Sunday, February 7, 2010

Takutkah kita?

Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan,kelaparan,kekurangan harta,jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah:155)

Setiap daripada manusia pasti akan diuji dengan pelbagai ujian. Tetapi Allah tidak akan menguji kita sekiranya kita tidak mampu atau sanggup memikulnya. Begitu juga kita juga akan diuji dengan ketakutan. Jika kita takut kepada kelaparan, kita akan berusaha mencari bekalan makanan, jika kita takut akan ancaman keselamatan, kita akan tinggal ditempat yang terjamin keselamatan kita. Tetapi ketakutan itu bakal hilang jika mampu mengatasinya. Bagaimana pula ingin melahirkan rasa takut kepada Khaliq?
Seperti ayat diatas Allah hanya menguji kita dengan hanya sedikit ketakutan. Kerana hidup di dunia ini hanyalah seketika jika dibandingkan dengan hidup di kampung akhirat yang abadi. Ada yang takut untuk menutup aurat kerana takut dikatakan ketinggalan zaman. Apalah sangat dengan kata-kata manusia jika hendak dibandingkan dengan tinggal di neraka berzaman-zaman. Ada yang takut untuk menolak wang haram kerana takut kehilangan pendapatan. Apalah sangat dengan wang yang sedikit itu jika hendak dibandingkan dengan api neraka yang akan membakar daging yang tumbuh dari hasil yang haram di akhirat kelak. Kita takut untuk menyatakan kebenaran kerana takut kehilangan rakan dan taulan. Lupakah kita bahawa di alam barzakh kita juga tinggal bersendirian?
Inilah yang menjadi persoalan mengapa kita terlalu takut kepada perkara yang sedemikian? Kita lebih takut kepada pemimpin dunia daripada takut kepada Yang Maha Kuasa. Lihatlah sahaja apabila rakyat yang miskin dan tiada kedudukan apabila melakukan kesalahan dan jenayah di bantai dan di heret ke muka pengadilan tanpa perlu ada perhitungan, walhal pemimpin-pemimpin atasan yang merompak perbendaharaan Negara yang juga menjadi milik rakyat tidak pernah dipandang walaupun sebelah mata. Mereka ini terus membiarkan pemimpin-pemimpin sebegini terus rakus meratah harta rakyat sedangkan rakyat membanting tulang empat kerat untuk mencari sesuap nasi. Inilah realitinya yang berlaku.
Dari sudut perundangan pula kita merelakan dasar-dasar yang digubal oleh manusia daripada menggunakan undang-undang Allah. Bahkan lebih menyakitkan iman kita apabila ada yang membuat statement yang lucu memperlekehkan hukum Allah seperti bolehlah kita menjamu sup tangan sekiranya perlaksanaan hukum potong tangan bagi pencuri. Susahlah lepas ni nak buat jalan berturap jika hukuman rejam sampai mati kepada kesalahan zina. Lihatlah apa yang berlaku dekat ini, jenayah makin berleluasa, walaupun pelbagai hukuman telah diperkenalkan seperti hukuman gantung sampai mati kepada kesalahan mengedar dadah. Tetapi apa yang berlaku, kes pengedaran dadah makin menjadi-jadi. Tidak takutkah wahai pengedar dadah bahawa hukuman gantung bakal menantimu?
Persoalannya di sini ialah siapakah yang menghadirkan perasaan takut dalam hati manusia. Allah ataupun pemerintah? Jika pemerintah, mengapa apabila digubal atau diperkenalkan undang-undang dan hukuman baru tidak menghadirkan sedikit rasa gerun kepada rakyat? Sudah pasti yang menghadirkan perasaan takut didalam hati manusia adalah Penciptanya. Jadi mengapa kita tidak takut dan patuh kepada-Nya?.
Setakat ini sahaja dari saya. Jika ada silap dan salah saya mohon keampunan kepada yang Maha Pengampun kerana ampunan dari pemimpin yang dusta tidak memberi apa-apa kesan kepada saya.

Friday, January 29, 2010

kita kah manusia?

Salam alaik.
terasa dalam dilema ketika ini. Saya bukan orang sesuai untuk memperkatakan tentang apa yang dikatakan perjuangan. Sekadar ingin berkongsi kepada sahabat yang sudi meluangkan masa untuk membaca komentar saya pada kali ini. Saya terkadang terasa amat terasa betapa jahilnya mereka yang agak bijak mengeluarkan statement yang bertentangan dengan ajakan agama. Mungkin sahabat juga lali dengan kata yang akan saya kongsikan pada kalian semua pada ruangan kali ini.
Apa guna kita solat kalau kita tak ikhlas? Saya tak bersedia lagi la nak bertudung, apa guna saya bertudung kalau hati tak ikhlas? Alah sama je tutup aurat ke tak, yang penting hati baik. Inilah ungkapan yang agak memualkan oleh golongan tidak mampu nak bezakan yang mana hukum, yang mana menjadi kewajipan atau pun sebaliknya. Inilah masanya untuk kita menjelaskan kepada mereka agar mereka tahu menilai yang mana baik dan yang mana buruk agak tidak menyesal di kemudian hari. Kita tidak perlu menunggu untuk menjadikan diri kita sempurna dahulu barulah kita nak laksanakan tugas dakwah kerana kita tidak akan mampu untuk mencapai tahap kesempurnaan yang hakiki. Yang menjadi persoalan ialah kenapa golongan ini tetap melakukan tugasan duniawi dengan agak teliti. Kenapa kita makan kalau tidak ikhlas? Kenapa kita minum kalau kita tidak ikhlas? Kenapa kita tidur kalau kita tidak ikhlas?
Fikir-fikir dan renung-renungkanlah kenapa kita ini dijadikan sebagai manusia? Kalau lah hanya untuk makan,minum, tidur dan bersuka-suka, maka tiada lah kita lebih dari haiwan bahkan lebih teruk lagi kerana kita dikurniakan akal yang membezakan kita dari haiwan dan makhluk-makhluk yang lain.
Dan sungguh, akan Kami isi neraka Jahanam dari kalangan jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata(tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat( tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga(tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar(ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah. (Al-Araf: 179)
Inilah juga golongan-golongan yang selalu menghalang dari tertegak agama Allah di bumi milikNya. Alangkah angkuhnya golongan-golongan ini, sudahlah menumpang di bumi Allah tetapi tidak pernah mematuhi dan mentaati arahan daripada pemilikNya. Merekalah yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah dengan menyatakan jika kita kembali kepada Islam, ibarat kita kembali berkenderaankan unta atau dalam erti kata lain kita akan menjadi lebih mundur dan tidak berdaya saing sedangkan sejarah pernah membuktikan yang Islam pernah mencapai dikemuncaknya.
Sekadar ini sahaja dahulu dari saya insan lemah lagi daif ini. Jika ada silap dan salah saya pohon sejuta kemaafan. Apa terdetik di hati ini hanyalah satu, ingin mengembalikan kegemilangan Islam yang pernah kita kecapi dahulu. Ini bukan masa untuk kita meratapi runtuhnya bangunan-bangunan dan tamadun silam tetapi kita harus bangunkan kembali istana-istana yang kita impikan demi kemaslahatan umat umat Islam.

Monday, January 18, 2010

permulaan tahun 2010

agak lama juga rasanya tidak menulis, kebelakangan ini agak bercelaru sedikit keadaan saya kerana perlu menyesuaikan diri dengan suasana baru, ini merupakan kali pertama saya berada di rumah sewa bersama dengan 12 sahabat yang lain. rumah ini juga agak jauh dari masjid, kedai runcit dan juga universiti. tapi Alhamdulillah setakat ini saya rakan-rakan sekali-sekala dapat solat berjemaah di ruang tamu jika tidak berkesempatan ke masjid.

pengurusan masa pada kali ini perlu diuruskan dengan benar-benar teliti kerana jika ia tidak dilaksanakan dengan berkesan ia akan membawa kepada masalah kelewatan ke kuliah, dan sebagainya. pengurusan kewangan juga perlu diagih dengan bijak kerana sebelum ini tinggal di kolej tidak memerlukan saya mengeluarkan wang untuk membayar sewa rumah. inilah pengalaman yang perlu di cari sebelum menempuh pengurusan diri yang lebih complicated. bukan tiada masa untuk update blog tetapi coverage area di sini agak low membuatkan saya hampir berputus asa untuk menulis lagi. Insya-Allah saya akan cuba istiqamah dalam penulisan ini jika ia mampu untuk memberi input kepada yang sudi membaca karya yang saya hasilkan dan saya memohon perlindungan dari Allah agar menjauhkan diri daripada menyebarkan berita palsu ataupun fitnah.

perjalanan aktiviti saya tahun ini agak perlahan disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. saya seolah-olah masih mencari rentak untuk meneruskan perjalanan pada tahun 2010 yang sudah pun menjangkau 19 hari. saya bersetuju dengan pendapat penasihat saya, biarlah ia berlangsung dalam keadaan yang perlahan tetapi istiqamah dalam setiap perkara yang kita lakukan dari hari ke hari yang kita lalui. janganlah kita dilalaikan dek keindahan dunia yang penuh dengan tipu daya.

di alam kehidupan menuju kedewasaan kita harus mempelajari sebanyak mungkin ilmu pengetahuan selagi terdaya dek fizikal dan mental. bukan sahaja pembelajaran yang formal sahaja yang perlu diambil malahan yang informal juga perlu dituntut. ilmu fardu ain perlu diperkasakan dan penimbaan ilmu fardu kifayah sebagai pelengkap hidup di samping menjaga kemaslahatan umat Islam tidak kira di mana jua kita berada.

sekian sahaja dari saya untuk pena kali ini. jika diberikan keizinan masa dan umur yang panjang serta idea-idea yang boleh kita kongsikan bersama. wasalam

Wednesday, December 9, 2009

cuti

cuti mungkin menggamitkan suasana gembira bagi sesiapa sahaja, saya juga tidak terkecuali. adakah kita memanfaat setiap masa lapang yang terluang ini untuk sesuatu pekerjaan yang mendatangkan manfaat kepada kita. mungkin masa inilah adalah waktu yang tepat untuk kita mempersiapkan mental dan fizikal kita sebelum kita mengharungi semester yang baru.
cuti tidak bererti masa hanya untuk berehat sahaja, masih banyak perkara yang boleh kita lakukan pada waktu senggang kita. di sini saya ingin berkongsi tentang pengisian saya pada waktu cuti saya pada semester ini memandangkan inilah kali pertama saya dapat menikmati cuti tanpa sebarang tugasan universiti dan juga komitmen dengan praktikal.
saya banyak berjalan ke rumah kenalan saya dan juga menghadiri reunion yang diadakan bersama-sama dengan teman-teman di bangku sekolah dahulu. kami banyak berkongsi cerita terbaru dan aktiviti yang kami jalankan. saya tidak henti melafazkan rasa syukur saya ke hadrat-Nya kerana ramai dikalangan sahabat saya yang menyertai jemaah Islam di tempat pengajian masing-masing. ada yang tidak di sangka-sangka yang dahulunya nakal-nakal tapi sekarang sudah bersaling kulit.
sekian sahaja dulu dari saya. semoga ukhwah kita terus terjalin.
disebalik Islam dilabel dengan berbagai-bagai nama, masih ramai yang sanggup bersama-sama berganding bahu untuk mempertahankan kesucian agama ini. inilah yang membuatkan saya bertambah yakin untuk turut sama menyertai pasukan tentera Allah untuk membela Allah. doakan saya agar selalu istiqamah dan tidak lari dari landasan perjuangan. saya juga mengakui tanpa bimbingan saya tidak mampu menahan asakan yang datang bertali arus.

Wednesday, December 2, 2009

join group

join group saya, gerakan menuntut royalti petroleum rakyat kelantan. add dalam facebook saya. wanmzul@yahoo.com. kita solat hajat semoga hak kelantan diberikan kepada rakyatnya. doakan juga kepimpinan ulama tetap teguh di bumi cik siti wan kembang. sokonglah kerajaan Islam dan patahkan agenda jahat para sekular.

Tuesday, December 1, 2009

BTN

Sepatutnya dari dulu lagi BTN ini tidak dibenarkan dilaksanakan kerana ia tidak banyak mendatangkan faedah daripada manfaatnya. Walaupun kursus ini tidak lah zalim seperti ISA, tapi mesti ada sebabnya mengapa UMNO ingin mempertahankan kursus ini terutama kepada golongan mahasiswa. Walaupun mereka seringkali menafikan bahawa kursus ini tiada kena mengena dengan brainwashing kepada peserta-peserta yang terlibat dengan menyatakan ia adalah wadah untuk memupuk semangat patriotik warganegara Malaysia.

Saya menyokong tindakan kerajaan Selangor yang tidak membenarkan agensi yang melibatkan kerajaannya dan IPT dibawahnya menyertai program meng- UMNO-kan rakyat Malaysia. Saya sendiri pernah terlibat dengan program ini sebanyak 3 kali tetapi bukan atas kerelaan saya sendiri dan saya tidak menikmati setiap modul yang dilaksanakan oleh pengelola acara. Saya juga merasakan negeri lain juga patut mengikut jejak negeri Selangor. Bajet negara pun boleh dijimatkan dengan mengetepikan program sebegini. Bohonglah kalau dikatakan program yang dijalankan tanpa mengeluarkan perbelanjaan.

BTN tetap boleh dilaksanakan jika kerajaan pusat memang ikhlas ingin menyedarkan rakyatnya tanpa memburuk-burukkan pemimpin yang didakwa adalah pembangkang sedangkan di Selangor, P.Pinang, Kedah dan Kelantan mereka adalah pembangkang. Kita juga berdoa agar kemelut di Perak akan berakhir dengar membubarkan DUN negeri berkenaan. Jika benarlah si uban benar-benar ingin mengotakan semangat 1 Malaysia dilaksanakan dengan jayanya inilah masanya suara rakyat didahulukan. Apa nak ditakutkan jika UMNO-BN yakin rakyat Perak masih dipihak mereka maka laksanakan saja permintaan rakyat Perak.

Sewaktu di BTN saya masih teringat lagi kata-kata seorang fasilitator veteran yang bertanyakan kepada saya dan ahli-ahli kumpulan saya mengapa semakin banyak universiti di tubuhkan semakin ramai pemuda-pemudi bangsa berpaling arah dari menyokong perjuangan UMNO? Dan sayalah orang berani menjawab pertanyaan itu dengan menyatakan itu tandanya rakyat semakin cerdik dan pandai membuat pilihan untuk masa depan mereka. Beliau mengajukan pertanyaannya yang seterusnya sehingga sampai kepada soalan keramat yang penuh perangkap, adakah kamu sebagai orang melayu merelakan UMNO diterajui oleh orang lain?.

UMNO dari dahulu lagi memperjuangkan semangat assabiah sempit mereka seolah mereka terlupa zaman telah berubah. Lupakah mereka tentang kata-kata Saidina Umar yang menyarankan agar bapa mendidik anak dengan cara berlainan kerana anak-anak ini dilahirkan untuk generasi akan datang. Inilah padahnya kerana mengamalkan konsep sekularisme walaupun mendendangkan irama nasyid membela Islam dengan nada kepura-puraan. Bagi saya UMNO tidak relevan untuk generasi masa depan walaupun mereka mempunyai ulama-ulama yang hebat sekalipun. Apa gunanya ada ulama yang bisu dalam memperbetulkan kejahilan pemimpin-pemimpinnya. Ataukah mereka mengamalkan kosep 3D, duduk saja dapat duit.

Sekian sahaja daripada saya. Ini merupakan pandangan saya kerana melalui penulisan blog inilah mampu menjadi medium terbaik untuk mengasah lidah agar lebih tajam seperti pedang para syuhada. Jika ada silap dan salah saya menyusun seribu kemaafan.

Monday, November 30, 2009

pandangan saya


sudah lama agaknya tidak update blog ni. saya pun tidak pasti kenapa saya agak malas untuk melayari internet sejak cuti semester ni. dalam fikiran ni masih tidak mampu menahan asakan yang ingin diperdebatkan antara hawa nafsu dan juga naluri hati untuk meniti titian kebenaran. serasanya jalan kebenaran semakin sempit untuk di redah tapi saya akan berusaha untuk merentasinya biar pun ia terlalu sukar.
Akhir-akhir ni sungguh selesa rasanya media-media milik UMNO meredah banjir di Kelantan untuk  mencari berita-berita yang hangat bagi melariskan jualan mereka. Seakannya nampak sedap apa yang mereka sajikan sup rasuah di PMBK, bayar dengan tajaan haji dari MB Kelantan, doa makan menghancurkan najib dan sakit perut minta cuti Husam. Dengan musim tengkujuh belum nampak lagi tanda ingin pulih maka mungkin mereka akan tinggal lagi di sini untuk beberapa waktu menikmati nasi kerabu yang lebih hangat untuk santapan pembaca setia mereka.
Memang seronok mendengar lagu fitnah mereka demi melihat hancurnya sebuah kerajaan yang dipilih rakyat cik siti wan kembang ini yang sudah pun menjangkau usia 20 tahun. Sepatutnya kerajaan pusat mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Kelantan kerana menjaga rakyat Malaysia di negeri ini dengan baik bak kato oghe semuo tok tala blako. Janganlah merasa gundah kerana gagal  memerintah  Kelantan kerana kami di sini selamat di payungi kepimpinan ulama. Rakyat perlukan payung memandangkan Kelantan kerap hujan  dan bah.
Ingatlah setiap usaha oleh para munafik untuk menggagalkan kebangkitan Islam hanyalah memakan diri sahaja. bertaubatlah dan kembali kepada Islam yang syumul. Tiada gunanya pergi haji menjadi tetamu Allah tetapi pulang ke negara untuk menyekutukan Allah dan rasulnya. Hebat sangatkah dengan mempertahankan undang-undang penjajah dengan rasa angkuhnya menolak hukum Allah? Kaya sangatkah dengan mengamalkan ekonomi kapitalis dengan mengabaikan cara berurus niaga dengan jujur tanpa ada penindasan.

Thursday, November 26, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA

Allahu akbar 3x.Selamat hari raya korban kepada muslimin dan muslimat sekalian tidak kira di mana jua anda berada. semoga kita semua dapat menghayati erti pengorbanan yang sebenar di hari yang mulia ini. sembelihlah sifat munafik jika ada pada diri dan terima lah agama Islam ini dengan secara total. sekian sahaja yang dapat dinukilkan pada kali ini. salam penuh keinsafan dari insan yang masih mencari

Tuesday, November 17, 2009

Al-Fatihah buat syuhada Memali.


Wahai orang-orang beriman. Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.(As-Saff: 10-11)
Inilah pejuang-pejuang yang konsisten dalam memartabatkan agama Allah di muka bumi yang juga menjadi milik Allah yang mutlak. Sudah menjadi kelaziman bagi orang yang berjuang terpaksa mengharungi badai dan merempuh onak duri yang penuh berliku demi menegakkan agama tercinta. Kita tidak diberikan pilihan yang maksimum kerana jika kita memilih untuk menghambakan diri untuk dunia maka kita muflis di akhirat yang kekal abadi. Sekiranya kita memilih akhirat maka inilah jalan yang perlu kita tempuhi. Perjuangan tidak semudah seperti kita mengalunkan bait-bait lagu mendodoikan anak-anak kecil di dalam buaian.
Tanggal 19 November 2009 maka genaplah 24 tahun pemergian para syuhada peristiwa berdarah Kg.Memali, Mukim Siong, Baling, Kedah Darul Aman. Lebih 3000 anggota keselamatan dihantar oleh pihak pemerintah daripada regim Barisan Nasional untuk melakukan aksi penangkapan ke atas seorang tokoh ulama’ yang bersama di dalam Gerakan Islam di Malaysia iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Beliau yang mesra dengan panggilan Ust. Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim bin Mahmud merupakan pendakwah tanah air yang sebelumnya pernah berkhidmat bersama Pusat Islam Malaysia. Beliau yang telah sekian lama bersama PAS akhirnya mengambil keputusan meninggalkan Pusat Islam bagi meluaskan lagi ruangnya memberikan perkhidmatan kepada Parti Islam walaupun khidmatnya sangat diperlukan oleh Pusat Islam sehingga beliau pernah dii’tiraf sebagai pendakwah terbaik.

Dengan suaranya yang lantang dan tegas menghadapi kezaliman-kezaliman pihak pemerintah ketika itu yang diketuai oleh Perdana Menteri Tun.Dr Mahathir bin Mohamad, setiap majlis-majlis pidatonya pasti dihadiri oleh ribuan pendengar dikalangan penyokong dan pendokong gerakan Islam. Internal Security Act (ISA) yang dikuatkuasakan oleh pemerintah adalah merupakan diantara perkara yang sangat kuat ditentang oleh beliau selain dari sikap pemerintah yang dilihat tidak memandang Islam sebagai ‘Aqidah Negara serta jalan penyelesaian masalah ummah. Ditambah lagi dengan peribadi pemerintah yang dicemari amalan korupsi dan sebagainya membuatkan Ust Ibrahim begitu bersungguh dalam memberi semangat kepada ahli PAS agar berazam untuk membuat perubahan dalam kepimpinan Negara.

Dengan suaranya itu jugalah beliau ditakdirkan untuk bertemu Allah sebagai syuhada bersama dengan 13 yang lainnya. Inilah adalah harga yang perlu dibayar untuk membeli sebuah perjuangan. Saya tidak mampu memanjangkan penulisan ini kerana sesuatu ketakutan yang menyelubungi saya ketika ini,

Wahai orang-orang beriman, Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (As-Saff:3)
Sungguh mendalam ayat itu bagi diri saya yang daif ini. Bagi yang sudi membaca komentar saya pada kali ini, saya memohon agar kalian sudi mendoakan saya untuk mati bersama-sama para syuhada. Jika dikira pada usia, memang saya akui saya masih mentah dalam mengharungi rencah hidup ini. Namun saya tidak boleh menjadikan ia sebagai alasan untuk menangguh-nangguhkan kerja dakwah walaupun ia sedikit ibarat sebutir pasir.

Mereka hendak memadamkan cahaya(agama) Allah dengan mulut(ucapan-ucapan) mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang kafir membencinya. (As-Saff: 8)

Dewasa ini terlalu banyak fitnah yang dihamburkan untuk menghentam orang-orang Islam yang istiqamah dalam perjuangan baik di negara ini mahupun di luar sana untuk menjatuhkan serta memesongkan akidah umat Islam. Perkara ini juga sering dilakukan oleh pihak kerajaan yang bertungkus-lumus bantu-membantu untuk menghancurkan Parti Gerakan Islam, Parti Islam Se-Malaysia(PAS). Saban hari kita di sajikan dengan berita yang kurang enak yang dihidangkan oleh pihak BN untuk menghancurkan pihak yang menentang mereka. Agenda serta propaganda mereka tidak akan terhenti selagi matlamat yang menghalal cara mereka bertindak. Apatah lagi media yang selalu berpihak kepada mereka.

Kembali kepada peristiwa berdarah Memali, kes ini tidak akan dibicarakan selagi UMNO memegang tampuk pemerintahan negara. Kes ini juga mungkin akan semakin sukar untuk mendapat keadilannya memandangkan seorang demi seorang yang boleh dijadikan saksi telah pergi ke rahmatullah. Apapun terima kasih kepada BN kerana mampu menghadiahkan mati syahid kepada orang yang memperjuangkan Islam.

Tuesday, November 10, 2009

TERINGAT MASA KECIL DAHULU.

Nostalgia silam pasti menggamit rasa terhibur tatkala mengenangkan hari ini yang sudah menjangkau usia dewasa. Banyak kenangan yang telah lalu masih segar disanubari kita. Adakala kita bagaikan tidak merelakan usia kita berganjak ke usia tua. Tetapi kita terpaksa akur kerana kita bukanlah Peter Pan yang kekal di alam kanak-kanak. Itu hanya sebuah fairy tale. Tapi bila melihat melihat kepada generasi kanak-kanak kini sudah banyak berubah. Hanya tahu menghadap komputer bermain game. Ada sebahagian anak-anak kecil tidak pandai menggauli rakan-rakan sebaya mereka.
Saya membesar diawal tahun 90-an di kampung. Permainan yang bersifat kekampungan dan lasak masih lagi sempat dikecapi bersama anak-anak jiran, sepupu dan adik saya. Ada juga permainan yang timbul mengikut trend seperti permainan gasing, layang-layang, kereta mainan kawalan jauh dan roller-blade semuanya sempat dilalui. Keseronokan di zaman kecil memang tidak dapat dibayangkan. Oleh itu, saya sangat bersetuju bahawa pengalaman tidak boleh dibeli kerana tiada harga yang boleh membelinya.
Galah panjang.
Saya amat suka bermain permainan tradisional ini. apa yang pasti adik saya pasti turut serta sebagai package. Biasanya kami bermain dihalaman rumah saya kerana ayah selalu berpesan supaya pulang ke rumah sebelum pukul 6.30 petang. Saya pada waktu itu tidak membawa jam tangan, kalau pakai sekali pun untuk perhiasan semata-mata kerana tidak pandai melihat waktu. Nak bermain jauh dari rumah takut balik lambat. Kalau pulang lebih 6.30 tidak boleh masuk rumah kerana ayah kunci pintu dan tingkap. Hari sabtu biasa tak keluar rumah sebab banyak cerita kartun kat tv. Saya tak pasti bila astro mula ada kat Malaysia ni kerana zaman saya sekolah rendah tiada piring satelit kat atas bumbung cuma yang ada ikan kering yang dijemur dan aksi kucing mencuri ikan. Saya bukan tinggal di perkampungan nelayan tapi ayah dan mak biasanya menjemur ikan sebagai persiapan menunggu kedatangan musim tengkujuh. Musim tengkujuh selalu mengakibatkan banjir di tempat kami di DUN Kijang.

Demam Piala Dunia.
Saya memang suka menonton perlawanan bola di tv berbanding drama atau filem. Saya mula meminati sukan no 1 dunia pada seawal usia lapan tahun. Masa tu kejohanan Piala Dunia 1998 berlangsung di Perancis manakala negara kita menganjurkan sukan komanwel di Kuala Lumpur. Saya selalu berpesan kat ayah supaya dia mengejutkan saya jika ada perlawanan bola tetapi apa yang sering berlaku kepada saya ialah saya selalu tersedar bila dah azan subuh. Setelah selesai solat saya bergegas kedepan tv kerana menyangka perlawanan akan berlangsung setelah menjelang subuh. Satu lagi yang membuat saya terkenang ialah saya selalu memikirkan sepak mula akan dimulakan selepas waktu solat kerana ayah memaklumkan kepada saya Zinedine Zidane tu orang muslim. Jadi pada saya setiap muslim mesti kena utamakan solat dahulu barulah boleh buat kerja yang lain seperti yang diterapkan oleh mak dan ayah masa kecil-kecil dulu. Selepas solat zohor, pergi mengaji al-Quran, selepas solat asar baru boleh keluar rumah, selepas solat Isyak baru makan malam dan tengok tv. Dalam sejarah hidup saya, saya belum pernah menyaksikan perlawanan bola di mana-mana stadium kerana bola bukanlah satu keutamaan pada saya.






Main perang-perang.
Memang menyeronokkan permainan ini. sebelum bermain permainan ini saya dan kawan-kawan akan menyasarkan terung pipit untuk diambil untuk dibuat peluru, cari papan, getah, paku untuk dibuat senapang. Musim pilihan raya lagi seronok kerana kami akan mengutip bendera-bendera yang jatuh kat jalan untuk ditampal pada kubu tempat kami bermain. Ada juga orang-orang tua yang marah kerana kata mereka permainan ini bahaya tetapi kami tak mengendahkan nasihat mereka. Ayah biasa marah bukan tak bagi bermain permainan ini tapi papan yang dia buat bangsal ayam yang jadi mangsa untuk dibuat senapang. Mak pula suka membebel menjelang malam kerana saya selalu mengadu gatal-gatal terutama pada kaki dan tangan kerana siang hari meredah semak untuk mencari terung pipit yang tumbuh meliar kat dalam semak. Dan pada kebiasaan juga ayah dan mak memastikan saya dan adik keluar bermain dahulu untuk mereka pergi ke Bandar Kota Bharu untuk membeli belah atau sekadar pergi makan angin.

Bola kaki tiga
Saya tidak berapa menggemari permainan seperti ini kerana saya selalu berada dalam group yang kalah. Satu sebabnya ialah kami akan bermain permainan ini bila dah tidak ada permainan lain dah untuk bermain. Kalau permainan hide and seek dah main kat sekolah waktu rehat. Kami hanya akan menyuruh kawan sekelas kami yang tak join untuk membeli makanan kat kantin. Permainan ni hanya kelas kami je yang main.masa tu saya darjah 4. Pernah sekali kawan saya tidak masuk kelas selepas waktu rehat. Tak taulah di sembunyi dekat mana hingga kami tidak menjumpainya. Rule permainan ni mudah, hanya boleh sembunyi dekat kawasan kelas dan koridor je. Paling jauh pun kelas sebelah, kelas musuh bola sepak kami kerana kami ada waktu PJK yang sama. Waktu PJK jika cikgu tidak mengajar kami akan lawan bola antara kelas. Kelas kami yang selalu menang kerana kami ada penjaga gol, defender, midfielder dan striker yang mewakili sekolah Kelas kami pernah dapat anugerah kelas paling bising 3 bulan berturut-turut. Apa yang saya tau penilaian tu akan dibuat bila cikgu-cikgu ada mesyuarat. Semasa ketiadaan cikgu kami biasanya main hide and seek versi cikgu tiada dalam kelas. Menggunakan rule yang sama.

Sekadar menceritakan nostalgia yang lalu kerana setiap daripadanya memberi pengalaman yang berbeza dalam penjelajahan menuju alam yang lebih memerlukan cabaran. Hanya permainan sebegini yang boleh saya dan rakan-rakan terokai kerana rata-rata masyarakat kampung hanya bekerja sebagai nelayan, tukang rumah, buruh kasar dan kerja-kerja kekampungan manakala ibu-ibu hanyalah menjadi suri rumah sepenuh masa, kalau yang hidup lebih selesa pun biasanya yang bekerja sebagai guru kerana mempunyai gaji yang tetap. Keluarga kami kebanyakannya tidak mampu untuk membelikan anak-anak mereka permainan-permainan kerana pendapatan yang diperolehi sekadar mencukupi untuk keperluan harian. Saya juga merasa hiba bila penggal sekolah hendak bermula kerana kebanyakkan teman-teman sekelas sering meminta dan merayu pada guru kelas untuk menangguhkan yuran persekolahan disebabkan kesempitan hidup. Walaubagaimana pun kami tetap menyokong kerajaan PAS yang menerajui negeri kami kerana kami bukan ingin mengejar kehidupan berorientasikan material semata-mata. Harta dan kemewahan boleh di cari manakala pemimpin yang adil boleh diundi dengan tertegaknya amalan demokrasi..

Dewasa ini ramai dikalangan warga tua di kampung yang hidup selesa kerana anak-anak ramai yang sudah berjaya. Keperitan hidup mengajar anak-anak kampung untuk lebih berusaha demi membela nasib keluarga di desa. Sudah menjadi lumrah anak muda merantau ke negeri orang untuk menimba ilmu, mencari pekerjaan dan menimba pengalaman. Ini bukan disebabkan negeri kami yang dikatakan mundur oleh pihak kerajaan persekutuan yang menekan negeri Kelantan kerana selera orang Kelantan bukan spaghetti berperisa rasuah tetapi makan nasi kerabu budu asli yang halal.
Kerinduan ketika melayari zaman kanak-kanak sangat berharga dalam pembentukkan jati diri kita pada masa kini bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kanak-kanak generasi kini terlalu dimanjakan ibarat menatang minyak yang penuh. Adakah masa sudah berubah atau peradaban manusia semakin maju?

al-quran

Listen to Quran

lawati juga