Saturday, November 26, 2011

Salam maal hijrah 1433

Salam alaik,
Salam diambang hijrah buat semua. Setiap tahun negara kita mengadakan sambutan maal hijrah tidak kira diperingkat kebangsaan ataupun negeri. Dalam majlis berkenaan ada beberapa tokoh ataupun pertubuhan yang akan dianugerahkan tokoh maal hijrah. Tetapi di sini bukanlah ingin berkongsi tentang anugerah terbabit tetapi apa yang kita boleh muhasabah dari peristiwa hijrah yang bermula dengan penghijrahan Rasulullah dari Mekah ke Madinah yang menjadi titik tolak kepada kebangkitan dan kekuasaan Islam ke pelosok dunia.

Sebelum berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah dari Mekah ke Yathrib, umat Islam pernah berhijrah ke Habshah tetapi peristiwa penghijrahan ke Madinah adalah pemangkin kepada tertubuhnya Negara Islam yang pertama dengan diteguhkan lagi dengan piagam Madinah. Semasa umat Islam berada di Mekah, umat Islam menghadapi pelbagai kesulitan dan kesengsaran yang bukan sedikit. Itulah yang di namakan dengan ujian dan pengorbanan yang terpaksa di hadapi oleh umat Islam  di zaman baginda, Rasulullah s.a.w.

Berdasarkan kepada peristiwa bersejarah itu, ada beberapa perkara yang boleh kita perolehi sebagai panduan dan tauladan yang perlu di contohi kita sebagai umat Islam yang berada dalam era yang mencabar ini. Antaranya ialah kesetiaan seorang sahabat dalam menempuh segala ujian dan keperitan. Ini dibuktikan oleh Saidina Abu Bakar As-siddiq dalam menemani Rasulullah semasa berhijrah. Apabila Abu Bakar diizinkan untuk berhijrah, beliau memohon izin untuk berhijrah bersama dengan Rasulullah. Persahabatan dan persaudaraan yang rapat lagi setia adalah amat penting dalam melalui detik senang dan sukar apatah lagi dalam menyampaikan misi dakwah yang mulia ini.

Seterusnya ialah semasa penhijrahan baginda, baginda telah mendirikan masjid di Kuba', ini menandakan betapa pentingnya masjid kepada kita dalam masyarakat. Masjid bukan hanya di dirikan untuk menunaikan solat tetapi ia boleh dipelbagaikan fungsinya untuk kemudahan umat. Menyedihkan pada hari ini ialah tidak ramai orang ke masjid bahkan masjid hanya penuh pada hari Jumaat untuk menunaikan solat jumaat dan pada bulan ramadhan untuk bertarawih seolah-olah masjid ini mempunyai waktu yang khusus untuk dikunjungi. Tidakkah kita perhatikan apabila berlakunya peristiwa Isra' dan mijraj Rasulullah. Masjid menjadi tempat yang menjadi transit penting menuju ke mikraj. Sebagai umat Islam, kita jangan jadi umat yang tahu menghafal tetapi perlulah memahami konsep dari setiap perjalanan peristiwa.

Melakukan penghijrahan adalah perkara yang senang difikirkan tetapi sukar untuk dilaksanakan. Inilah yang menjadi batu penghalang untuk melonjakkan kembali Islam kembali ke daerah kegemilangan. Islam itu lemah bukan disebabkan oleh anasir-anasir luar sahaja bahkan ia banyak didorong oleh kelalaian dan kecuaian kita sendiri. Hentikan memfitnah dan menuding jari kepada pihak yang lain selagi ada ruang yang boleh kita perbaiki dan atasi, cubalah tangani dengan kemampuan sendiri sedaya yang boleh. sekian.

No comments:

Post a Comment

al-quran

Listen to Quran

lawati juga