Sunday, May 22, 2011

Kerana Allah

Salam alaik

Ucapan takziah diucapkan kepada keluarga mangsa kejadian tanah runtuh yang di Hulu Langat, Selangor, semoga di tempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Kejadian yang berlaku kira-kira 2.15 petang semalam mengejutkan banyak pihak. Berita ini disambut sayu oleh segenap lapisan masyarakat dan ramai yang tampil menghulurkan tangan memberikan bantuan. Tetapi apa yang mengejutkan aku adalah mengenai pengumuman pengacara AF semalam bahawasanya hasil kutipan dari undian penonton semalam akan disalurkan kepada mangsa tanah runtuh. Malaysia ini sangat unik dalam kemaksiatan masih lagi diselitkan untuk tujuan kebaikan. Sebab itu mucul banyaknya program berunsur nyanyian dan pelbagai lagi untuk tujuan mendapatkan dana untuk di sumbangkan kepada badan-badan amal. Kalau ceramah atau program berbentuk kesenian Islam masih lagi boleh diterima. Lebih baik rasanya kutipan itu digunakan untuk membalut tubuh peserta wanita muslim dalam program itu terlebih dahulu.

Masih terngiang lagi dalam fikiran kini pada sebuah kuliah maghrib minggu lalu, kalau kita berusaha untuk mencari ilmu Allah, maka dengan sendiri terhapusnya sifat sombong, bongkak, ujub dan sifat-sifat mazmumah yang lain. Kadang-kadang ada orang menghadiri majlis ilmu dengan sikap tercela kerana mereka merasakan mereka datang ke majlis atas kudrat mereka sendiri. Kita harus menyedari bahawa kita berada di masjid atau majlis-majlis sedemikian adalah atas kehendak Allah. Kita merasakan kita berada di situ kerana kita sihat, sedangkan ramai lagi lebih sihat dari kita tetapi tidak dapat berada di sana, kita merasakan kita dapat meluangkan masa kerana kita diberi kelapangan waktu, bahkan ada lagi orang lebih lapang masanya dari kita tetapi tidak meluangkan masa di tempat yang sepatutnya. Sikap rendah diri seharusnya ada bagi setiap orang muslim.

Apa sahaja yang kita lakukan mestilah kerana Allah. Jangan lah pula bab-bab yang bersangkutan dengan ritual keagamaan sahaja dilakukan kerana Allah seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Ibarat seorang isteri kepada si A, di mana-mana sahaja dia perlulah menjadi isteri kepada si A. Bukannya di rumah dia isteri kepada A, di pejabat menjadi isteri kepada si B dan di tempat lain menjadi isteri kepada yang lain pula. Jika perkara ini berlaku maka porak perandalah institusi rumah tangga. Begitulah juga dengan kita sebagai hamba-Nya. Apa sahaja yang kita lakukan mestilah dengan istiqamah kerana Allah. Ini kerana dengan kudrat-Nya dia mencipta manusia sebagai khalifah mentadbir bumi ini, juga sebagai hamba yang sepatutnya berbakti dan patuh pada-Nya. Dan Allah juga mengingatkan kita melalui firmanNya bahawasanya Allah tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaNya.

Jiwa yang kering dan gersang haruslah di tanam dan disirami dengan peringatan berunsur nasihat dan teguran agar ia tidak tergelincir ke lembah penghinaan. Dan diharapnya apa yang ditanam dan disirami itu tumbuh dengan mekarnya kecintaan seorang hamba kepada Sang Pencipta ibarat sebuah padang rumput yang kontang ditumbuhi hamparan lautan bunga setibanya musim bunga sejauh mata memandang. Disitulah kita merasakan betapa indahnya panorama yang kita lihat yang menghiasi pandangan mata.

No comments:

Post a Comment

al-quran

Listen to Quran

lawati juga