Sunday, October 10, 2010

Nakhoda


Menulis kadang-kadang mampu mengurangkan tekanan, walaubagaimana pun, setiap apa yang kita nukilkan jika ia mampu memberi faedah kepada orang lain itu lebih baik dari merampu tanpa adanya asas yang benar. Bimbang takut mendatangkan fitnah, lebih-lebih lagi fitnah kepada orang yang beriman. Kali ini aku mengambil kesempatan untuk menulis untuk meredakan sedikit kegusaran yang melanda diriku saat ini. Terkadang ia membuatkan aku takut dan yang paling membimbangkan ia bakal melekakan aku pada pesona dunia yang diperhiaskan dengan begitu indah dan memukau sesiapa sahaja yang rakus pada ketamakan harta dan menganggap dunia adalah segalanya. Inginku ingatkan kembali kepada diri ini yang leka bahawa Dunia adalah persinggahan.

Sedangkan kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal. Sesungguhnya ini terdapat dalam kitab-kitab terdahulu. (iaitu) kitab-kitab Ibrahim dan Musa.
(Al-A'la:16-19)

Jadikan hidup di dunia seperti seorang musafir dan orang asing. Oleh itu kita tidak akan leka akan dunia. Ibarat seorang musafir apabila memulakan pengembaraan akan sentiasa ingat pada sesuatu tempat yang ingin dituju manakala menjadi orang asing akan selalu berwaspada akan tempat yang dilawatinya kerana mengetahui tempat yang didudukinya adalah bukan tempatnya. Jadi orang bermusafir dan asing ini akan sentiasa mematuhi segala peraturan yang telah ditentukan oleh pemerintah tempat yang dilaluinya. Begitulah juga perihal hidup di dunia, kita harus taat pada pemilik yang menciptakan dunia ini. Mana mungkin dunia yang menjadi rebutan ini tiada yang menciptakannya.

Aku seperti kalian juga, memiliki nafsu dan berkehendak kepada sesuatu, adakalanya aku mampu mengawalnya dan terkadang aku juga tersungkur. kebanyakan nukilan yang ku terbit di halaman blog ini adalah sebagai peringatan kepada ku sendiri dan kepada sesiapa sahaja yang ingin turut serta dalam mentarbiyyah hati yang sentiasa leka ini. Jika terus dibiarkan ia akan terus membuatkan kita terus leka dan terlena. Mimpi yang terbuai selalunya indah, ini yang membuatkan kita tidak mahu bangkit dari mimpi ini sedangkan apa yang kita mimpikan itu hanyalah kepura-puraan semata-mata.

Adakalanya aku tertanya-tanya pada diriku sendiri, mengapa seolah menoktahkan artikel yang hampir seiras, seperti sebuah pelayaran yang ingin menuju hanya ke tempat yang sama. Aku adalah nakhodanya dan sudah semestinya aku tahu apa tujuan aku melampiaskan sesuatu artikel yang tertulis hasil gerakan jemariku berpandukan kawalan akalku yang membekalkan maklumat dan matlamat yang tercoret didasar pemikiranku tidak termampu untukku menganalisisnya. Sebagai seorang nakhoda juga, aku harus bersiap sedia mengawal bahteraku dari segala ancaman dari laut, lanun, ombak besar dan benda-benda yang menghalang bahteraku dari meneruskan perjalanan menuju ke tempat yang telah ku tetapkan.






Beberapa hari yang lalu aku dijukan soalan oleh sahabatku, soalan yang pernah merungsingkan aku pada suatu ketika tetapi entah ke mana kebimbangan itu hilang? aku pun tidak tahu, ku biarkan sahaja ia ditelan masa. Sahabatku bertanya kepadaku mengapa aku masih solo sedangkan pada usiaku begini sudah selayaknya aku berteman, katanya lagi jadi lah seperti orang ramai barulah selamat. Mungkin statement itu kurang jelas, apa yang selamatnya? Sedangkan Allah menegah kita mengikut orang ramai kerana ia bisa menyesatkan. Lihat sahaja bila sesebuah konsert dianjurkan berapa ramai orang yang mengurumuninya ibarat kelkatu terpesona melihat api jika dibandingkan bilangan jemaah yang mengimarahkah masjid. Perhatikan juga berapa ramai manusia yang bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah, sedikit bukan? Ini yang menambahkan keyakinan bahawa apa yang buat ini betul walaupun terkadang aku juga gusar. tetapi surah al-baqarah ayat 216 menjadi motivasi terbaik untukku.

Seorang sahabat pernah berkata: aku tidak suka membaca sesuatu artikel yang panjang, kerana aku mudah jemu. Memang benar, kita dikurniakan sifat mudah jemu dengan sesuatu, oleh itu manusia begitu kreatif dalam mencipta kerana untuk mengatasi masalah jemu. Lihat sahaja perkembangan teknologi hari ini, berkembang dengan begitu pesat, fesyen hari ini, sentiasa bertukar-tukar bagi merealisasikan kehendak dan kepuasan manusia. sekadar ini dahulu buat kali ini. Apa baik datangnya dari Allah dan yang lemah itu adalah keburukan yang ada pada diriku yang daif ini.



Thursday, October 7, 2010

Episod seorang aku

Sudah lama tidak menggerakkan jari-jemari melontar komentar. semasa memikirkan idea untuk publish sesuatu, ku jengok seketika blog rakan-rakan dan beberapa blog lagi yang turut sama bergelumang dalam dunia blog. banyak juga input yang dapat diambil dari artikel-artikel mereka. ada orang kata sharing is caring. I don't know how to explain the word. terasa penulisanku paling daif jika ingin dibandingkan dengan mereka. aku juga kurang daya kreativiti dalam menghias blog. yang ada hanyalah basic item sahaja.

Final pun sudah hampir menjelang tiba, mood study bercampur baur lagi. Tidak tahu apa yang tidak kena pada diriku kali ni, nak kata malas, mungkin juga, banyak tidur, memang tepat, masalah memang bertimbung bak bukit. Tapi biasala aku, aku adalah aku, banyak berahsia dan tidak suka mencampuri hal orang lain. Tetapi sekarang agak lain sedikit, selalu rasa gelisah bila tengok perkara yang janggal kat depan mata. bukan tidak biasa tetapi sudah lali. kadang-kadang aku fikir jadi orang buta lagi baik, tidak diperlihatkan maksiat yang berlaku depan mata. Aku juga sangat bimbang jika aku dihimpunkan bersama orang-orang buta di padang masyar kelak. tidak semestinya manusia yang buta di dunia akan juga buta di akhirat, aku sangat meyakini semua yang aku miliki hanyalah bersifat pinjaman. barang yang dipinjam perlulah dijaga dengan elok, takut rosak, mana nak cari sebagai ganti.

Perjalanan hidup menjelang usia yang semakin meluput rasanya berwarna-warni. adakalanya suka, pada waktu dihiasi duka seolah ia terconteng ibarat sebuah lukisan. Drawing is my favourite when I was a child. Kat dinding rumah masih ada lagi monumen sejarah yang ku coretkan dengan warna krayon. walaupun tidaklah cantik tapi ia meninggalkan satu memori yang menggambarkan siapa aku dulu. berkenaan dengan cantik ia suatu yang subjektif, mungkin indah pada pandangan seseorang tapi bagi orang lain sebaliknya. bagi aku, cantik sangat sukar untuk di nilai kerana aku sangat mencintai yang Maha Terindah dalam hidupku.

Banyak sungguh masa telah ku persiakan, apa yang nak jawab jika ditanya nanti, pada usia mudamu di mana dihabiskan dan untuk apa digunakan. tak kan aku nak jawab aku hiaskan usiaku dengan seribu kelalaian dengan pakej kemaksiatan. mana ingin aku letakkan wajahku kelak?. Ya Allah ampuni aku kerana membuang sisa hidup ini dengan penuh kehinaan. Saat aku bersihkan wajah di waktu pagi, ku cuba untuk melenyap nestapa di waktu senja. Malam akan berakhir, hari juga silih berganti. Apa makna semua ini untuk aku? jawapannya sudah pasti, ia mengingatkan usiaku semakin singkat. Masa usiaku belum baligh, aku selalu berangan yang aku akan bekerja, kumpul harta dan diusia tuaku menikmati apa aku usahakan di zaman muda, tiba-tiba ia berubah sekelip mata corak imagimasiku, hari ini mungkin yang terakhir bagi aku. sebenarnya aku sudah kesuntukan masa.

Bukan senang menukilkan sesuatu yang menarik kerana aku hanya menulis mengisi masa yang terluang. mungkin aku lebih kreatif dalam bekarya jika ia untuk mengutip keuntungan. ada yang mencari keuntungan dalam bentuk limpahan hata benda dan ada yang mencari keuntungan dalam memanipulasi pengaruh tidak kira ia untuk kebaikan mahupun keburukan. dalam dunia yang semakin tua, telah menyaksikan banyaknya berlaku bencana alam. bumi sudah semakin tenat, akidah manusia semakin punah. manakan berdiri tegak sebuah pepohon nan rimbun tanpa disokong akar yang kukuh, manakan teguh agama tanpa akidah yang mantap. Jangan dipandang enteng benda yang remah, bimbang kalau yang remeh ini menjadi kritikal. jangan jadikan akidah itu ibarat roda, sekejap diatas dan seketika berada dibawah.

Sudah menjadi kelaziman, orang mukmin adalah muslim tetapi belum pasti muslim itu adalah mukmin. sekadar di sini sahaja buat seketika. InsyaAllah jika diizinkan masa, dilain detik aku lontarkan lagi komentarku. berbahagialah orang-orang yang beriman yang dikurniakan hidayah oleh Allah.

Friday, October 1, 2010

Takziah

salam

salam takziah ku tujukan kepada sahabatku Faizurol kerana kematian ibunya hari ini. semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya

Thursday, September 30, 2010

Belajar untuk positif


 Jangka hayat semakin mengecil menuju ke tarikh lupus. tujuan hidup yang singkat ini perlu di perhalusi kerana kita setiap benda yang hidup akan mati dan kita meyakini kita akan bangkit kembali di akhirat untuk kekal abadi. Adakah ini masih lagi suatu perjalanan yang masih panjang atau ia semakin meluput? tiada siapa yang tahu dan pasti.

Setiap proses kehidupan pasti tidak boleh lari dari menerima ujian dan musibah yang melanda keatas diri kita. Jika kita mampu menghindarinya sudah pasti dugaan hidup tidak akan hinggap pada diri kita. Apa yang pasti dan perlu disedari bahawasanya kita adalah insan yang lemah. Setiap ujian yang menimpa pasti ada hikmah yang tersembunyi. Teruskan bersabar dan sentiasa bersyukur dengan apa yang telah diberikan kepada kita mungkin adalah suatu langkah yang wajar kita lakukan sebagai tanda kita tidak menyalahkan Tuhan atas takdir yang menimpa kita.

Bertindak dengan suatu perkara yang positif selalunya lahir dari akal yang sihat. membuat pertimbangan yang sewajarnya haruslah menjadi keutamaan kita kerana ia menentukan apakah langkah susulan yang bakal kita lakukan. berfikir dengan skop yang meluas merupakan satu cara terbaik dalam bereksperimen untuk mendapatkan jawapan yang terbaik. tanpa pertimbangan akal yang waras, ia bakal menyulitkan keadaan di kemudian hari.

Dengan pengembaraan hidup yang kian mencabar bakal menguji kita dengan semaksimum yang mungkin. Tiada bezanya jika kita mampu menghirup udara yang nyaman tetapi hati masih dibelenggu kegelisahan. Hati yang tenang adalah kunci untuk memulakan sesuatu dengan positif. Memupuk jiwa dan hati yang tenang mungkin sukar jika ia tidak dipupuk sejak dari kecil ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tetapi ia bukanlah sesuatu yang terlambat untuk kita memperbaiki diri kita kerana setiap manusia boleh berubah walaupun memiliki hati sekeras batu. batu boleh melentur jika selalu dititip oleh air.

Sekadar ini dahulu, artikel ini dinukilkan memandangkan diri ini kegersangan semangat dan motivasi untuk meneruskan sebuah perjalanan yang kian sukar. Perjalanan kali ini nampaknya kian beronak dan berduri. walaubagaimanapun ia perlu dirempuhi. Dan harapnya kudrat tidak pernah letih dalam mencari suatu perjalanan menuju ke pada redha Ilahi.

Sunday, September 26, 2010

Detik Diuji

Sudah seminggu kembali berpijak di bandar shah alam, berlindung di langit yang sama dari teriknya mentari, merasai kebasahan saat turunnya hujan membasahi bumi yang berkat ini. Tanpa sedari banyak waktu telah dipersiakan, bertambah dari hari ke hari menanti usia yang semakin meluput. Masa semakin hari semakin suntuk buatku kerana aku tidak mampu mengulang waktu hilang dan terbuang, terpaksa membiarkan detik terus berjalan. waktu tidak akan berhenti, detik tidak kembali

Apabila manusia diuji, itu tanda seseorang itu mendapat perhatian dari Allah, apabila manusia diuji, kita akan melihat kepada beberapa aspek, samada dia akan marah, mengeluh, berdiam atau terus bersabar. Ramai orang yang apabila diuji, dia akan marah. situasi marah akan terbentuk melalui hatinya sahaja tanpa mengeluarkan kata-kata, marah dalam hati beserta kata-kata tanda protes, dan lebih teruk lagi marah dengan hati, kata-kata dan juga bersama-sama anggota. Alangkah baiknya apabila kita diuji kita terus bersabar, bersabar dalam ketaatan kepada Allah, bersabar dari melakukan maksiat, dan juga bersabar dalam ujian.

Agak sukar untuk menilai tahap ujian seseorang memandangkan Allah menguji kita dengan ujian yang berbeza. Ada diuji dengan kesengsaraan seperti saudara kita di Palestine. Ada diuji dengan berlakunya bencana alam, seperti di Pakistan dan Kashmir baru-baru ini. Tetapi ramai yang lupa ada yang Allah uji dengan kemewahan dan kesenangan yang menyilaukan pandangan. Aku mengambil kesempatan untuk menulis kali ini memandangkan aku semakin terkeliru antara ujian kesusahan dan kesenangan, adakalanya dalam susah, Allah telah pun datangkan kesenangan, selesa dalam senang, dititik pula dengan nila kealpaan.  Ini membuatkan aku lemas gelombang yang meletakkan aku dalam dilema panjang, asyik termenung memikirkan jalan keluar dari kepompong masalah.

Friday, September 17, 2010

ambil yang baik

hari ini masih lagi dalam mood syawal. mungkin ada yang sudah mula bekerja, ada juga yang masih lagi dalam suasana cuti hari raya. cuti aku masih lagi berbaki 2 hari dan hari isnin minggu ini kuliah bakal bersambung.
Raya kali ini juga terasa sangat hambar kerana aku tidak sempat nak mengunjungi rumah kawan-kawan ku yang lama.

Agak malas nak update blog ketika di rumah kerana masalah line yang tidak jelas. Ia menbantutkan semangatku untuk menulis dan jika aku buka laptop pun hanya la sekadar mendengar muzik dan bermain strategy game.di kesempatan itu, aku hanya menghabiskan masa membaca buku-buku yang tersedia banyaknya di rumah dan beberapa buah buku yang baru di beli. armegeddon 2012 memang menarik untuk di baca, sudah separuh aku membacanya. sebuah karya yang amat menarik dengan olahan dan ulasan yang mudah difahami. aku tidak mampu untuk menulis sebaik itu dan mungkin perlu banyak lagi yang perlu di timba untuk menghasilkan karya yang baik. aku tidak gemar untuk memberi komen atau menganalisis karya seseorang memandangkan setiap manusia mempunyai pendapat dan pandangan masing-masing.

Ahad ini aku akan menempuh perjalanan hampir 9 jam dari kota bharu ke shah alam. aku bernasib baik kerana kekosongan tempat duduk masih ada walaupun aku terlewat membuat tempahan. inilah yang dinamakan rezeki. rezeki yang tidak disangka-sangka. jika bercakap tentang rezeki mungkin hari ini aku kurang bernasib baik kerana setelah selesai solat jumaat selipar ku telah lesap. terpaksalah balik tanpa selipar. mujurlah rumah dekat masjid. kerap juga aku kehilangan selipar di masjid dan ini bukan kali yang pertama. mungkin pencuri-pencuri itu mendengar nasihat khatib ambil yang baik dan tinggalkan yang buruk. jadi mereka pun ambil selipar-selipar yang baik dan tinggalkan yang kurang elok.

sekadar ini sahaja untuk kali ini, sekian.

Thursday, September 9, 2010

SeLaMaT hArI rAyA AiDiLFiTri

selamat hari raya aidilfitri diucapkan kepada semua muslimin dan muslimat di seluruh dunia. semoga lebaran ini memberi seribu makna kepada kita semua dan juga berharap ramadhan akan datang akan singgah lagi ke dalam diari kehidupan kita sekalian. ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan sempena satu syawal ini.
  • bertakbir bermulanya setelah berakhirnya bulan ramadhan sehingga sebelum solat sunat hari raya bermula pada keesokannya. ini menandakan cara kita merayakan kemenangan kita setelah sebulan kita berpuasa. kurangkan mendengar lagu-lagu raya kerana ia melalaikan kita
  • makan di waktu pagi menandakan kita sudah tidak berpuasa pada pagi itu
  • mandi sunat hari raya sebelum pergi ke masjid menunaikan solat sunat hari raya
  • mengenakan pakaian yang terbaik pada hari raya. pakaian yang terbaik bukannya bererti pakaian yang baru tetapi lebih elok jika ianya yang baru
  • mengunjungi masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya beserta dengan khutbahnya juga. orang wanita yang di datangi haid dan nifas juga di seru agar berkunjung ke perkarangan masjid bagi sama-sama meraikannya
sekadar ini sahaja perkongsian pada satu syawal ini, semoga ia memberi manfaat kepada kita semua. sepuluh jari saya susun memehon seribu kemaafan jika ada tersilap bahasa, terkasar kata, terlebih bicara yang bisa membuatkan hati terguris. sebagai manusia saya juga tidak terlepas dari silap dan salah. Allahuakbar,Allahuakbar, Allahuakbar. selamat hari raya dengan penuh kesyukuran dan semoga ramadhan kembali lagi di tahun hadapan

Sunday, August 29, 2010

Benarkah kita merdeka

 Wahai orang-orang beriman! janganlah kamu menjadikan pemimpinmu orang-orang yang membuat agamamu menjadi bahan ejekan dan permainan, (iaitu) di antara orang-orang yang telah diberi kitab sebelummu dan orang-orang kafir (orang musyrik). Dan bertaqwalah kepada Allah jika kamu orang-orang yang benar
(Al-Maidah: 57)

Tidak sampai 2 hari lagi negara bakal menyambut Hari Kemerdekaan Negara yang ke 53 menandakan kita sudah 53 tahun bebas dari belenggu penjajah. Jika semasa zaman penaklukan bangsa penjajah dahulu,dari Portugis sehinggalah British, mereka membawa misi 3G iaitu, Gold, Glory And God. Dan mungkin misi God mereka gagal kerana tidak berjaya mengkristiankan orang-orang Melayu pada masa itu memandangkan orang-orang melayu berpegang kuat kepada ajaran agama Islam. Dekat ini juga sudah terbahagi kepada 2 generasi iaitu generasi sebelum dan sesudah merdeka yang sudah pasti terdapatnya perbezaan.

Dewasa ini kita menyaksikan betapa runtuhnya akidah ummah setelah kita memerintah negara sendiri. Adakah ini di namakan pemerintahan dengan acuan sendiri? acuan yang tidak ada kesebatian dengan Islam walaupun mendakwa Islam sebagai agama rasmi persekutuan. baru-baru ini kita di hebahkan berita agar menutup aurat semasa di dalam masjid. yang menjadi persoalannya, adakah di masjid sahaja di peruntukkan untuk menutup aurat? bagaimana pula dengan keadaan di luar? Islam membenarkan kita mendedahkan aurat ke? tidak pernah membaca quran ke? atau menjadikan quran hanya sebagai lagu dalam bertarannum. atau kerana untuk menjaga kepentingan jawatan dan pangkat sehingga rela meninggalkan agama. saya tidak takut untuk melontarkan pendapat sebab itu saya berani menulis tanpa meletakkan sebarang kepentingan kerana kepentingan dunia hanyalah bersifat sedikit dan sementara.

Dan janganlah kamu iri hati terhadap kurnia yang telah dilebihkan Allah kepada sebahagian kamu atas sebahagian yang lain. (Kerana) bagi lelaki ada bahagian bagi apa yang mereka usahakan dan bagi perempuan (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan. mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurniaNya. Sungguh, Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
(An-Nisa: 32)

ayat diatas pula menerangkan tentang kelebihan yang Allah kurniakan kepada kaum lelaki tetapi tidak terdapat pada kaum wanita dan juga sebaliknya. Agak mengecewakan kerana melalui era globalisasi ini telah wujud perikaian dari kaum hawa menuntut kesamarataan atau lebih mesra dengan perkataan human right. di sini juga menunjukkan betapa bergolaknya dunia hari ini. bayangkan apa yang akan berlaku jika kesamarataan ini terlaksana seperti kuasa talak juga terletak pada isteri, isteri menjadi ketua rumahtangga, isteri boleh berpoligami dan sebagainya. sudah tentu dunia semakin tidak tenteram. pergerakan seperti sister in Islam yang menuntut kesamarataan ini seperti membenarkan wanita juga menjadi imam solat, hanya mengiktiraf perkahwinan monogami mungkin telah lama dirancang untuk melenyapkan akidah umat Islam memandangkan akidah merupakan tunjang kepada Islam. Bayangkan sebatang pokok berdiri tanpa akar, sebuah bangunan di bina tanpa tapak atau asas yang kukuh? sudah pasti ia hanya menunggu masa menyembah bumi.

sekadar ini sahaja buat kali ini. InsyaAllah saya akan panjangkan artikel ini jika diberi kelapangan. sekian wasalam 

Saturday, August 28, 2010

mutiara hati

Imam Ghazali: ''Carilah hatimu di tiga tempat.Carilah hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran.Jika tidak kau temui,carilah hatimu ketika mengerjakan solat.Jika tidak kau temui,carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati

Friday, August 27, 2010

Benarkah kita bebas

Mengapa memperhambakan seseorang
Sedangkan dari lahir lagi dia bebas dan merdeka


al-quran

Listen to Quran

lawati juga