Sunday, February 7, 2010

Takutkah kita?

Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan,kelaparan,kekurangan harta,jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah:155)

Setiap daripada manusia pasti akan diuji dengan pelbagai ujian. Tetapi Allah tidak akan menguji kita sekiranya kita tidak mampu atau sanggup memikulnya. Begitu juga kita juga akan diuji dengan ketakutan. Jika kita takut kepada kelaparan, kita akan berusaha mencari bekalan makanan, jika kita takut akan ancaman keselamatan, kita akan tinggal ditempat yang terjamin keselamatan kita. Tetapi ketakutan itu bakal hilang jika mampu mengatasinya. Bagaimana pula ingin melahirkan rasa takut kepada Khaliq?
Seperti ayat diatas Allah hanya menguji kita dengan hanya sedikit ketakutan. Kerana hidup di dunia ini hanyalah seketika jika dibandingkan dengan hidup di kampung akhirat yang abadi. Ada yang takut untuk menutup aurat kerana takut dikatakan ketinggalan zaman. Apalah sangat dengan kata-kata manusia jika hendak dibandingkan dengan tinggal di neraka berzaman-zaman. Ada yang takut untuk menolak wang haram kerana takut kehilangan pendapatan. Apalah sangat dengan wang yang sedikit itu jika hendak dibandingkan dengan api neraka yang akan membakar daging yang tumbuh dari hasil yang haram di akhirat kelak. Kita takut untuk menyatakan kebenaran kerana takut kehilangan rakan dan taulan. Lupakah kita bahawa di alam barzakh kita juga tinggal bersendirian?
Inilah yang menjadi persoalan mengapa kita terlalu takut kepada perkara yang sedemikian? Kita lebih takut kepada pemimpin dunia daripada takut kepada Yang Maha Kuasa. Lihatlah sahaja apabila rakyat yang miskin dan tiada kedudukan apabila melakukan kesalahan dan jenayah di bantai dan di heret ke muka pengadilan tanpa perlu ada perhitungan, walhal pemimpin-pemimpin atasan yang merompak perbendaharaan Negara yang juga menjadi milik rakyat tidak pernah dipandang walaupun sebelah mata. Mereka ini terus membiarkan pemimpin-pemimpin sebegini terus rakus meratah harta rakyat sedangkan rakyat membanting tulang empat kerat untuk mencari sesuap nasi. Inilah realitinya yang berlaku.
Dari sudut perundangan pula kita merelakan dasar-dasar yang digubal oleh manusia daripada menggunakan undang-undang Allah. Bahkan lebih menyakitkan iman kita apabila ada yang membuat statement yang lucu memperlekehkan hukum Allah seperti bolehlah kita menjamu sup tangan sekiranya perlaksanaan hukum potong tangan bagi pencuri. Susahlah lepas ni nak buat jalan berturap jika hukuman rejam sampai mati kepada kesalahan zina. Lihatlah apa yang berlaku dekat ini, jenayah makin berleluasa, walaupun pelbagai hukuman telah diperkenalkan seperti hukuman gantung sampai mati kepada kesalahan mengedar dadah. Tetapi apa yang berlaku, kes pengedaran dadah makin menjadi-jadi. Tidak takutkah wahai pengedar dadah bahawa hukuman gantung bakal menantimu?
Persoalannya di sini ialah siapakah yang menghadirkan perasaan takut dalam hati manusia. Allah ataupun pemerintah? Jika pemerintah, mengapa apabila digubal atau diperkenalkan undang-undang dan hukuman baru tidak menghadirkan sedikit rasa gerun kepada rakyat? Sudah pasti yang menghadirkan perasaan takut didalam hati manusia adalah Penciptanya. Jadi mengapa kita tidak takut dan patuh kepada-Nya?.
Setakat ini sahaja dari saya. Jika ada silap dan salah saya mohon keampunan kepada yang Maha Pengampun kerana ampunan dari pemimpin yang dusta tidak memberi apa-apa kesan kepada saya.

No comments:

Post a Comment

al-quran

Listen to Quran

lawati juga