Wednesday, October 7, 2009

di mana manisnya?

Salam.


Sudah lama agaknya jari-jemari ini tidak menyentuh papan kekunci laptop. Bukan ketandusan idea tetapi masa agak membataskanku untuk berceloteh lagi. Setelah syawal menjelma, banyak amalan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan yang berlalu, hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Kini persoalan yang ingin ku ajukan pada kalian di mana perginya kemanisan madu yang kita hirup sebulan yang lalu?

Adakah kita benar-benar menjadi hamba kepada Al- Khalid ataukah kita hanya menjadi hamba kepada Ramadhan? Jika Ramadhan yang lalu menjadikan kita terikat kepada masjid-masjid mahupun surau-surau terutama 10 malam yang terawal, suka menghulurkan derma,menjamu orang berpuasa walaupun hakikatnya kita seorang yang bakhil, rajin membaca al-Quran, bersengkang mata untuk ibadah qiamullail, solat berjemaah dan sebagainya. Di mana hilang serinya. Adakah dengan ketibaan Jin Notty dan Momok The Movie(filem yang ditayangkan pada syawal) menjadikan kita mudah melupakan kelazatan dalam beribadat.

Apakah kita menjadikan ramadhan yang lalu sebagai jalan untuk mencapai hidayah Ar-Rahman ataupun menjadikannya hanya sebagai hikayat?. Adalah sepatutnya ramadhan mentarbiyyah kita untuk menjadi manusia yang tertib dan istiqamah.

Sabda Rasulullah maksudnya,

“amalan yang terbaik kepada Allah ialah yang berterusan walaupun ia sedikit”

Kita seakan menjadikan amalan berpuasa hanyalah sebagai satu fenomena Ramadhan atau lebih tepat sebagai adat turun-temurun yang diwarisi oleh nenek moyang kita. Usah lagi menyatakan perihal juadah berbuka sudah pasti ia mewarisi tingkah laku syaitan dalam amalan pembaziran. Dalam isu yang membarahkan lagi umat yang mengaku Islam adalah mereka berpuasa tetapi meninggalkan solat, mereka sabar menahan lapar dari terbitnya fajar hingga terbenam matahari tetapi gagal menahan mata dari melihat perkara-perkara mungkar, gagal menahan lidah dari umpatan dan perkataan keji.

Benarkah kita adalah umat yang mensyukuri nikmat Allah? Adakah kita hendak tunggu Allah menarik balik kurnianNya barulah kita hendak menggapai kamus kehidupan untuk mencari maksud syukur? Atau kita menunggu keputusan Allah menggantikan kita dengan dengan kaum yang lebih baik?

Firman Allah yang bermaksud

"Dan jika kamu berpaling(daripada beriman,bertaqwa dan menderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak berkeadaan seperti kamu. (Muhammad:38)

Kita harus mengakui hakikat bahawa tidak ramai orang bersyukur dengan pemberian Ilahi. Kita lebih cenderung untuk mempersoalkan dan mengeluh atas sebab kekurangan-kekurangan yang kita perolehi. Bersesuaian lah dengan firman Allah yang bermaksud:

“Dan sememangnya sedikit sekali diantara hamba-hamba- Ku yang bersyukur. (Saba: 13)

Rasanya setakat ini sahaja yang ingin ku coretkan pada saat ini. Walaupun pada diriku masih lagi meninggalkan sejuta satu pertanyaan. Tapi pada realitinya ramadhan sudah berlalu pergi. Adakah berbaloi bagiku menyambut hari kemenangan di pagi Aidilfitri? Apakah masih ada lagi yang akan datang tersedia untuk aku? Adakah Allah menerima amalan-amalan ku selama ini. Masih terpahat di fikiranku dan pasti ia menjadi pertanyaan wajib untuk aku menterjemahkan setiap pokok persoalan yang timbul dalam benak fikiran insane yang daif ini. Apa yang pasti aku sangat merindui saat- saat indah bersama bulan Ramadhan al-Mubarak walaupun adikku selalu memanggilnya sebagai Ramadhan al-Murtabak. sekian

No comments:

Post a Comment

al-quran

Listen to Quran

lawati juga