakah kita benar-benar menjadi hamba kepada Al- Khalid ataukah kita hanya menjadi hamba kepada Ramadhan? Jika Ramadhan yang lalu menjadikan kita terikat kepada masjid-masjid mahupun surau-surau terutama 10 malam yang terawal, suka menghulurkan derma,menjamu orang berpuasa walaupun hakikatnya kita seorang yang bakhil, rajin membaca al-Quran, bersengkang mata untuk ibadah qiamullail, solat berjemaah dan sebagainya. Di mana hilang serinya. Adakah dengan ketibaan Jin Notty dan Momok The Movie(filem yang ditayangkan pada syawal) menjadikan kita mudah melupakan kelazatan dalam beribadat.

Apakah kita menjadikan ramadhan yang lalu sebagai jalan untuk mencapai hidayah Ar-Rahman ataupun menjadikannya hanya sebagai hikayat?. Adalah sepatutnya ramadhan mentarbiyyah kita untuk menjadi manusia yang tertib dan istiqamah.

Sabda Rasulullah maksudnya,

“amalan yang terbaik kepada Allah ialah yang berterusan walaupun ia sedikit”

Kita seakan menjadikan amalan berpuasa hanyalah sebagai satu fenomena Ramadhan atau lebih tepat sebagai adat turun-temurun yang diwarisi oleh nenek moyang kita. Usah lagi menyatakan perihal juadah berbuka sudah pasti ia mewarisi tingkah laku syaitan dalam amalan pembaziran. Dalam isu yang membarahkan lagi umat yang mengaku Islam adalah mereka berpuasa tetapi meninggalkan solat, mereka sabar menahan lapar dari terbitnya fajar hingga terbenam matahari tetapi gagal menahan mata dari melihat perkara-perkara mungkar, gagal menahan lidah dari umpatan dan perkataan keji.

Benarkah kita adalah umat yang mensyukuri nikmat Allah? Adakah kita hendak tunggu Allah menarik balik kurnianNya barulah kita hendak menggapai kamus kehidupan untuk mencari maksud syukur? Atau kita menunggu keputusan Allah menggantikan kita dengan dengan kaum yang lebih baik?

Firman Allah yang bermaksud

"Dan jika kamu berpaling(daripada beriman,bertaqwa dan menderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak berkeadaan seperti kamu. (Muhammad:38)

Kita harus mengakui hakikat bahawa tidak ramai orang bersyukur dengan pemberian Ilahi. Kita lebih cenderung untuk mempersoalkan dan mengeluh atas sebab kekurangan-kekurangan yang kita perolehi. Bersesuaian lah dengan firman Allah yang bermaksud:

“Dan sememangnya sedikit sekali diantara hamba-hamba- Ku yang bersyukur. (Saba: 13)

Rasanya setakat ini sahaja yang ingin ku coretkan pada saat ini. Walaupun pada diriku masih lagi meninggalkan sejuta satu pertanyaan. Tapi pada realitinya ramadhan sudah berlalu pergi. Adakah berbaloi bagiku menyambut hari kemenangan di pagi Aidilfitri? Apakah masih ada lagi yang akan datang tersedia untuk aku? Adakah Allah menerima amalan-amalan ku selama ini. Masih terpahat di fikiranku dan pasti ia menjadi pertanyaan wajib untuk aku menterjemahkan setiap pokok persoalan yang timbul dalam benak fikiran insane yang daif ini. Apa yang pasti aku sangat merindui saat- saat indah bersama bulan Ramadhan al-Mubarak walaupun adikku selalu memanggilnya sebagai Ramadhan al-Murtabak. sekian

al-quran

Listen to Quran

lawati juga