Wednesday, October 13, 2010

Mencari Punca


Banyak kali berlaku dalam diri kita apabila kita berada dalam keadaan terdesar atau sesuatu yang mendesak kita, kita akan berasa cemas. Cemas? itu adalah satu perkara biasa bagi kita. Perasaan cemas kadang-kadang ia tidak mampu dikawal, mungkin ia adalah suatu kesebatian yang telah pun berhibernasi dalam diri kita sejak sekian lama. Adakalanya ia hadir tanpa perlu dijemput. Biasa juga perasaan cemas berkunjung apabila manusia itu telah melakukan sesuatu kesalahan, ini pastinya sesuatu kita tidak dapat hindari kerana ia hadir dengan sendiri. Seringkali tertanya apa bezanya antara cemas dan gelisah kerana dalam loghat Kelantan hanya ada satu,'kenaling.'

Mencari punca bagi sesuatu masalah atau muhasabah diri adalah amat digalakkan supaya memudahkan kita mencari jalan keluar yang terbaik bagi setiap masalah dengan bijaksana. Mungkin ini boleh diklasifikasikan sebagai hikmah. Berhikmah dalam membuat sesuatu tindakan menguntungkan diri sendiri dan juga orang persekitaran. Sebagai satu jalan altenatif untuk membaiki diri yang selalu sahaja didatangi dengan kecenderongan membuat kesilapan dari yang kecil sehingga sebesar-besarnya. Tidak keterlaluan untuk mengatakan kesalahan yang besar dilakukan kebanyakannya berpunca dari benda-benda yang kecil yang dipandang remeh dan tidak diambil peduli. Ibarat api yang kecil bolehlah dijadikan kawan, api yang besar boleh menjadi lawan yang membinasakan. Api dunia sifatnya bolehlah dikatakan ringan kerana komposisinya hanyalah 1 daripada 70 kepanasan api neraka. Tidak cukup panas bukan?

Nasihat-menasihati adalah bermanfaat kepada orang-orang beriman. Sejauh mana kita boleh menerima nasihat adalah bergantung pada diri kita. Tepuk dada tanya iman banyak benarnya. Ada orang mudah menerima setiap ajakan dan nasihat yang baik dan ramai orang yang bersifat sebaliknya. Kalau tidak masakan ajakan dan nasihat para anbia di tolak mentah-mentah dan hanya sebahagian sahaja yang beriman dengannya. Bukan bermaksud hendak menyindir tetapi ini adalah hakikat yang perlu ditelan walaupun ia sepahit hempedu. Jikalau ia pahit-pahit ubat, mungkin ia bisa menyembuhkan penyakit. Penyakit hati jika diperhalusi memang sangat kronik kerana ia bukan mudah untuk diubati. Kalau tidak mana mungkin timbul kata-kata 'Luka yang lain nampak parut, luka dihati siapa yang tahu.'

Episod duka memendam rasa seakan-akan menjadi adat bagi kita. Jika tidak mana mungkin timbulnya hasad dan dengki terutama kepada sesama bangsa dan agama. Pantang melihat orang lain melebihi diri kita. Jika kita insan yang bersyukur dan redha dengan apa telah diputuskan oleh Allah, perkara sebegini tidak akan timbul. Ramai manusia diakhir zaman telah ditimpa penyakit wahan, iaitu cintakan dunia dan takutkan mati. Tiada salah memiliki perasaan cinta kerana setiap makhluk dikurniakan perasaan cinta, tetapi ia perlulah dijaga batas-batasnya. Cinta pada wanita, harta dan pangkat merupakan antara fitnah yang perlu ditakuti oleh kita semua sebagai mana sejarah pernah mencatatkan beberapa peristiwa seperti Bal'am yang terpengaruh dengan isterinya walhal beliau merupakan manusia yang hebat dalam kalangan Bani Israel, kisah Qarun dan hartanya sehingga setiap harta dijumpai tanpa diketahui pemilik akan dinamakan sebagai harta karun, mengabadikan nama sempena dengannya.

Sejarah mungkin berulang, pada suatu saya kecil-kecil dahulu, lagu ini menjadi siulan ramai. Entah apa yang sedapnya lagu ini pun saya kurang arif tetapi jika kita tidak belajar dari sejarah, mungkin sejarah itu akan dikembalikan. Ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk difahami kenapa ia bakal bertamu lagi kerana umat akhir zaman ini suka berlaku zalim lagi jahil. Jika di zaman jahiliah, hanya bayi perempuan yang dibunuh, tetapi hari ini tidak mengira jantina, bayi dibunuh dan ditinggalkan. Kenapa? Pernahkah kamu mendengar, janganlah kamu menghampiri zina? Bagi umat Islam, saya yakin dan pasti semua orang tahu, berzina itu adalah salah satu dari dosa-dosa besar. Ada beberapa faktor yang menyebabkan berlaku perbuatan terkutuk ini antaranya pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sehingga amat sukar dikawal, pengabaian daripada ibu bapa, ceteknya pengetahuan agama, hidup dalam serba mewah, sukar menerima nasihat dan paling ketara yang saya perhatikan tidak melaksanakan solat bahkan lebih memalukan solat jumaat pun buat endah tidak endah sahaja.

Mencari penyelesaian bagi sesuatu masalah bukannya memerlukan masa hanya hari ini bertazkirah esok terus berubah. InsyaAllah, saya akan cuba beristiqamah dalam menyampaikan apa yang termampu dalam usaha yang terbaik untuk sama-sama melunaskan tanggungjawab wajib ini iaitu dakwah. Saya cuba sampaikan sesuatu walaupun saya hanya tahu huruf A sahaja. Bukan bertindak bijak tetapi pesanan ini paling khusus saya tujukan pada diri saya yang juga lalai jika ia tidak diperingatkan selain dari pentarbiyyahan yang berkesan. Semangat telah terkesan sejak saya berada di bangku sekolah lagi walaupun saya bukan dari aliran sekolah agama.

No comments:

Post a Comment

al-quran

Listen to Quran

lawati juga