Tuesday, November 17, 2009

Al-Fatihah buat syuhada Memali.


Wahai orang-orang beriman. Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.(As-Saff: 10-11)
Inilah pejuang-pejuang yang konsisten dalam memartabatkan agama Allah di muka bumi yang juga menjadi milik Allah yang mutlak. Sudah menjadi kelaziman bagi orang yang berjuang terpaksa mengharungi badai dan merempuh onak duri yang penuh berliku demi menegakkan agama tercinta. Kita tidak diberikan pilihan yang maksimum kerana jika kita memilih untuk menghambakan diri untuk dunia maka kita muflis di akhirat yang kekal abadi. Sekiranya kita memilih akhirat maka inilah jalan yang perlu kita tempuhi. Perjuangan tidak semudah seperti kita mengalunkan bait-bait lagu mendodoikan anak-anak kecil di dalam buaian.
Tanggal 19 November 2009 maka genaplah 24 tahun pemergian para syuhada peristiwa berdarah Kg.Memali, Mukim Siong, Baling, Kedah Darul Aman. Lebih 3000 anggota keselamatan dihantar oleh pihak pemerintah daripada regim Barisan Nasional untuk melakukan aksi penangkapan ke atas seorang tokoh ulama’ yang bersama di dalam Gerakan Islam di Malaysia iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Beliau yang mesra dengan panggilan Ust. Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim bin Mahmud merupakan pendakwah tanah air yang sebelumnya pernah berkhidmat bersama Pusat Islam Malaysia. Beliau yang telah sekian lama bersama PAS akhirnya mengambil keputusan meninggalkan Pusat Islam bagi meluaskan lagi ruangnya memberikan perkhidmatan kepada Parti Islam walaupun khidmatnya sangat diperlukan oleh Pusat Islam sehingga beliau pernah dii’tiraf sebagai pendakwah terbaik.

Dengan suaranya yang lantang dan tegas menghadapi kezaliman-kezaliman pihak pemerintah ketika itu yang diketuai oleh Perdana Menteri Tun.Dr Mahathir bin Mohamad, setiap majlis-majlis pidatonya pasti dihadiri oleh ribuan pendengar dikalangan penyokong dan pendokong gerakan Islam. Internal Security Act (ISA) yang dikuatkuasakan oleh pemerintah adalah merupakan diantara perkara yang sangat kuat ditentang oleh beliau selain dari sikap pemerintah yang dilihat tidak memandang Islam sebagai ‘Aqidah Negara serta jalan penyelesaian masalah ummah. Ditambah lagi dengan peribadi pemerintah yang dicemari amalan korupsi dan sebagainya membuatkan Ust Ibrahim begitu bersungguh dalam memberi semangat kepada ahli PAS agar berazam untuk membuat perubahan dalam kepimpinan Negara.

Dengan suaranya itu jugalah beliau ditakdirkan untuk bertemu Allah sebagai syuhada bersama dengan 13 yang lainnya. Inilah adalah harga yang perlu dibayar untuk membeli sebuah perjuangan. Saya tidak mampu memanjangkan penulisan ini kerana sesuatu ketakutan yang menyelubungi saya ketika ini,

Wahai orang-orang beriman, Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (As-Saff:3)
Sungguh mendalam ayat itu bagi diri saya yang daif ini. Bagi yang sudi membaca komentar saya pada kali ini, saya memohon agar kalian sudi mendoakan saya untuk mati bersama-sama para syuhada. Jika dikira pada usia, memang saya akui saya masih mentah dalam mengharungi rencah hidup ini. Namun saya tidak boleh menjadikan ia sebagai alasan untuk menangguh-nangguhkan kerja dakwah walaupun ia sedikit ibarat sebutir pasir.

Mereka hendak memadamkan cahaya(agama) Allah dengan mulut(ucapan-ucapan) mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang kafir membencinya. (As-Saff: 8)

Dewasa ini terlalu banyak fitnah yang dihamburkan untuk menghentam orang-orang Islam yang istiqamah dalam perjuangan baik di negara ini mahupun di luar sana untuk menjatuhkan serta memesongkan akidah umat Islam. Perkara ini juga sering dilakukan oleh pihak kerajaan yang bertungkus-lumus bantu-membantu untuk menghancurkan Parti Gerakan Islam, Parti Islam Se-Malaysia(PAS). Saban hari kita di sajikan dengan berita yang kurang enak yang dihidangkan oleh pihak BN untuk menghancurkan pihak yang menentang mereka. Agenda serta propaganda mereka tidak akan terhenti selagi matlamat yang menghalal cara mereka bertindak. Apatah lagi media yang selalu berpihak kepada mereka.

Kembali kepada peristiwa berdarah Memali, kes ini tidak akan dibicarakan selagi UMNO memegang tampuk pemerintahan negara. Kes ini juga mungkin akan semakin sukar untuk mendapat keadilannya memandangkan seorang demi seorang yang boleh dijadikan saksi telah pergi ke rahmatullah. Apapun terima kasih kepada BN kerana mampu menghadiahkan mati syahid kepada orang yang memperjuangkan Islam.

No comments:

Post a Comment

al-quran

Listen to Quran

lawati juga