Friday, March 4, 2011

Terkenang semasa dulu

salam

Macam biasa juga rasanya hari ini, setiap kali khutbah aku tertidur, sudah empat kali begitu, yang hairannya setiap kali khatib baca doa pada khutbah kedua mesti sedar. kalau tanya isi khutbah memang aku tidak boleh jawab. Tidak dinafikan hari jumaat kali ini memang meletihkan, jadi tidak menghairankan jika aku tengok kawan-kawan aku tidak solat jumaat. Nak tegur lebih-lebih dah besar panjang malah ada yang lebih tua dari aku. Paling sukar bagi aku nak berbicara dengan orang yang tahu selok-belok agama tetapi tidak mengamalkannya. Nak patahkan hujah memang agak ketara susahnya. Jadi buatlah sekadar apa yang mampu, sindir dan berkias dalam menyampaikan tutur kata.

Hari ini tidak tahu kenapa tiba-tiba teringat senior-senior aku masa diploma. Mungkin hari ini aku senang sebab tu terkenang masa susah dulu. Masa aku dalam kesusahan mereka banyak membantu, tetapi hari aku rasa macam kehilangan. Tetapi aku belajar sesuatu yang amat berguna, pertamanya adalah bagaimana menghormati orang lain dengan cara yang sepatutnya. menilai orang bukan hanya dari segi paras mahupun rupa, tetapi kebaikan dan keikhlasan yang terpamer padanya. Sukar untuk mencontohi orang lain kerana ia sememangnya begitu. Aku juga terbaca tentang orang yang lahir pada bulan April sepertiku jenis yang berdendam, mungkin tidak bagi aku, sebab jika mahu marah, aku diam. Satu perkara lagi aku tidak percaya pada jenis ramalan sebegitu walaupun ia hampir tepat. Aku tidak boleh kata ia 100% tepat kerana takut ia sudah melangkau urusan ataupun ilmu Allah.

Selain itu, senior aku juga menunjukkan contoh saling melengkapi walaupun serba kekurangan, masa tu aku di semester dua, boleh dikatakan semester penuh ujian bagi aku. Mereka semuanya tujuh orang serumah dan aku orang yang ke lapan untuk sebulan. Pada mulanya aku segan nak pergi rumah senior sebab masa tu aku tak ada motorsikal, memang susah untuk ulang-alik kalau aku tinggal dengan mereka. Pada mulanya mereka suruh aku tinggal di rumah mereka untuk hari sabtu dan ahad sahaja, tetapi bila masuk hari isnin mereka mempelawa aku untuk tinggal sampai akhir semester. tambahan pula mereka di semester akhir. Masa aku mula menetap di rumah tu semester masih berbaki 5 minggu. Cuma satu je masalah yang aku hadapi masa tu, subjek yang aku ambil tak sama dengan senior aku. Aku telah create masalah untuk mereka, kelasku selalunya pagi seawal pukul 8, jadi jika mereka tiada kelas pagi, salah seorang akan hantar aku. biasanya pukul 12-3 aku tiada kelas, aku biasanya akan tidur sebentar di uwais al-qarni sementara tunggu kelas berikutnya. Aku bersyukur sebab dikelilingi orang yang baik, kadang-kadang aku tidak menyalahkan seseorang jika dia berperangai buruk sebab mungkin dia jadi begitu atas beberapa faktor.

Senior-senior aku sekarang semuanya dah bekerja, inilah dikatakan rezeki. Tetapi rugi bagi aku, lost contact, kenangan memang tersemat di sanubari tetapi nak bercerita agak sukar, memang inilah nasib orang yang susah nak berkongsi dengan orang, aku sangat kuat berpegang pada adat melayu yang satu ni, biar pecah di perut jangan pecah di mulut, aku tumpang gembira untuk mereka walaupun aku tidak tahu khabar mereka. Semoga mereka sihat-sihat sahaja, dilindungi, dirahmati dan dikasihi oleh Allah dan makhluk-Nya. Sukarnya nak cari seorang sahabat tetapi jika ada sahabat yang baik merupakan satu anugerah yang sangat bernilai, Di sekolah rendah aku ada sahabat yang baik sampai sekarang, semasa di PT aku ada sahabat yang baik, semasa di Kopu aku ada sahabat yang setia, Di jengka, aku masih ditemani oleh orang-orang yang memuliakan saudaranya. Di shah alam, belum tahu lagi, kerana perjalanan masih lagi panjang. Mungkin di sini aku perlu membina semula rumah bermula dari tapaknya. Life is like a journey.

Dalam minggu ini ada hari benar-benar letih dan ada hari yang terluang sehingga tidak tahu nak buat apa. Tetapi yang paling bahaya bagiku ialah masa yang terluang yang tdak terisi tu. Untuk cuti semester yang panjang ini, aku telah merancang untuk beberapa aktiviti, InsyaAllah harap-harap jadi la perancangan aku, kalau tidak satu lagi cuti semester akan dibazirkan begitu sahaja. Jikalah ada anugerah pembuang masa terbaik, aku rasa boleh apply, sebab aku rasa aku adalah antara calon yang sesuai. Kalah menang itu adat bertanding, tetapi siapa yang meletakkan diri mereka dalam keadaan sedemikian rupa, Kita hanya mahu yang baik-baik sahaja walaupun kita bukan dalam kalangan orang yang baik-baik, apatah lagi nak masuk dalam kalangan orang yang soleh.

Minggu ni aku rasa sangat malas nak mengikuti perkembangan semasa luar dan dalam negara, ini dek kerana aku rasa apa yang berlaku pada umat Islam hari ini agak berkecamuk, Dunia arab huru hara dengan revolusi, 40 tahun dahulu, muammar gaddafi mengambil alih proses tampuk pemerintahan daripada pemerintahan beraja kepada kerajaan republik melalui proses aman, tetapi kenapa apabila rakyat ingin meminta hak mereka dikembalikan perlu dibayar dengan pertumpahan darah, ini seorang lagi boneka yang tidak tahu hala tuju, ikut telunjuk barat. Walaupun Gaddafi diuar-uarkan tidak menguasai minyak negara itu, adakah ini satu muslihat? Kita tengok dan lihat sahajalah apa yang akan berlaku di Libya dalam beberapa hari lagi, memang diketahui yang Gaddafi seorang figura yang keras kepala dan berkuasa secara autonomi terhadap negaranya. Semasa beliau mengendalikan negara Libya, umurnya baru sahaja menjangkau usia 28 tahun. Satu lagi hak rakyat dinafikan. Bertuahnya si kuku besi.

sekadar itu sahaja untuk kali ini, sekian.

Mahasuci Allah yang menguasai (segala) kerajaan, Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang baik amalnya,Dan Dia Mahaperkasa, Maha Pengampun. (Al-Mulk: 1-2).

No comments:

Post a Comment

al-quran

Listen to Quran

lawati juga