Thursday, April 28, 2011

masa untuk berubah

salam alaik

Melihat perubahan arus dalam membina landskap politik tanah air memang seronok untuk diperhatikan. Kita disajikan dengan pelbagai ulasan dan olahan politik yang menggunakan istilah bombastic untuk menghuraikan hujah dan berbalas-balas statement. Dalam isu UUM melibatkan cukai tanah dan masalah air di Kedah kepada masalah DNA yang belum selesai lagi. Kini muncul pula polemik 1Melayu, 1 Bumi yang meloyakan. Memang utusan melayu tidak boleh dipercayai walaupun ia mengajar matematik logik 1+1 = 2. Tetapi barang kali kemungkinan jawapan itu boleh diputarbelitkan. Tidak mustahil ia terjadi. Ahli akademik yang bermain politik memang tidak boleh diterima oleh sesiapa sahaja kerana dakyah tabu yang mereka taburkan tidak membawa kebaikan dalam kelangsungan pendidikan, Naib Canselor yang beminat dalam arena politik silalah bertukar gelanggang. Ayam yang digunakan untuk bertarung untuk berlaga akan menggunakan gelanggang laga bukannya memasuki balapan berlumba kuda kerana ia tahu itu bukan venue yang sesuai dengannya. Jangan jadi kambing hitam kerana Allah sempurna menciptakan manusia sebagai sebaik-baik khalifah.

Walaupun kerajaan pusat nampak sukar digugat, tetapi kerja-kerja tidak waras Perkasa yang fanatik dalam memperjuangkan isu-isu melayu yang juga diciptakan unsur-unsur rasism oleh abang kandungnya UMNO tidak membantu pengundi muda untuk cuci tangan dengan air mutlak baru iaitu PR. Lebih segar rasanya dengan kuasa duo parti sebegini. PR sebagai alternatif kepada BN. Harus diingat tiada kuasa yang kekal di muka bumi ini selain dari Allah Yang Maha Berkuasa. Ini bukannya mukaddimah kepada UMNO yang keras kepala itu. Jika kerajaan hebat firaun boleh tenggelam, kerajaan namrud boleh rebah masakan tidak kerajaan pengikut telunjuk barat boleh hilang kukunya. Rakyat adalah kuasa utama dalam menentukan pembentukkan kerajaan dan tamadun dunia. Manakan ada seorang pemimpin tanpa rakyat di bawah. Takkan nak perintah lembu pula. Lembu bukan untuk diperintah tapi untuk dipelihara.

Kita perlu istiqamah dan yakin bahawa Islam lah penyelesaian terbaik dalam menyelesaikan segala kemelut yang melanda kita. Tetapi yang menjadi masalahnya umat Islam sendiri tidak mahu berpegang kepada Islam. Lebih tenat lagi menggunakan agama untuk mengaut keuntungan dan menjaga kepentingan seperti orang bijak pandai yahudi dan nasara yang menggunakan agama untuk mendapatkan habuan dunia. Kehidupan di dunia ini hanyalah sementara dan tidak lebih dari perhiasan semata-mata. Islam tidak suka kepada penindasan, benci kepada kezaliman, menolak kekerasan, suka kepada persaudaraan, memupuk amalan dan rasa cinta bukan sahaja kepada Allah tetapi juga sesama makhluk.

sekian sahaja


Sunday, April 24, 2011

Seseorang

salam alaik

Hari ini ada sedetik waktu terluang untuk mencoretkan sesuatu pada blog yang sudah dibiarkan kosong selama berminggu-minggu. Sedikit ruang yang ada ini sebolehnya ingin menyelesaikan beberapa permasalahan yang kian meruncing saban hari, Harapnya ia tidak akan berulat apabila hari beganti minggu, bulan berganti tahun. Jika rambut bisa beruban, usia pula kian hari makin bertambah menandakan detik waktu kita di dunia kian singkat. Hari-hari yang dilalui makin hari makin mencabar, sedetik waktu berubah, beribu debaran melanda. Adakah ini satu ujian juga ya Allah?

Bila dimaksudkan dengan seseorang ia pasti sesuatu yang istimewa pada kita. Tetapi apa yang ingin aku sampaikan tentang tajuk yang sengaja aku letakkan ialah seseorang yang mempunyai maksud dan intipati yang berbeza dari sudut makna. seseorang yang ingin aku katakan di sini ialah seseorang adalah diri aku sendiri, seseorang yang harus dipanggil sahabat, seseorang yang sepatutnya menjadi kekasih dan seseorang yang harus di miliki untuk saling melengkapi.

Diri aku
Sudah semestinya aku lebih arif siapa aku yang sebenarnya, aku tidak boleh membiarkan orang lain mengenali aku lebih dari aku tahu tentang diriku sendiri. Jika aku izinkan ia berlaku, maka aku berada dalam kecelakaan. Mana mungkin orang lain boleh menceritakan apa yang ada dalam fikiran ku sedangkan hanya Allah dan diriku sendiri yang lebih tahu apa yang terkandung didalamnya. Aku boleh meluahkan tetapi bagaimana orang lain mampu merasakan seperti mana yang aku alami. Sebab itu aku tidak mengadu kepada sesama makhluk kerana ia tidak mampu membantuku walau sedikitpun. Keyakinanku aku sandarkan sebulat-bulatnya pada Rabb yang menciptakan ku daripada tiada kepada ada. Oleh itu, ramai yang mengatakan tentang aku tetapi ternyata mereka hanya berbohong dan menduga-duga.

seseorang dipanggil sahabat
bagiku inilah yang paling sulit dan rumit untuk dikenal pasti. Jika aku perhatikan dan aku selidiki aku hanya ada sedikit sahaja yang boleh dikategorikan sebagai sahabat. Seorang sahabat akan terbuka menerima teguran apabila ditegur, berlapang dada apabila dinasihati, sanggup berkorban demi sahabat, mendahului sahabat walaupun kita lebih memerlukan. Inilah yang pelajari tentang sahabat-sahabat Rasulullah, tidak mementingkan diri, tidak menyakiti hati malah bahu membahu dalam setiap urusan. Dan hasilnya Islam mampu bersatu padu. Membawa peranan sahabat sepertimana sahabat Rasulullah dirasakan amat sukar pada hari ini memandangkan runtuhnya rasa percaya mempercayai antara satu dan yanng lain. Pupusnya semangat setiakawan sehingga rela menjadi musuh dalam selimut, menjadi api dalam sekam, menjadi pengkhianat demi mencapai kepentingan tertentu.

seseorang yang sepatutnya menjadi kekasih
Ada seseorang pernah bertanya antara lelaki dan perempuan siapa yang lebih cinta pada pasangannya. Maka aku jawab melalui satu pesanan mesej kerana semasa pertanyaan diajukan aku tidak mampu mejawab dengan tepat kerana beberapa alasan yang boleh sahaja aku biarkan. Aku suka membalas melalui mesej kerana ia lebih menjurus kepada apa yang ingin aku sampaikan. Sesiapa yang lebih mencintai Allah maka ia lebih menyayangi pasangannya. itulah yang aku nukilkan dalam mesej yang singkat. Jawapan ini juga pernah diberikan oleh saidina Hussin sewaktu ditanya soalan seumpama itu. Pada hakikat ini selayaknya menjadikan Rasulullah sebagai kekasih kita kerana baginda telah banyak berjasa kepada kita. Pengorbanannya demi Islam tidak pernah berbelah bahagi. Tanpa pengorbanan baginda belum tentu kita boleh mendapat nikmat Islam pada hari ini.

seseorang yang harus dimiliki untuk saling melengkapi.
bagi seorang lelaki untuk mencari seorang wanita yang sempurna tidak akan ditemui lagi kerana wanita yang sempurna hanyalah empat orang sahaja, Asiah permaisuri firaun, Mariam putri Imran, Siti Khadijah isteri Rasulullah dan Siti Fatimah Putri baginda. Tetapi masih ada panduan untuk mencari seseorang pendamping sebagai pelengkap dan juga penyeri kepada seorang lelaki yang bergelar sang suami bukannya boyfriend ataupun seumpamanya. kecantikan itu subjective dan mendapat pandangan dan reaksi yang berbeza, harta itu perhiasan dan ia akan berkurang dan terus berkurang, keturunan itu meceritakan susur galur keluarga dari mana ia datang dan dari nasab yang mana. sebab itu Islam mengharamkan zina kerana anak yang lahir dari hasil zina menghapuskan nasab keturunan. Agama itu adalah cara hidup, maka bagi wanita yang tidak berakhlak dan beragama, ia melambangkan wanita itu tidak bijak menguruskan dirinya. Persoalan aurat selalu dipertikaikan oleh wanita dan aku sendiri tidak faham kenapa seorang wanita muslimah tidak menghargai kenapa Allah memerintahkan supaya menutup aurat. Inginku ajukan satu persoalan, mengapa ikan yang digoreng ditutup dengan saji?

sekadar itu sahaja.

Thursday, April 7, 2011

7 April 2011

Salam alaik,

Ulang tahun kelahiran pasti akan ada suatu perasaan yang bercampur baur, antara suka dan duka. Ini adalah lumrah bagi manusia. Suka apabila kita dihargai dan berasa sedih bila rasa diri terpinggir. Sebenarnya aku jarang untuk mengambil perkembangan tentang tarikh lahirku sendiri. seperti juga hari ini aku hampir terlupa bahawa Allah memanjangkan lagi usia ku kepada umurku sekarang, 22 tahun. Pada usia sebegini banyak dugaan yang harusku tempuhi dan jihad terbesar perlu dilaksanakan untuk memerangi gelojak nafsu yang serba berkeinginan. Mohonlah semoga Allah sentiasa melindungi aku untuk selama-lamanya. Tanpa penjagaanNya aku pasti akan hanyut tanpa arah tuju seperti hanyutnya buih-buih di lautan.

Ada beberapa perkara yang telah aku programkan ke dalam fikiran aku sepanjang usia 22 tahun ini, Paling dekat adalah persediaan untuk final yang tak berapa lama lagi, selepas itu baru fikirkan apa yang harus aku lakukan untuk cuti yang lama ni, cari duit poket lebih, sudah bermain dalam fikiran. Menabung dalam perancangan masa depan perlu difikirkan disebabkan aku ingin memulakan business sendiri. Tapi perancangan untuk usia 22 ini penting untuk aku melihat ke masa hadapan yang masih panjang jika Allah izinkanku memperoleh usia yang panjang. Aku sertakan beberapa perubahan yang ingin aku pertingkatkan

  • ingin menjadi seorang pendiam
  • bersedia untuk berkorban
  • tidak menjadi orang bakhil
  • istiqamah dalam semua perkara
  • sabar
  • pemaaf
  • mencari syahid
Ada beberapa persoalan yang menjadi kebimbangan pada sesiapa sahaja termasuk aku, tetapi aku terus ketepikan buat sekian kalinya terutamanya tentang persoalan jodoh. Bukan menafikan persoalan ini tetapi ia bukan masa yang sesuai untuk aku fikirkan kecuali aku menemui empat ciri iaitu kecantikan, keturunan yang baik, harta dan agama pada diri seseorang wanita. Pada hari ini aku tidak menemuinya dan dengan gembiranya aku mudah melupakannya. Ramai yang aku temui adalah wanita bertudung tetapi bukan menjaga aurat dengan sempurna, ramai yang tabarruj. Aku tidak sanggup untuk menjadi dayus kerana neraka adalah persinggahan untuk orang dayus. Ada orang kata aku selective dan memang aku selective dalam beberapa perkara antaranya perihal jodoh dan rezeki yang halal.

Antara yang lain ialah mengenai perihal rezeki, aku tidak tahu mengenai masa depan aku, aku memang berhasrat untuk menjadi kaya tetapi dengan cara yang halal dan diredhai Allah. Tapi bagaimana? aku hanya nampak perniagaan kerana perniagaan memberikan 9/10 daripada punca rezeki dan merupakan pekerjaan Rasulullah. Aku akan cuba mengikut sunnah Rasulullah sekadar termampu. Aku kesal dengan pemimpin-pemimpin negara dengan menjadikan politik untuk bergelar hartawan. Ini bukan cara yang dibenarkan, nak kaya hendaklah dengan perniagaan bukannya dengan rasuah dan penindasan. Aku suka membaca artikel-artikel politik dan peluang perniagaan tetapi aku seperti kurang berminat untuk ulas tentang kedua-duanya sebab aku bukan pakar dan aku hanya mahu belajar. Jika ingin sampaikan sesuatu kebenaran ia adalah kewajipanku untuk sampaikan walaupun ia pahit untuk ditelan.

sekian sahaja. 

al-quran

Listen to Quran

lawati juga