Saturday, October 8, 2011

sahaja update

salam alaik

Lama betul tidak menulis rasanya, tiba-tiba sahaja semangat jadi hilang untuk berkongsi dengan kalian yang sudi menjengok blog yang tidak seberapa ini. Insya Allah harapnya semangat ini pulih dan lebih bersemangat untuk mencari input yang menarik kepada anda semua. Kesibukan sering kali membunuh semangatku dalam berkarya. Entah kesibukan apakah yang membuatkan aku lupa dan alpa kepada keindahan dan pesona dunia. Mungkin aku perlu disegarkan dengan tarbiyyah agar aku tidak terlanjur pada cinta dunia yang menhanyutkan. Aku dayus dalam cinta dan pesona dunia.

Aku sering marah bila melihat kepada kemungkaran tetapi sejak akhir-akhir ini aku sering terdedah dengan kemungkaran dan kejahilan. Alhamdulillah Allah masih menjagaku. Baru-baru ini aku pernah bertelagah dengan orang yang tidak aku kenali berkenaan dengan arak, aku katakan jika encik bagi saya seribu ringgit untuk saya pegang pun saya takkan pegang. Dia membalas, pegang pun tak boleh? dari pondok mana kamu belajar. Encik tak belajar ke? balasku. Saya belajar tidak lah tinggi tapi saya dengar yang ustaz-ustaz saya ajar kat sekolah dulu, sambungku. Hari tu perdebatan tidak boleh dielakkan dan memang aku pulang ke rumah dalam keadaan sangat marah. Aku tidak mengalah dan pak cik yang sedang menunggu ajal itu pun mengaku menang sebab boleh mematahkan hujah yang aku kemukakan. Memang aku sedar sukar untuk berhujah dengan orang sedemikian, berpegang pada hujah walaupun ia di pihak yang salah sebagaimana Abu Jahal meyakini bahawa dia berada di pihak yang benar walaupun jelas menentang Rasulullah utusan Allah.

sekian sahaja untuk kali ini, salam

Thursday, September 22, 2011

Fitrah

Salam alaik

Sudah dua bulan dibiarkan blog ini sepi tanpa sebarang hebahan. Tidak ada sesuatu pun menarik untuk dikongsikan kepada kalian. Dari Ramadhan hingga ke Syawal tidak banyak yang dapat dilakukan. Memang tahun ini serasanya tidak ada langsung roh dan semangat berpuasa pada bulan Ramadhan. Memang terasa kosong, malah kesempatan malam lailatul qadr benar-benar terisi ataupun tidak. Semua itu aku tidak tahu. Tetapi apakan daya Ramadhan sudah berlalu, Syawal pun sudah berada di penghujungnya.

Memang jiwa terasa sangat kosong ketika itu dan berlarutan sehingga kini. Masih tercari-cari di mana silapnya percaturan kali ini. Bulan Ramadhan tertewas, syawal aku tersungkur. Inilah kali pertama aku rasakan sebegini, terlalu banyak ketawa, jarang sekali menangisi. Sedangkan diri aku sedar yang aku hanyalah di jadikan dari tanah yang hina. harap-harap ia tidak berlanjutan menjadi fitrah yang mengecewakan.

Wednesday, July 6, 2011

Tahniah Red Warriors

Tahniah diucapkan kepada pasukan Kelantan atas kejayaan merangkul gelaran juara Liga Super Malaysia setelah menuspaskan Sabah malam tadi. Terima kasih juga kepada 2 gol bermakna oleh striker kebangsaan Nor Shahrul Idlan Talaha walaupun Kelantan hanya memerlukan keputusan seri bertemu Sabah.

Sekiranya Kelantan seri, Selangor masih berpeluang untuk merangkul gelaran johan tetapi memerlukan keajaiban untuk menumpaskan Perak sekurang-kurangnya 12-0 manakala Terengganu boleh berangan-angan untuk menggandakan gelaran setelah memenangi piala FA dengan mengharapkan Kelantan tumpas, Selangor sekurang-kurangnya seri sambil menang dengan sekuranf-kurangnya 7-0 menentang Felda United. Terengganu menang 6-2 tetapi apabila mengharapkan pasukan lain keciciran mata, ia sesuatu yang silap. Pahang pula mengikut jejak langkah Perlis untuk berundur dari MSL.

Apa yang pasti ini akan diraikan oleh seluruh rakyat negeri Kelantan setelah gagal untuk memenangi piala FA setelah tumpas dengan negeri berjiran Terengganu. Ia juga akan mengembirakan penyokong baru Red Warriors, iaitu PM gagasan 1Malaysia setelah dinobatkan oleh Presiden KAFA sebagai penyokong Kelantan walaupun seluruh alam semester mengetahui Najib bukan orang Kelantan. Jika berkaitan pun kerana Jersi home Kelantan bewarna merah menyerupai simbolik warna parti UMNO, dan dapat difahami mengapa beliau berpaling tadah dengan Pahang, kerana salah satu jersi Pahang bewarna kuning yang amat menakutkan beliau. Apalagi kalau bukan kerana warna digunakan untuk perhimpunan BERSIH. Perlu diingatkan warna memainkan peranan dalam sokongan beliau kepada sesuatu pasukan, tidak mungkin juga beliau menyukai N9, negeri kelahiran isteri beliau kerana mempunyai jersi yang sama warna dengan Pahang.

Sekitar lingkungan BERSIH 2.0 mungkin hanya diadakan secara tertutup bukan perarakan jalanan sebagaimana BRSIH edisi pertama. Kenapa menyekat kebebasan rakyat sedangkan kerajaan mengatakan negara ini mengamalkan negara demokrasi raja berperlembagaan?
Apa-apa pun kita mengharapkan negara kita berubah rupa tidak seperti cawan sedia kala dengan acuan British yang memesongkan.
sekian

Tuesday, July 5, 2011

penuh kebosanan

Salam alaik,

Sudah memasuki bulan Syaaban tetapi tiada apa pun persiapan yang dilakukan untuk menghadapi Ramadhan kali ini. Sungguh menyedihkan. Dalam tidak sedar juga aku telah bekerja selama sebulan lebih dan juga merupakan bulan terakhir aku bekerja. 2 bulan rasanya sudah cukup untuk aku timba pengalaman dalam sektor pekerjaan yang menghadirkan pelbagai kenangan suka duka dan juga pahit manis. Ia banyak menyelubungi suasana yang tidak pernah aku jangkakan kerana aku seolah-olah seperti berada dalam bayangan yang suram. Penuh dengan kebosanan, aku tidak menyesal tetapi tidak menikmati suasana yang seringkali aku hajatkan.

Aku sudah membuat keputusan dengan mempertimbangkan banyak perkara dan harapnya ia adalah baik untuk aku dan aku mengharapkan redha-Nya dalam setiap perjalanan hidup aku. sekian sahaja.

Saturday, July 2, 2011

Stadium Baru? Bila?

Salam alaik

Jika dalam minggu ini kebanyakkan blogger politik menyiarkan artikel berkenaan isu BERSIH, Panglima Perang Cyber pula meletakkan video pengbohongan penipu besar yang berjanji akan membina stadium baru di Kelantan bagi menggantikan stadium Sutan Muhammad ke-IV. Itupun sekiranya BN menang PRU-13. Beliau berucap didepan ribuan penyokong Red Warrior semasa lawatannya selama sehari bersama dengan isteri. Siapa dia? aku tidak kenal.

Bagi isu stadium baru,takkan la tukar kerajaan baru dapat stadium baru. Memang diakui Kelantan sejak akhir-akhir ini dikatakan pasukan yang menonjol bersama pasukan elit di Malaysia bahkan pasukan sekuat Selangor tidak pernah menang menentang Kelantan dalam empat percubaan terakhir mereka. Juga diakui peminat Kelantan memang fanatik dengan pasukan kesayangan mereka dan dengan pembinaan stadium baru pasti akan menambahkan lagi keterujaan rakyat di negeri ini. Akan tetapi adakah rakyat Kelantan akan menerima BN hanya semata-mata kerana janji parti yang memerintah kerajaan pusat yang masih gagal untuk menawan hati rakyat kelantan hampir 21 tahun. Aku hidup dalam kerajaan negeri yang diperintah oleh PAS. Walaupun banyak fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kepada kerajaan pimpinan Tuan Guru, rakyat masih setia di bawah pimpinannya.

Stadium baru bukanlah penentu kepada keputusan pilihan raya akan datang kerana janji hanya tinggal janji seperti mana yang telah dilakukan oleh BN di mana-mana pilihan raya kecil di negeri ini. Janji di Pengkalan Pasir 2008, janji di Manek Urai, janji di Galas, dan lain-lain tempat adakah sudah dikotakan? Di sini kita boleh menilai kerajaan Bencana Najib tidak ikhlas untuk rakyat. Kerajaan patut berasa bertuah kerana mana ada kerajaan di dunia ini dibantu oleh rakyat, harga barangan naik, subsidi minyak bakal dihapuskan, tarif elektrik naik. Inilah namanya rakyat didahulukan untuk menolong kerajaan dan pencapaian diutamakan untuk kerajaan.

Tuesday, June 28, 2011

ku sambung cerita

Salam alaik,

Aku ingin sambung ceritaku pada entri kali ini, aku rasa sepanjang bulan jun ini aku tidak mahu membebankan minda untuk meletakkan perkongsian yang konkrit. Aku hanya mahu membebaskan mindaku yang agak kusut. ceritaku kali ini juga berkisar tentang peristiwa yang berlaku di tempat aku bekerja juga. Bulan ini seolah-olah aku mempelajari sesuatu yang aku dengar dan juga melalui pembacaan yang diaplikasikan dengan penglihatanku. Aku belajar melalui penglihatan dan dengan apa yang aku lihat akan aku jadikan ia tauladan dan sempadan yang baik demi kebaikanku dalam beragama. InsyaAllah.

Dua minggu yang lalu, ada seorang customer yang sangat bagus dari segi pakaiannya, berkopiah dan menyimpan janggut hampir paras dada. Pada zaman sukar untuk melihat seseorang yang sedemikian. Ketika itu waktu sudah menunjukkan pukul 9 malam, pada waktu sebegini pelanggan sudah pun berkurang, semasa ia singgah untuk membeli ayam, dia meminta aku untuk memotong ayam itu kerana di tempat aku bekerja menyediakan free cutting service. Kesempatan itu aku gunakan untuk berbual dengan lelaki berkenaan, bukanlah seorang peramah. Setiap pertanyaan yang ajukan hanya dijawab dengan nafas yang bersahaja. 2 pertanyaan yang betul aku ingat ialah adakah dia datang dengan isteri? hanya anggukan yang diberi. Dimana isteri pak cik? maka tunjukkan jari sahaja diberikan. Alangkah terkejutnya aku, 2 orang perempuan free hair yang ditujukan jarinya sambil dia berkata yang muda tu anaknya.

Dua orang yang ditunjukkan tadi menghampirinya dan bercakap sesuatu yang aku tidak jelas apa yang dibincangkan 3 beranak tu. Isterinya sempat bertanya aku macam mana nak bagi ayam tahan lama. Maka aku katakan, ayam yang kami display biasanya kami litupi ais supaya kulit dan isi tahan lama dan tidak cepat busuk. Sebenarnya jawapanku hanyalah untuk memberi hint bahawa menutup aurat itu wajib. Dan aku rasakan si suami faham apa yang aku maksudkan kerana dia cepat-cepat beredar setelah aku siapkan permintaan dia tadi. Inilah yang dimaksudkan dayus yang sebenar, membenarkan anak-anak dan isteri dilihat auratya oleh orang lain. Teringat kata-kata seorang sahabat aku, bajet layak masuk syurga sorang mana lepas, anak bini nak ikut jugak, syurga tinggal bersama, neraka pun bersamalah, tu baru pasangan cinta sejati. Benar, syurga dan neraka tu hak mutlak Allah tetapi setiap perbatasan yang Allah tetapkan haruslah dipatuhi. Orang yang beriman tidak akan membenarkan dirinya dan ahlinya terhumban ke lembah neraka.

Bukan niat aku untuk memburukkan sesiapa kerana kebanyakkan yang aku tulis dalam blog aku, aku tidak sertakan nama sesiapa pun. Tujuan aku ialah apa yang baik hendaklah dijadikan tauladan dan apa yang buruk kita buat sempadan.

Sunday, June 26, 2011

Izinkan aku bercerita

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil".
Muhammad Bin Abdullah

Salam alaik.
Hambar rasanya blog ini, sudah genap sebulan tidak ada sebarang update. Sebenarnya sepanjang bulan ini banyak perkara yang berlaku dan sukar untuk digambarkan kerana ia mencetuskan kemelut dan perkara-perkara yang tidak ingin berlaku sepanjang hidup aku. Untuk kali ini, izinkan aku bercerita kerana aku rasa aku perlu demi kebaikan dan kepentingan kita bersama. Mungkin olahan rangkap ceritaku tidak memenuhi suasana romantik, seperti mana merpati dua sejoli mengalunkan bait-bait lagu yang puitis. Aku bukan seorang yang gemar menulis cerita. Ikutilah penyampaian dariku yang sederhana ini.


Lima hari lagi genap sebulan aku bekerja full time dengan option yang diberikan selama 3 bulan iaitu 2 hari sebelum hari raya akan berakhir kerjaku di tempat aku bekerja sekarang. Aku tidak mengatakan aku akan memenuhi tempoh itu semasa diminta oleh HR disana dan aku juga tidak mengetahui adakah aku mampu bekerja sehingga 3 bulan atas beberapa sebab yang jelas dan hanya Allah sahaja yang tahu. Apa yang pasti aku cuba memenuhi bulan pertama bekerja dan tengok pada keadaan samada teruskan bulan kedua ataupun penuhi sahaja permintaan 3 bulan. 3 bulan? Ia agak berat untuk aku realisasikan kerana 3 sebab jelas. Pertamanya, bulan Ogos adalah bulan Ramadhan, aku tidak bermasalah untuk bekerja bulan Ramadhan. Keduanya, aku seperti disediakan untuk shif petang berlarutan hingga ke malam, ini sukar untuk aku, lebih-lebih lagi selalu bertugas berseorangan yang sepatutnya berdua. Dimana perginya seorang lagi? aku tidak akan memberi ulasan pada perkara itu. Biar aku dan beberapa orang sahaja yang tahu perkara itu. Perkara 3 adalah penting bagiku, seperti mana yang kita tahu pekerjaan adalah satu ibadah, jadi aku tidak menikmati pekerjaan aku sekarang, aku takut ibadat aku menjadi rosak kerana aku melalaikan apa yang menjadi tanggungjawab dalam ibadat yang lebih wajib. Sepanjang seminggu ini aku banyak berfikir dan keputusan segera yang aku buat ialah akhir Julai adalah pengakhiran untuk bekerja walaupun ada amaran blacklist jika aku tidak memenuhi 3 bulan tempoh yang disarankan. Bagiku, blacklist syarikat bukan pengakhiran bagi rezeki aku. Yang Pemurah sedia memberikan ruang dan peluang kepada aku untuk mengutip hasil kurniaanNya yang melata di bumi ini.

Sebenarnya aku pernah bekerja di sini pada nov-dec tahun lalu semasa tempoh cuti semester, semasa aku tiba di shah alam dari cuti di kota bharu, aku terus ke tempat yang pernah aku bekerja. Di sini adalah rezekiku barangkali, aku terserempak dengan bos aku dan dia memberikan borang untuk aku isi, kali ini bersama 4 rakan serumah bekerja di sini. Jadi aku tidak keseorangan walaupun kami dipecahkan kepada department yang berbeza. Aku juga terkecuali kerana aku diberikan shif petang sedangkan yang lain semuanya pagi. Aku terima dengan positif, lagipula genap 15 hari aku bekerja telah bertambah seorang lagi staf, bermakna aku boleh mengambil shif pagi, itu yang dijanjikan oleh ketua department aku. Malangnya ia tidak kesampaian kerana staf yang baru masuk telah berhenti walaupun tidak sampai 14 hari bekerja. Aku suka shif petang atas satu faktor sahaja, tidak perlu bekejar-kejar ke tempat kerja pada waktu pagi. Cuma pada pukul 7 malam-8.30 malam, ramainya pelanggan yang membeli-belah. Kalau aku berseorangan, aku tidak boleh tinggal sesuka hati kerana aku bekerja di division fresh market, pada minggu pertama memang merah padam ku rasakan muka aku kerana aku, selalu sahaja solat maghrib menghampiri solat isyak, ini bukan kebiasaanku dan aku tiada sebab untuk berbuat sedemikian. Masuk minggu kedua dan seterusnya, masuk je waktu maghrib aku terus solat. Pernah sekali, aku tinggalkan department untuk 15 minit, beratur pelanggan kat tempat aku bekerja, ada seorang mak cik sindir aku, dah la lambat, tak reti nak minta maaf pulak. Tak perlu minta maaf, aku balas dalam keadaan berlapik. Adakah aku perlu meminta maaf sedangkan aku menunaikan tanggungjawab aku? persoalan ini muncul kembali.

Sekadar ini sahaja buat kali ini, InsyaAllah akan aku sambung ceritaku terperanjat seperti bertemu makhluk asing dari marikh. sekian

Sunday, May 22, 2011

Kerana Allah

Salam alaik

Ucapan takziah diucapkan kepada keluarga mangsa kejadian tanah runtuh yang di Hulu Langat, Selangor, semoga di tempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Kejadian yang berlaku kira-kira 2.15 petang semalam mengejutkan banyak pihak. Berita ini disambut sayu oleh segenap lapisan masyarakat dan ramai yang tampil menghulurkan tangan memberikan bantuan. Tetapi apa yang mengejutkan aku adalah mengenai pengumuman pengacara AF semalam bahawasanya hasil kutipan dari undian penonton semalam akan disalurkan kepada mangsa tanah runtuh. Malaysia ini sangat unik dalam kemaksiatan masih lagi diselitkan untuk tujuan kebaikan. Sebab itu mucul banyaknya program berunsur nyanyian dan pelbagai lagi untuk tujuan mendapatkan dana untuk di sumbangkan kepada badan-badan amal. Kalau ceramah atau program berbentuk kesenian Islam masih lagi boleh diterima. Lebih baik rasanya kutipan itu digunakan untuk membalut tubuh peserta wanita muslim dalam program itu terlebih dahulu.

Masih terngiang lagi dalam fikiran kini pada sebuah kuliah maghrib minggu lalu, kalau kita berusaha untuk mencari ilmu Allah, maka dengan sendiri terhapusnya sifat sombong, bongkak, ujub dan sifat-sifat mazmumah yang lain. Kadang-kadang ada orang menghadiri majlis ilmu dengan sikap tercela kerana mereka merasakan mereka datang ke majlis atas kudrat mereka sendiri. Kita harus menyedari bahawa kita berada di masjid atau majlis-majlis sedemikian adalah atas kehendak Allah. Kita merasakan kita berada di situ kerana kita sihat, sedangkan ramai lagi lebih sihat dari kita tetapi tidak dapat berada di sana, kita merasakan kita dapat meluangkan masa kerana kita diberi kelapangan waktu, bahkan ada lagi orang lebih lapang masanya dari kita tetapi tidak meluangkan masa di tempat yang sepatutnya. Sikap rendah diri seharusnya ada bagi setiap orang muslim.

Apa sahaja yang kita lakukan mestilah kerana Allah. Jangan lah pula bab-bab yang bersangkutan dengan ritual keagamaan sahaja dilakukan kerana Allah seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Ibarat seorang isteri kepada si A, di mana-mana sahaja dia perlulah menjadi isteri kepada si A. Bukannya di rumah dia isteri kepada A, di pejabat menjadi isteri kepada si B dan di tempat lain menjadi isteri kepada yang lain pula. Jika perkara ini berlaku maka porak perandalah institusi rumah tangga. Begitulah juga dengan kita sebagai hamba-Nya. Apa sahaja yang kita lakukan mestilah dengan istiqamah kerana Allah. Ini kerana dengan kudrat-Nya dia mencipta manusia sebagai khalifah mentadbir bumi ini, juga sebagai hamba yang sepatutnya berbakti dan patuh pada-Nya. Dan Allah juga mengingatkan kita melalui firmanNya bahawasanya Allah tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaNya.

Jiwa yang kering dan gersang haruslah di tanam dan disirami dengan peringatan berunsur nasihat dan teguran agar ia tidak tergelincir ke lembah penghinaan. Dan diharapnya apa yang ditanam dan disirami itu tumbuh dengan mekarnya kecintaan seorang hamba kepada Sang Pencipta ibarat sebuah padang rumput yang kontang ditumbuhi hamparan lautan bunga setibanya musim bunga sejauh mata memandang. Disitulah kita merasakan betapa indahnya panorama yang kita lihat yang menghiasi pandangan mata.

Monday, May 16, 2011

Mei

Salam alaik

Rasanya agak terlewat untuk ucapkan Selamat Hari Guru, mungkin disebabkan line kurang jelas waktu ini. Apa-apa pun diucapkan selamat hari guru kepada semua guru-guru di Malaysia dan seantero dunia. Sepanjang Mei memang banyak sambutan dari sambutan hari buruh, hari ibu, sambutan nakbah oleh rakyat Palestin, Peristiwa tertubuhnya gerakan rahsia Illuminati dan beberapa lagi yang mungkin tidak saya sebutkan atas terbatasnya pengetahuanku. Dan ada juga cadangan ingin mewujudkan hari pensyarah berdasarkan apa yang diberita oleh akhbar hari ini. Ini merupakan satu idea yang baik tetapi ada ramai juga dalam kalangan rakyat yang tidak menikmati kehidupan sebagai seorang graduan. Bagiku sambutan hari guru relevan untuk guru-guru dan juga pensyarah kerana kedua-dua profesion ini adalah pendidik.

Tujuan menulis blog kali ini bukanlah hanya tertumpu kepada sambutan hari hari guru semata-mata. Tidak dinafikan pada hari ini orang hanya menceritakan tentang jasa guru, pengorbanan guru dan sebagainya. Itu harus dihargai tetapi bukan hanya sekadar 16 Mei sahaja sebagaimana rakyat Malaysia memperingati peristiwa berdarah 13 Mei. Mungkin ramai dalam kelompok muda-mudi hari ini tidak mengambil kisah tentang peristiwa berdarah itu tetapi apa yang perlu diambil perhatian ialah mengambil iktibar dan tauladan daripada peristiwa berkenaan. Bulan ini juga timbul api kemarahan umat Islam di Malaysia apabila ada berita yang tidak bertanggungjawab melaporkan agama Kristian adalah agama rasmi negara. Ini bukan sahaja berita palsu malah tidak beretika dan bertanggungjawab untuk melaga-lagakan agama di Negara ini. Rakyat sedia maklum dan faham tentang kebebasan beragama di negara ini disamping menerima Islam sebagai agama pesekutuan dan juga agama rasmi negara. Oleh itu media harus berwaspada kerana kita harus ingat tiada kerajaan yang utuh di muka bumi ini melainkan Kerajaan Allah.

Bulan ini juga diberitakan tentang kematian orang paling dikehendaki oleh Amerika Syarikat iaitu pemimpin rangkaian Al-Qaeda. Al-Qaeda dikatakan pertubuhan yang menganjurkan kegenasan atau ekstrimis dalam mengamalkan agama sehingga wujud Islamofobia di sebelah barat. Tidak hairan jika orang non muslim fobia dengan Islam tetapi agak pelik orang Islam yang fobia dengan agama sendiri sehingga sanggup bahu-membahu meruntuhkan apa sahaja yang berhubung kait dengan Islam sedangkan Islam tidak boleh terpisah dengan cara hidup. Ini mungkin dikatakan ramai yang Islam jika melihat pada kuantiti tetapi berapa ramai yang ingin mengadaptasikan cara hidup Islam. kita kekurangan dalam kualiti. Berkenaan dengan Osama bin Laden yang dikatakan terbunuh dalam operasi rahsia itu, ada setengah pihak bersimpati dan sebahagian lagi bersorak gembira. modus operandi perbunuhan ini hanyalah salah satu dari kempen popular Obama untuk mengekalkan kerusi Presiden USA untuk penggal kedua yang dijangka akan berlangsung tahun hadapan.

15 Mei akan disambut dengan kesedihan oleh penduduk Palestin kerana ini adalah malapetaka yang sebenar bagi mereka setelah zionis mengambil tanah mereka untuk menubuhkan negara haram Israel bermula dari tahun 1948 lagi. Sudah hampir 63 tahun Palestin dalam derita. Dengan berita permuafakatan yang terjalin antara Hamas dengan Fatah diharap dapat memberi sinar baru di Palestin. Lupakan tali barut Mahmod Abbas kerana apa yang kita harapkan Palestin dapat bernaung kembali tanpa ada sebarang kekacauan dan penindasan dari kerajaan Israel kerana nakbah adalah merupakan holocaust yang sebenar bukannya di Jerman seperti yang disuarakan oleh puak yahudi. Itu hanyalah helah mereka supaya masyarakat dunia bersimpati dengan mereka dan juga mungkin satu agenda mereka untuk menubuhkan negara mereka sendiri. Yahudi memang licik sejak azali lagi, jika tidak masakan mereka rela membunuh nabi-nabi mereka sendiri.

Rasanya sekadar itu sahaja yang mampu dicoretkan pada hari ini. InsyaAllah jika diberi ruang dan kelapangan akan ku coretkan lagi di dalam blog yang mungkin merupakan suara bisuku untuk meluahkan kata-kata. Jika mengharapkan kata-kata lisan mungkin ia kelu tanpa sebutir suara kedengaran. sekian.

Monday, May 9, 2011

fitnah untuk lelaki

Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda “Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela-selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita” (HR Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)
Memang boleh dinafikan tentang perkara ini kerana sikap kebergantungan itu selalu ada. Dalam 2 minggu ni sahaja, banyak perkara yang aku perhatikan dan rasanya perlu untuk menulis sesuatu dalam blog ini yang aku biarkan kosong selama lebih kurang separuh bulan. Ada 2 sebab kenapa aku biarkan sahaja ia tidak diupdate. Pertama kerana ia minggu peperiksaan, jadi aku tidak mahu membebankan minda untuk menulis walaupun ia sebagai perkongsian ringan. 2 kerana aku tidak bersedia untuk menulis walaupun banyak peristiwa berlaku sepanjang minggu.

Kali ini aku ingin bercerita tentang wanita kerana ada beberapa sebab yang membuatkan aku tertarik untuk berkongsi dengan kalian. Pertamanya, pada waktu peperiksaan akhir, aku lihat ramai yang berbaju kurung pada hari Jumaat, jadi ia menarik perhatian aku untuk bertanya, kenapa hari jumaat kalian berpakaian sopan sedangkan pada hari lain tidak sebegitu? maka jawablah seorang hamba Allah ini, menghormati hari jumaat sebagai saiyyidul ayyam (penghulu segala hari). Mudahkan jawapannya. kenapa hari jumaat harus dihormati. Teringat kisah orang-orang yahudi apabila mereka diminta untuk tidak menangkap ikan pada hari sabtu. memang benar mereka tidak pergi menangkap ikan pada hari sabtu tetapi mereka menahan jala atau membuka terusan supaya ikan memasuki jerat mereka pada hari sabtu. itu hanyalah alasan semata-mata. Aurat atau berpakaian sopan tidak mengikut hari tetapi ia perlu di jaga sepanjang masa.

Seterusnya ialah kerana aku sedih melihat ramainya perempuan yang merokok, perempuan merokok? agak pelik semasa aku kecil-kecil dulu tetapi bila lihat dengan mata sendiri rupanya bukan wanita mat saleh sahaja yang merokok? aku juga sempat bertanya pada seorang sahabat lelaki, best ke merokok ni kerana aku bila terhidu asap boleh pening. Ada seorang sahabat aku apabila tidak merokok sehari akan menyebabkan ia muntuh-muntah. Alhamdulillah syukur aku tidak pernah merokok. Aku takut melihat gejala dan budaya kuning yang merosakkan pada waktu ini kerana tidak mustahil pada generasi akan datang ia pasti lebih hebat dan mencabar. Yang paling dasyat tentunya fitnah dajjal diakhir zaman. Ketika ini kita hanya menyaksikan konco-konconya sahaja yang membuat onar, tetapi itu pun dah cukup dasyat. Aku tidak terkejut pada waktu seorang penceramah memberi tahu pengikut dajjal, ramai terdiri dari kaum hawa. Untuk mengelakkan diri dari fitnah dajjal biasakan diri membaca surah al-kahf pada malam dan hari jumaat bukannya mewajibkan diri menonton cerita hantu di saluran tv tahyul dan taghut.

Satu perkara lagi aku menjadi segan melihat aksi orang tak tahu malu, ramai yang beraksi over married sedangkan mereka belum mempunyai ikatan yang menghalalkan cara berkelakuan sedemikian. Mengapa perceraian tinggi berlaku di negara ini. Pada pendapatku mungkin disebabkan rasa jemu. Jemu sebab masa belum kahwin dah acting macam orang dah berkeluarga, jemu sebab masa belum kahwin dah expert mengalahkan orang sudah berkahwin. Dan kemungkinan juga kerana apabila melakukan sesuatu yang dimurkai Allah akan dibalas oleh Yang Maha Adil (ini adalah pendapatku sendiri, selainnya aku serahkan kepada Yang Maha Mengetahui akan segala sesuatu.).

Tentang penulisanku, kenapa aku menulis apa yang berada disekitarku, menulis ini mengingatkan aku pada diriku yang selalu alpa, menulis mengurangkan kegundahan pada ingatkan mati, menulis juga menasihatkan aku bahawa aku juga tidak sempurna. sekadar itu sahaja untuk perkongsian kali ini. Aku memohon sejuta kemaafan jika ada tersilap kata dalam ruang penulisan yang daif ini.

al-quran

Listen to Quran

lawati juga