Thursday, September 30, 2010

Belajar untuk positif


 Jangka hayat semakin mengecil menuju ke tarikh lupus. tujuan hidup yang singkat ini perlu di perhalusi kerana kita setiap benda yang hidup akan mati dan kita meyakini kita akan bangkit kembali di akhirat untuk kekal abadi. Adakah ini masih lagi suatu perjalanan yang masih panjang atau ia semakin meluput? tiada siapa yang tahu dan pasti.

Setiap proses kehidupan pasti tidak boleh lari dari menerima ujian dan musibah yang melanda keatas diri kita. Jika kita mampu menghindarinya sudah pasti dugaan hidup tidak akan hinggap pada diri kita. Apa yang pasti dan perlu disedari bahawasanya kita adalah insan yang lemah. Setiap ujian yang menimpa pasti ada hikmah yang tersembunyi. Teruskan bersabar dan sentiasa bersyukur dengan apa yang telah diberikan kepada kita mungkin adalah suatu langkah yang wajar kita lakukan sebagai tanda kita tidak menyalahkan Tuhan atas takdir yang menimpa kita.

Bertindak dengan suatu perkara yang positif selalunya lahir dari akal yang sihat. membuat pertimbangan yang sewajarnya haruslah menjadi keutamaan kita kerana ia menentukan apakah langkah susulan yang bakal kita lakukan. berfikir dengan skop yang meluas merupakan satu cara terbaik dalam bereksperimen untuk mendapatkan jawapan yang terbaik. tanpa pertimbangan akal yang waras, ia bakal menyulitkan keadaan di kemudian hari.

Dengan pengembaraan hidup yang kian mencabar bakal menguji kita dengan semaksimum yang mungkin. Tiada bezanya jika kita mampu menghirup udara yang nyaman tetapi hati masih dibelenggu kegelisahan. Hati yang tenang adalah kunci untuk memulakan sesuatu dengan positif. Memupuk jiwa dan hati yang tenang mungkin sukar jika ia tidak dipupuk sejak dari kecil ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tetapi ia bukanlah sesuatu yang terlambat untuk kita memperbaiki diri kita kerana setiap manusia boleh berubah walaupun memiliki hati sekeras batu. batu boleh melentur jika selalu dititip oleh air.

Sekadar ini dahulu, artikel ini dinukilkan memandangkan diri ini kegersangan semangat dan motivasi untuk meneruskan sebuah perjalanan yang kian sukar. Perjalanan kali ini nampaknya kian beronak dan berduri. walaubagaimanapun ia perlu dirempuhi. Dan harapnya kudrat tidak pernah letih dalam mencari suatu perjalanan menuju ke pada redha Ilahi.

Sunday, September 26, 2010

Detik Diuji

Sudah seminggu kembali berpijak di bandar shah alam, berlindung di langit yang sama dari teriknya mentari, merasai kebasahan saat turunnya hujan membasahi bumi yang berkat ini. Tanpa sedari banyak waktu telah dipersiakan, bertambah dari hari ke hari menanti usia yang semakin meluput. Masa semakin hari semakin suntuk buatku kerana aku tidak mampu mengulang waktu hilang dan terbuang, terpaksa membiarkan detik terus berjalan. waktu tidak akan berhenti, detik tidak kembali

Apabila manusia diuji, itu tanda seseorang itu mendapat perhatian dari Allah, apabila manusia diuji, kita akan melihat kepada beberapa aspek, samada dia akan marah, mengeluh, berdiam atau terus bersabar. Ramai orang yang apabila diuji, dia akan marah. situasi marah akan terbentuk melalui hatinya sahaja tanpa mengeluarkan kata-kata, marah dalam hati beserta kata-kata tanda protes, dan lebih teruk lagi marah dengan hati, kata-kata dan juga bersama-sama anggota. Alangkah baiknya apabila kita diuji kita terus bersabar, bersabar dalam ketaatan kepada Allah, bersabar dari melakukan maksiat, dan juga bersabar dalam ujian.

Agak sukar untuk menilai tahap ujian seseorang memandangkan Allah menguji kita dengan ujian yang berbeza. Ada diuji dengan kesengsaraan seperti saudara kita di Palestine. Ada diuji dengan berlakunya bencana alam, seperti di Pakistan dan Kashmir baru-baru ini. Tetapi ramai yang lupa ada yang Allah uji dengan kemewahan dan kesenangan yang menyilaukan pandangan. Aku mengambil kesempatan untuk menulis kali ini memandangkan aku semakin terkeliru antara ujian kesusahan dan kesenangan, adakalanya dalam susah, Allah telah pun datangkan kesenangan, selesa dalam senang, dititik pula dengan nila kealpaan.  Ini membuatkan aku lemas gelombang yang meletakkan aku dalam dilema panjang, asyik termenung memikirkan jalan keluar dari kepompong masalah.

Friday, September 17, 2010

ambil yang baik

hari ini masih lagi dalam mood syawal. mungkin ada yang sudah mula bekerja, ada juga yang masih lagi dalam suasana cuti hari raya. cuti aku masih lagi berbaki 2 hari dan hari isnin minggu ini kuliah bakal bersambung.
Raya kali ini juga terasa sangat hambar kerana aku tidak sempat nak mengunjungi rumah kawan-kawan ku yang lama.

Agak malas nak update blog ketika di rumah kerana masalah line yang tidak jelas. Ia menbantutkan semangatku untuk menulis dan jika aku buka laptop pun hanya la sekadar mendengar muzik dan bermain strategy game.di kesempatan itu, aku hanya menghabiskan masa membaca buku-buku yang tersedia banyaknya di rumah dan beberapa buah buku yang baru di beli. armegeddon 2012 memang menarik untuk di baca, sudah separuh aku membacanya. sebuah karya yang amat menarik dengan olahan dan ulasan yang mudah difahami. aku tidak mampu untuk menulis sebaik itu dan mungkin perlu banyak lagi yang perlu di timba untuk menghasilkan karya yang baik. aku tidak gemar untuk memberi komen atau menganalisis karya seseorang memandangkan setiap manusia mempunyai pendapat dan pandangan masing-masing.

Ahad ini aku akan menempuh perjalanan hampir 9 jam dari kota bharu ke shah alam. aku bernasib baik kerana kekosongan tempat duduk masih ada walaupun aku terlewat membuat tempahan. inilah yang dinamakan rezeki. rezeki yang tidak disangka-sangka. jika bercakap tentang rezeki mungkin hari ini aku kurang bernasib baik kerana setelah selesai solat jumaat selipar ku telah lesap. terpaksalah balik tanpa selipar. mujurlah rumah dekat masjid. kerap juga aku kehilangan selipar di masjid dan ini bukan kali yang pertama. mungkin pencuri-pencuri itu mendengar nasihat khatib ambil yang baik dan tinggalkan yang buruk. jadi mereka pun ambil selipar-selipar yang baik dan tinggalkan yang kurang elok.

sekadar ini sahaja untuk kali ini, sekian.

Thursday, September 9, 2010

SeLaMaT hArI rAyA AiDiLFiTri

selamat hari raya aidilfitri diucapkan kepada semua muslimin dan muslimat di seluruh dunia. semoga lebaran ini memberi seribu makna kepada kita semua dan juga berharap ramadhan akan datang akan singgah lagi ke dalam diari kehidupan kita sekalian. ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan sempena satu syawal ini.
  • bertakbir bermulanya setelah berakhirnya bulan ramadhan sehingga sebelum solat sunat hari raya bermula pada keesokannya. ini menandakan cara kita merayakan kemenangan kita setelah sebulan kita berpuasa. kurangkan mendengar lagu-lagu raya kerana ia melalaikan kita
  • makan di waktu pagi menandakan kita sudah tidak berpuasa pada pagi itu
  • mandi sunat hari raya sebelum pergi ke masjid menunaikan solat sunat hari raya
  • mengenakan pakaian yang terbaik pada hari raya. pakaian yang terbaik bukannya bererti pakaian yang baru tetapi lebih elok jika ianya yang baru
  • mengunjungi masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya beserta dengan khutbahnya juga. orang wanita yang di datangi haid dan nifas juga di seru agar berkunjung ke perkarangan masjid bagi sama-sama meraikannya
sekadar ini sahaja perkongsian pada satu syawal ini, semoga ia memberi manfaat kepada kita semua. sepuluh jari saya susun memehon seribu kemaafan jika ada tersilap bahasa, terkasar kata, terlebih bicara yang bisa membuatkan hati terguris. sebagai manusia saya juga tidak terlepas dari silap dan salah. Allahuakbar,Allahuakbar, Allahuakbar. selamat hari raya dengan penuh kesyukuran dan semoga ramadhan kembali lagi di tahun hadapan

al-quran

Listen to Quran

lawati juga