Tuesday, March 29, 2011

Rasa bangga dapat baca artikel orang bongkak dan angkuh

Dah lama rasanya tidak melayari laman blog atau sesawang internet. Hujung minggu yang sangat sibuk dan meletihkan. Baru aku mengerti betapa bernilainya nikmat lapang, betapa bertuahnya dikurniakan nikmat sihat. Hujung minggu yang telah berakhir memang agak memeritkan untuk kali ini, aku tidur walaupun tidak terlelap, terjaga walaupun hakikatnya aku tidur. Inilah kesilapan yang ingin aku elakkan selama hidup aku, tetapi kali ini ia terjadi lagi. Masa telah menghukum aku dalam keadaan aku sedar ia tidak mampu diundur lagi.

Melihat pada akhbar minggu ni memang menarik, hampir semua warta berita menyiarkan cerita perihal video seks pemimpin pembangkang menurut media pro kerajaan. Pada pertama kali aku melihat tajuknya, sudah terfikir di dalam mindaku bahawasanya ramai yang suka kepada keaiban walaupun Allah menutup keaiban mereka. Adakah mereka lupa apakah balasan yang bakal mereka peroleh hasil mendedahkan aib dan sekirannya ia tidak benar, ia telah membangunkan fitnah yang sedang tidur. Ketahuilah fitnah itu tidur, jangan sekali-kali kita mengejutkannya.

Tiba pula masa untuk membaca blogger-blogger munafikun, lagi dasyat mereka mengagung-agungkan pemimpin mereka yang taghut kerena berjaya membongkar satu rahsia dalam selimut orang lain. Kalaulah si taghut ini berkata benar, maka satu jaminan bagi pengikut yang buta ini masuk syurga!!!. Bangganya aku kerana aku mempnyai pemimpin yang ma'sum, iaitu orang yang terhindar dari melakukan kesalahan apatah lagi dosa. Jika pemimpin kerajaan melakukan kesalahan,  di mana media massa yang akan tampil mengatakan mereka telah melakukan kesilapan. Tengok sahaja bukti baru-baru ini setelah kejatuhan rejim Hosni Mubarak, seorang pemimpin negara tampil untuk memberi pandangan tentang ikhwanul muslimin. Tetapi beliau mengambil tindakan mengecam ikhwan bukan memberi sokongan atas persaudaraan sesama Islam. Maaf aku tidak kenal pemimpin itu sebab aku tidak pernah mengundinya dalam mana-mana pilihan raya pun. Jika beliau ditakdirkan panjang umur dan diletakkan bertanding bersama dengan beruk, aku lebih rela mengundi beruk. Atas alasan apa? Aku sangat takut pada Allah. Aku tidak rela untuk melihat Malaysia selama-lamanya di perintah oleh golongan sebegini.

Mengapa aku berasa bangga dapat membaca artikel dari mereka yang bongkak dan angkuh ini, jawapan yang mudah, kerana mereka merasakan mereka telah menang dalam tipu daya mereka, sedangkan mereka lupa, Allah lah sebaik-baik pembalas bagi tipu daya yang mereka lakukan untuk membunuh perjuangan umat Islam yang masih berpanji kepada Al-quran dan sunnah Rasul-Nya. Aku pohon agar selalu diletakkan bersama pejuang-pejuang Islam kalaupun ia hanya dalam kuantiti yang sedikit tetapi ku yakin 100% ia berkualiti tinggi kerana Allah membeli perdagangan mereka dengan mengurniakan nikmat syurga.

sekian

Monday, March 14, 2011

cerita hari ini

Hari ini 14/3/2011 merupakan hari yang bercampur baur, hujan yang sangat lebat turun hari ini, serasanya sepanjang di Shah Alam ini merupakan hari yang paling lebat hujan turun, tambahan pula ia terbias ke dalam rumah. banyak ada 3 buah buku aku habis basah, cuma ia mendatangkan kekaguman ku pada hari ini ialah quran ku tidak basah, walhal ia berada di tempat yang sama, bajuku yang tersidai semuanya basah dan ada yang diterbangkan angin, tetapi nasib juga menyebelahi aku kerana kelas petang dibatalkan. Kilat pula turun sambar menyambar, mengingatkan daku pada seseorang. dia pasti akan menekup muka dan telinga bila guruh berbunyi.

Pada sebelah malam main futsal dan badminton, memang sudah lama tak main badminton, 5 tahun. kali terakhir aku main badminton masa form 4 untuk selection wakil maktab suzon. lepas tu dah simpan raket dalam almari. tak sangka hari ini boleh main lagi. ingatkan sudah gantung raket buat selama-lamanya. paling terkejut boleh menang pula match tu. Dah la main terkial-kial. memang hari ni target untuk main suka-suka. Esok masih ada lagi match untuk badminton dan futsal. main lagi untuk suka-suka kerana bukan selalu ada penganjuran sukan sebegini. tak harapkan kemenangan cuma niat sebagai riadah.

Bab rezeki juga rasanya langkah kanan hari ini sebab dapat makan percuma dekat kompleks sukan. Rasanya hari ini adalah hari yang baik bagiku, walaupun pagi tadi rasa macam nak demam, Selalunya hari isnin merupakan hari aku paling malas, sebab kelas pagi dan pack kecuali hari ini. setakat itu sahaja.

Saturday, March 12, 2011

Semoga Rohmu Aman di sisi Tuhanmu

salam alaik

Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami. (Al-Anbiya: 35)

Hari ni dapat panggilan dari seorang kawan di kopu dulu. berita yang tidak sedap untuk didengari tetapi harus dan wajib diterima. sebagai seorang hamba kita wajib beriman kepada qadha dan qadar Allah. Kadang-kadang ia sukar diterima tetapi kita harus yakin dan percaya sepenuh hati bahawa setiap yang hidup akan menemui penghujungnya. Tidak dinafikan bahawa mengucapkan sesuatu lebih senang tetapi hakikatnya sukar untuk ditelan.

Salah seorang sahabatku di kopu telah pun menemui ajalnya pada pagi tadi. kata sahabatku kemalangan. Sudah lama aku tidak mendengar berita mengenai perkembangan sahabat-sahabatku di kopu, ada yang masih contact dan ada yang terputus hubungan. arwah antara orang yang rapat denganku masa di kopu, kali terakhir aku bertemu dengannya semasa bermain futsal dekat pasir tumboh tahun lalu, selepas tu, kami buat haluan masing-masing. Aku beruntung mempunyai sahabat-sahabat yang baik dan agak sukar untuk menemui pengganti. Betul la manusia ada kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Buat sahabatku Muhd Faizal, salam takziah ku kirimkan buat keluargamu, semoga rohmu di cucuri rahmat dan diletakkan bersama orang yang soleh. Mungkin tahun lalu merupakan pertemuan yang terakhir buat kita. Bagi yang masih hidup seperti ku, aku harus teruskan perjuangan, berusaha meletakkan diri bersama orang-orang yang beriman, mengikuti jejak orang-orang yang soleh sebelum aku di jemput menghadap Allah, Tuhan semester alam. Tiada apa yang ingin ku ceritakan kerana tiada banyak yang boleh kongsikan di sini. Semoga kenangan yang masih tercalit di ingatan yang boleh ku simpan mengingatkan daku bahawa aku pernah bersahabat dengan mu biarpun ia seketika. hanya iringan doa yang mampu ku hadiahkan atas pemergianmu. Ku yakini Allah lebih sayangkan dirimu.


Tuesday, March 8, 2011

Ku tinggalkan persoalan?

Apa yang ku lakukan jika mata ini selalu terjaga?
Di malam ku berjaga, di siang ku bersiaga,
kusedari ini adalah zalim untuk mataku,
memaksanya untuk melihat sedangkan ia harus terlelap

Apa yang harus ku hiasi pada siang hari yang cerah?
menghiasinya dengan balutan dosa-dosa
kering dan basah tersadur bersama
menjadikan mulutku bisu terkunci rapat,

Masa terus berlalu, hari silih berganti, malam menggantikan siang, siang pula menantikan malam. Kenapa siang dan malam harus terpisah? Mengapa langit dan bumi ini tidak sama? ku tinggalkan persoalan ini untuk difikirkan, bukan untuk menguji tetapi untuk memuji kebesaran al-Khaliq. Setiap denyutan nadi menandakan jasadku masih bernafas, menyatukan hati bersama alam yang sentiasa bertasbih. Terdetik ketika jasad terjaga moronta-ronta mencari sesuatu yang hilang yang selama ini terlekat di dalam hati jua sanubari.

wahai mata, awasilah dirimu dari penglihatan yang durjana jika engkau mengasihi jasadku dari dijilat neraka,
wahai jasad, hindarilah diri dari menggauli orang-orang yang murka pada Penciptamu, takut-takut kamu juga binasa bersama mereka. Biarlah kamu asing, asalkan kamu gembira. Bertautlah pada tali Allah selalu, agarku dapat tumpang selamat.








Friday, March 4, 2011

Terkenang semasa dulu

salam

Macam biasa juga rasanya hari ini, setiap kali khutbah aku tertidur, sudah empat kali begitu, yang hairannya setiap kali khatib baca doa pada khutbah kedua mesti sedar. kalau tanya isi khutbah memang aku tidak boleh jawab. Tidak dinafikan hari jumaat kali ini memang meletihkan, jadi tidak menghairankan jika aku tengok kawan-kawan aku tidak solat jumaat. Nak tegur lebih-lebih dah besar panjang malah ada yang lebih tua dari aku. Paling sukar bagi aku nak berbicara dengan orang yang tahu selok-belok agama tetapi tidak mengamalkannya. Nak patahkan hujah memang agak ketara susahnya. Jadi buatlah sekadar apa yang mampu, sindir dan berkias dalam menyampaikan tutur kata.

Hari ini tidak tahu kenapa tiba-tiba teringat senior-senior aku masa diploma. Mungkin hari ini aku senang sebab tu terkenang masa susah dulu. Masa aku dalam kesusahan mereka banyak membantu, tetapi hari aku rasa macam kehilangan. Tetapi aku belajar sesuatu yang amat berguna, pertamanya adalah bagaimana menghormati orang lain dengan cara yang sepatutnya. menilai orang bukan hanya dari segi paras mahupun rupa, tetapi kebaikan dan keikhlasan yang terpamer padanya. Sukar untuk mencontohi orang lain kerana ia sememangnya begitu. Aku juga terbaca tentang orang yang lahir pada bulan April sepertiku jenis yang berdendam, mungkin tidak bagi aku, sebab jika mahu marah, aku diam. Satu perkara lagi aku tidak percaya pada jenis ramalan sebegitu walaupun ia hampir tepat. Aku tidak boleh kata ia 100% tepat kerana takut ia sudah melangkau urusan ataupun ilmu Allah.

Selain itu, senior aku juga menunjukkan contoh saling melengkapi walaupun serba kekurangan, masa tu aku di semester dua, boleh dikatakan semester penuh ujian bagi aku. Mereka semuanya tujuh orang serumah dan aku orang yang ke lapan untuk sebulan. Pada mulanya aku segan nak pergi rumah senior sebab masa tu aku tak ada motorsikal, memang susah untuk ulang-alik kalau aku tinggal dengan mereka. Pada mulanya mereka suruh aku tinggal di rumah mereka untuk hari sabtu dan ahad sahaja, tetapi bila masuk hari isnin mereka mempelawa aku untuk tinggal sampai akhir semester. tambahan pula mereka di semester akhir. Masa aku mula menetap di rumah tu semester masih berbaki 5 minggu. Cuma satu je masalah yang aku hadapi masa tu, subjek yang aku ambil tak sama dengan senior aku. Aku telah create masalah untuk mereka, kelasku selalunya pagi seawal pukul 8, jadi jika mereka tiada kelas pagi, salah seorang akan hantar aku. biasanya pukul 12-3 aku tiada kelas, aku biasanya akan tidur sebentar di uwais al-qarni sementara tunggu kelas berikutnya. Aku bersyukur sebab dikelilingi orang yang baik, kadang-kadang aku tidak menyalahkan seseorang jika dia berperangai buruk sebab mungkin dia jadi begitu atas beberapa faktor.

Senior-senior aku sekarang semuanya dah bekerja, inilah dikatakan rezeki. Tetapi rugi bagi aku, lost contact, kenangan memang tersemat di sanubari tetapi nak bercerita agak sukar, memang inilah nasib orang yang susah nak berkongsi dengan orang, aku sangat kuat berpegang pada adat melayu yang satu ni, biar pecah di perut jangan pecah di mulut, aku tumpang gembira untuk mereka walaupun aku tidak tahu khabar mereka. Semoga mereka sihat-sihat sahaja, dilindungi, dirahmati dan dikasihi oleh Allah dan makhluk-Nya. Sukarnya nak cari seorang sahabat tetapi jika ada sahabat yang baik merupakan satu anugerah yang sangat bernilai, Di sekolah rendah aku ada sahabat yang baik sampai sekarang, semasa di PT aku ada sahabat yang baik, semasa di Kopu aku ada sahabat yang setia, Di jengka, aku masih ditemani oleh orang-orang yang memuliakan saudaranya. Di shah alam, belum tahu lagi, kerana perjalanan masih lagi panjang. Mungkin di sini aku perlu membina semula rumah bermula dari tapaknya. Life is like a journey.

Dalam minggu ini ada hari benar-benar letih dan ada hari yang terluang sehingga tidak tahu nak buat apa. Tetapi yang paling bahaya bagiku ialah masa yang terluang yang tdak terisi tu. Untuk cuti semester yang panjang ini, aku telah merancang untuk beberapa aktiviti, InsyaAllah harap-harap jadi la perancangan aku, kalau tidak satu lagi cuti semester akan dibazirkan begitu sahaja. Jikalah ada anugerah pembuang masa terbaik, aku rasa boleh apply, sebab aku rasa aku adalah antara calon yang sesuai. Kalah menang itu adat bertanding, tetapi siapa yang meletakkan diri mereka dalam keadaan sedemikian rupa, Kita hanya mahu yang baik-baik sahaja walaupun kita bukan dalam kalangan orang yang baik-baik, apatah lagi nak masuk dalam kalangan orang yang soleh.

Minggu ni aku rasa sangat malas nak mengikuti perkembangan semasa luar dan dalam negara, ini dek kerana aku rasa apa yang berlaku pada umat Islam hari ini agak berkecamuk, Dunia arab huru hara dengan revolusi, 40 tahun dahulu, muammar gaddafi mengambil alih proses tampuk pemerintahan daripada pemerintahan beraja kepada kerajaan republik melalui proses aman, tetapi kenapa apabila rakyat ingin meminta hak mereka dikembalikan perlu dibayar dengan pertumpahan darah, ini seorang lagi boneka yang tidak tahu hala tuju, ikut telunjuk barat. Walaupun Gaddafi diuar-uarkan tidak menguasai minyak negara itu, adakah ini satu muslihat? Kita tengok dan lihat sahajalah apa yang akan berlaku di Libya dalam beberapa hari lagi, memang diketahui yang Gaddafi seorang figura yang keras kepala dan berkuasa secara autonomi terhadap negaranya. Semasa beliau mengendalikan negara Libya, umurnya baru sahaja menjangkau usia 28 tahun. Satu lagi hak rakyat dinafikan. Bertuahnya si kuku besi.

sekadar itu sahaja untuk kali ini, sekian.

Mahasuci Allah yang menguasai (segala) kerajaan, Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang baik amalnya,Dan Dia Mahaperkasa, Maha Pengampun. (Al-Mulk: 1-2).

Monday, February 28, 2011

Jangan terkeliru

Sejauh-jauh mata memandang, sedalam-dalam hati merasakan. ini antara rangkap lirik  yang dapat ditangkap dalam lagu taffakur, nyanyian opick. maklumlah hari ini merupakan kali pertama mendengarnya. Bila mendengar lagu berunsur keagamaan, memuji kekuasaan yang Maha Berkuasa, ia kadang-kadang mampu melapangkan fikiran yang berserabut. Kalau ikutkan hati, agak malas untuk surf internet memandang line kurang jelas, tetapi memandang hobi suka menulis, tulis je la apa yang terlintas di benak fikiran yang kian bercelaru.

Minggu lalu, aku terjumpa dengan seorang pakcik, boleh dikatakan hampir 90% yang dikatakannya aku tidak bersetuju, walaubagaimanapun aku tidak membantah kata-katanya. Aku mendengar sahaja apa yang dikatakan. Bukan tiada info, malah banyak informasi yang diberikan kepada aku, cuma aku sangat tidak suka kepada orang yang memuji-muji seseorang atau figura secara berlebihan kerana bagiku memuji makhluk secara berlebihan itu agak melampau. satu perkara lagi aku tidak akan memuji seseorang kalau ia bukan keperluan untuk aku berbuat demikian. Dan dalam masa yang sama memperkecilkan orang yang baginya atau dalam kata termasyhur ahli buat kacau. Ini termasuklah dalam bidang politik, ekonomi dan sosio budaya. Jika diamati diawal bicara, mungkin kita akan bersedia untuk menerima hujahnya, bila masuk bab berjela-jela kita akan menyedari ia cenderung kepada sebelah pihak sahaja. Bagi aku ia tidak adil sama sekali. tambahan pula ia menyentuh tentang perkara yang sebolehnya aku tidak mahu ulas. Apalagi kalau bukan mengenai ketidak terimaan negeriku untuk memberi laluan kepada BN menerajui negeriku. Lebih baik dan selamat kelantan di bawah PAS daripada menerima gelombang merah. 10% perkara yang aku bersetuju dengan pak cik ini ialah berkaitan dengan agronomi, kerana beliau juga lepasan UM yang memiliki bidang yang hampir sama dengannya.

Aku sudah berkali-kali mengingatkan diri agak tidak bersifat stereotype. Memang aku tidak memiliki pun sifat sedemikian, sebagai seseorang yang ada pendirian, biarlah seseorang itu tua beruban memenuhi kepala sekalipun, jika mengutarakan sesuatu yang menyimpan dari konsep yang diterapkan, aku akan tolak mentah-mentah. lebih baik aku menolak yang mentah daripada membuang yang basi. Sudah semestinya akan memastikan sikap hormat kepada yang lebih tua walaupun aku kurang bersetuju dengannya. hormat dengan menerima itu dua perkara yang berbeza.

Masa aku kecil dulu, aku terkeliru antara sedekah dan zakat kerana persamaannya ia melibatkan menginfakkan sebahagian dari harta yang dimiliki. Begitu juga dengan seorang ini cuba mengelirukan aku antara mujahiddin dengan nasionalis. Jika dilihat ia juga mempunyai persamaan kerana ia melibatkan perjuangan. Kalau kita melihat kepada perjuangan para mujahid bertunjangkan hidup mulia atau mati syahid manakala nasionalis hanya berjuang demi bangsa semata-mata. Apa yang cuba disampaikan oleh beliau ialah berjuanglah dengan UMNO kerana ia adalah parti kepentingan melayu dan seperti termaktub dalam perlembagaan, melayu adalah beragama Islam. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada nasionalis arab di timur tengah, adakah mereka berjuang untuk Islam. sama sekali tidak!!!. Padahal bangsa arab kalau diikutkan beragama Islam. Jangan campurkan najis dalam wangian kerana ia tetap berbau busuk.

sekian sahaja untuk kali ini.

Tuesday, February 22, 2011

Masanya untuk mencoretkan sesuatu

Sesungguhnya hidayah itu adalah milik Allah, mutakhir ini sering kedengaran ramai orang-orang terkenal menerima hidayah daripadaNya, samada ia baru berlaku ataupun sudah lama tetapi baru dihebahkan kepada khalayak, tidak mengapa. Yang penting saya tumpang bangga dan bersyukur kerana ramai yang menyedari akan hakikat kekuasaanNya. Walaupun hidayah itu milikNya tetapi kita juga perlu berusaha untuk mendapatkan dan mempertahankannya.

Sudah seminggu kedengaran komedian tersohor Bob Lokman menyertai PAS, sebuah parti yang sudah dimaklumi memikul wadah perjuangan Islam. Memang benar PAS belum mampu lagi menguasai Malaysia tetapi jika dengan izin dan kehendak daripada Allah tiada siapa yang mampu menghalangnya. Berita kemasukan Bob Lokman ke dalam PAS bukanlah gimik semata-mata kerana perjuangan tidak memerlukan nama tetapi hati yang ikhlas hanya untuk Allah.

Minggu ini juga disibukkan dengan pemilihan MPP di seluruh IPTA Malaysia, pemilihan MPP akhir-akhir ini sering dicemari dengan taktik yang kotor menggambarkan masa yang gelap bakal berkunjung di bumi permai ini jika mereka ini menggantikan kabinet-kabinet yang tua dan penuh dengan korupsi. Tidak tahu mengapa semakin hari semakin menjadi-jadi sehingga ada calon yang di culik. Malaysia oh tanah airku.

Singgah sekejap ke dunia timur tengah, pergolakan kian menjadi-jadi, Setelah Mesir dan Tunisia berjaya digulingkan oleh kuasa rakyat, kini merebak pula ke Bahrain sehingga permulaan F1 GP Bahrain dibatalkan, menular ke Yemen, negara arab paling miskin, merunsingkan Muammar Gaddafi, salah seorang ditaktor yang juga merupakan salah seorang pemimpin yang lama di dalam arena politik Libya. Adakah ini merupakan sebuah lagi gelombang kebangkitan rakyat ataupun ada sebuah organisasi yang menjadi mata dan tangan bagi menggulingkan pemimpin berkenaan. Mungkin ya dan mungkin tidak. Kalau ya ia pasti CFR yang sangat berkepentingan untuk yahudi laknatullah.

2011 tidak lagi sampai dua bulan tetapi ia sudah sarat dengan mesej dan pergolakan. Adakah ini yang di namakan memacu ke arah New World Order yang dicanangkan oleh secret society yahudi ini. Hanya Allah sahaja yang tahu. sekian sahaja buat tatapan kali ini.

Monday, February 14, 2011

Selamat menyambut hari maulidur rasul

Salam,

Hari ini merupakah hari keputeraan baginda Rasulullah s.a.w. Sebagai mana yang kita maklum, hari ini merupakan public holiday bagi Malaysia. Sudah tentu sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan diadakan bagi memperingati junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Adakah cukup dengan sekadar hari ini sahaja kita memperingati baginda sedangkan baginda telah banyak berjasa kepada kita. Tidak dinafikan kita semua tidak berkesempatan untuk bertemu dengan baginda, tetapi perjuangan dan pengorbanan yang baginda lakukan demi menyampaikan risalah dan juga syariat Islam menyebabkan kita juga menjadi umat baginda pada hari ini.

Kita patut bersyukur kerana sebahagian besar umat Islam yang lahir di sini datangnya dari background family juga menganuti agama pilihan ini. Adalah menjadi kebingungan bagi kita mengapa masih ramai yang memilih jalan untuk menjadi murtad. Agama rakyat adalah bersandarkan kepada agama pemimpin. Ini telah dibuktikan di tanah melayu apabila raja-raja di tanah melayu pada masa itu mengambil keputusan untuk memilih agama Islam telah diikuti oleh rakyat jelata. Orang melayu cukup hormat pada institusi beraja dan raja merupakan lambang perpaduan bagi rakyat masih kekal sehingga ke hari ini.

Apa yang merugikan kita pada hari ini ialah kita diperintah oleh parti yang seboleh-bolehnya tidak mahu mengamalkan ajaran Islam. oleh kerana majoriti rakyat negara ini beragama Islam, mereka juga meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaan negara. Padahal mereka adalah golongan yang menentang Islam. Dalam media yang mereka jadikan lembu ditarik hidungnya, menceritakan semua yang baik-baik belaka, tetapi bila lembu bila berbunyi tiada akan pernah bunyi merdu, cuma lebih baik dari suara keldai. Cuma nasihat saya bagi yang ingin mencari kebenaran, janganlah percaya sangat dengan provokasi media kerana ia hanya senget kepada sebelah pihak sahaja. Sudah pasti ia tidak adil bagi sebelah pihak lagi.

Jika akhirat tiada syurga dan neraka, sudah tentu tiada kesalahan untuk kita mengejar dunia. Tetapi itu sahaja pilihan yang ada di sana nanti. Apa yang tidak adil di dunia bakal diadili diakhirat, bagi para pendukung tugasan para anbia, la tahzan kerana Allah sentiasa bersama dengan pencari kebenaran. Berada diposisi mereka yang benar amatlah sukar,kerana terlalu ramai orang-orang yang menegakkan kebatilan. Jika kita berada di sisi kebenaran maka syukurilah kerana Allah memilih kita untuk berjuang menegakkan agamanya. sekian sahaja. selamat menyambut maulidur Rasul. 

Saturday, February 12, 2011

Valentine Day Haram!!!

Salam persaudaraan buat kalian semua.

Hari kekasih atau pun Valentine Day disambut setiap 14 Februari berkunjung tiba. Ia bukan sahaja disambut oleh orang yang bukan beragama Islam bahkan orang yang mengaku umat Muhammad juga turut terlibat menjayakan hari yang kononnya dikatakan antara hari bermakna bagi pasangan yang bercinta. Apakah yang dikatakan hari sangat bermakna tersebut? Pada tahun ini tanggal 15 Februari 2011 bersamaan 12 Rabiulawal 1432 hijrah juga merupakan hari lebih bermakna dari hari kekasih. Apakah hari itu? Sebagai seorang muslim kita wajib tahu walaupun kita orang yang jahil. Tanggal 12 rabiul awal merupakan hari keputeraan insan yang paling agung di muka bumi. Siapa lagi kalau bukan baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Mengapa hari kekasih itu haram? Antara sebabnya ialah pada tanggal 14 februari adalah hari bagi orang kristian mengingati paderi mereka yang bernama Valentine. Kita janganlah membabi buta menuruti kaum yahudi dan nasrani itu kerana agenda mereka tidak lain hanyalah untuk menyesatkan umat Islam semata-mata. Sebagai orang yang mempunyai fikiran yang perlu sedar mengapa ada sesuatu yang Allah jadikan itu halal dan ada sebahagian lagi Allah mengharamkan baginya. Adakah hari berkasih sayang itu hanya 14 Februari sahaja? bagaimana dengan hari yang lain? Islam mengamalkan konsep ukhwah iaitu persaudaraan. Antara faktor atau kaedah untuk menjalinkan persaudaraan adalah kasih sayang, bahkan tidak sempurna iman seseorang muslim itu jika dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri. Maka bertitik tolak dari saranan ini, adakah relevan menyambut hari kekasih?Adalah menjadi kewajipan bagi kita mengetahui latar sesuatu peristiwa sebelum kita menyambut atau meraikannya. Semua orang tahu mengapa kita meraikan hari raya puasa, mengapa kita menyambut hari kebangsaan, kenapa 16 september dikenali sebagai hari Malaysia. Jadi hari kekasih juga tidak harus diketepikan mengapa umat Islam patut mengetahuinya selain dari sambutan April fool. April tidak bodoh tetapi orang yang menyambutnya yang bodoh.

Antara faktor lain yang mengapa hari kekasih tidak boleh diraikan ialah kita mengetahui ia bakal atau akan menghasilkan perbuatan maksiat. Apakah maksiat yang bakal terjadi? Ramai yang boleh menekanya kecuali orang yang gila dan kurang waras. Antara punca yang menyebabkan banyak kes anak luar nikah, kes buang bayi adalah disebabkan berlakunya perzinaan pada hari tersebut, disamping beberapa sumbangan lagi pada hari lain antaranya malam kemerdekaan dan malam ambang tahun baru. Berzina pada 14 februari tidak akan melahirkan anak pada keesokan harinya tetapi impaknya akan kita perolehi pada 9 bulan yang akan datang iaitu diantara october-december. Selain itu juga Islam membataskan pergaulan antara lelaki dan wanita, memang diakui pada hari ini apabila lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan rapat antara sama lain dikatakan homoseksual. Ini adalah salah satu lagi fikiran bagi orang yang mempunyai hati yang kotor. Tidakkah mengatakan sesuatu yang tidak benar itu adalah fitnah atau lebih manis dipanggil gosip luar. Apakah perbezaan antara fitnah dengan gosip? maknanya sama cuma yang berbeza adalah ejaan dan sebutan sahaja.

Saya bukan mengatakan saya adalah pandai tetapi ini adalah sebuah perkongsian agar ia dapat memberi manfaat bersama.  Tiada siapa yang tidak pernah melakukan kesilapan ataupun kesalahan. Oleh itu jika mengaku kita beriman maka apabila kita melakukan kesilapan kita akan merasa gelisah dan segera melakukan  taubat dengan iltizam tidak akan mengulangi dosa dan kesilapan yang sama. Adalah menjadi tanda kebodohan apabila kita meminta pertolongan dari orang yang buta untuk menerangkan ciri-ciri seekor gajah. sekadar itu sahaja buat kali ini.

Dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka. Sungguh Dia Mahaperkasa, Mahabijaksana (al-anfal: 63)

selamat menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim yang dapat membezakan antara hak dan juga batil. saya memohon kepada Allah agar mengampuni dosa saya, kedua ibu bapa serta umat Islam sekalin. Turn to Islam is our privacy



Thursday, February 3, 2011

Menunggu Kesudahan

Zine El-Abidine Ben Ali telah digulingkan oleh kuasa rakyat, kini kita menantikan satu lagi revolusi dari timur tengah samada Hosni Mubarak masih lagi kebal atau pun tenggelam dek suara rakyat. Jika Firaun tenggelam ditelan laut yang membelah ketika menyelamatkan Nabi Musa a.s dan pengikut-pengikutnya dari kekejaman dan kezaliman pemerintahan monarki Firaun, apa pula yang bakal berlaku kepada Presiden Mesir yang seorang ini, memiliki kekayaan melimpah ruah dalam keadaan rakyat menderita kemiskinan, mengamalkan pemerintahan kuku besi selama 30 tahun, bersekutu dengan Israel, apa lagi yang perlu dijelaskan tentang figura yang seorang ini.

Inilah masa untuk perubahan bagi negara Mesir yang memiliki antara tamadun terawal dan tertua di dunia, memiliki universiti Islam terawal dan antara terbaik di muka bumi. Apa yang diharap ialah jika berlakunya perubahan tampuk pemerintahan di sana, janganlah pula klon Hosni yang mengambil alih, kerana ia sama sahaja, keluar mulut buaya masuk mulut harimau. Kita juga melihat ada beberapa perubahan yang dijanjikan dan dilakukan oleh Presiden antaranya menyusun semula kabinet kerajaan bagi meredakan rusuhan rakyat. Adakah ini yang rakyat mahukan? sudah terlambat. Jika inginkan perubahan kenapa tidak 3 dekat yang lalu?

Pada hari kelapan dilaporkan hampir 300 maut dan 3000 orang cedera, bayangkan jika demontrasi ini berlanjutan sehingga beberapa minggu? berapa banyak angka korban yang akan meningkat. Bagi sebuah negara, kestabilan politik, ekonomi adalah perkara yang perlu dititikberatkan di samping keseimbangan dalam beragama yang menjadi tunjang pemerintahan. Jika kita melihat kepada Mesir, perkara pertama yang bermain di minda ialah mesir adalah salah satu negara yang majoritinya umat Islam, mempunyai sejarah lampau yang sukses, mempunyai tinggalan sejarah yang terbilang seperti megahnya berdiri piramid Giza.

Sudah lama timur tengah lengang dari tumpuan, hanya yang selalu kedengaran ialah masalah di bumi Palestin, jiran kepada Mesir. Mungkin inilah jalan untuk kebangkitan rakyat menentang kezaliman pemerintah, jika dari 1981 sehingga awal januari 2011 menjadi kuasa mutlak Hosni si Firaun moden merencana perjalanan pentadbiran mesir, kini mungkin adalah jalan yang paling sesuai untuk beliau berundur samada dengan cara bermaruah ataupun tidak. Selama 30 tahun anda menikmati hidup sebagai pengkhianat agama, dengan adanya waktu yang tersisa, eloklah bertaubat dan memberi ruang untuk rakyat memilih pemerintah yang baru sebelum anda dilaknat. Umur anda bukanya muda lagi, sudah 82 tahun, umur umat Muhammad adalah antata 60-70 tahun sahaja tetapi Allah sudah lebihkan umur anda lebih daripada kebanyakan umat yang lain. Adakah anda masih tidak mahu berfikir?.

Saya melemparkan artikel ini keran saya tidak takut kepada sesama manusia, jika perasaan takut dalam hati, tidak mungkin saya publishkan komentar ini.Sekian sahaja komentar untuk kali ini, segala kekurangan adalah datang dari kelemahan saya sendiri. Saya mohon daripada Allah dan marilah kita sama-sama doakan kesejahteraan saudara seagama kita walaupun dimana mereka berada dan juga berdoa agar Allah memberi pertolongan bagi mereka yang memburu syahid di jalan-Nya. Kalau harapkan kita di sini mencari syahid, maka banyak lah alasan yang diberikan, sekian.

al-quran

Listen to Quran

lawati juga