Saturday, October 10, 2009

BENDA NI SENANG JE

Jika melihat pada apa yang ingin ku nukilkan, mungkin ini hanyalah satu catatan biasa. Sebahagian mereka mungkin memandang enteng tentangnya. Ada juga menyatakan bodohlah engkau ni, itu pun tak tau? Kau tak pernah belajar ke bro? sia-sia je ko masuk u, apa yang ko belajar kat sekolah dulu?Tapi bagiku ini adalah sesuatu perlu di pandang serius oleh setiap individu yang mengaku dirinya muslim. Bukan hanya meletakkannya hanya pada nama. Mungkin kita boleh berjenaka atau mengenakan sahabat-sahabat kita apabila melihat kesalahan atau kesilapan yang dilakukannya tapi lihatlah pada situasi ataupun keadaannya bagaimana.


Kadang-kadang bagi ku sendiri tiada apa yang perlu dirisaukan jika melibatkan perkara-perkara yang mungkin kelihatan simple seperti basuh tangan sebelum dan selepas makan, baca doa sebelum makan dan juga selepasnya, niat iktikaf ketika berada dalam masjid, selalu mengukir senyuman dan sebagainya. Banyak lagi amalan yang kita anggap biasa yang aku tidak nyatakan kerana jika aku berbuat demikian mungkin 100 muka surat pun belum sempat ku habiskan semua senarainya. Maksudnya di sini terlalu banyaknya amalan-amalan yang dalam sedar mahupun di luar sedar boleh mendatangkan pahala atau ‘pahala free’ kata orang kelate. Itulah buktinya sifat Ar-Rahman Allah yang selalu kita baca “Bismillahirrahmanirrahim” sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam bagi hambaNya yang bersyukur dengan melakukan solat fardu.

Tiada niat pun bagiku untuk tunding jari kepada sesiapa pun untuk cari siapa salah dan siapa betul. Al-maklum sahajalah siapa yang termakan cili dia yang merasa pedas dan siapa yang menghirup madu dialah yang menikmati kemanisannya. Aku teringat lagi kata-kata ustazku madu yang terbaik bukan senang nak dihasilkan, tapi kalau hempedu lagi senang nak dapat. Ranjau kehidupan pun begitulah juga, kita kena hadapi dulu perkara yang pahit untuk di telan sebelum kita dapat kemanisannya. Tapi ramai yang ambil jalan mudah, kalau naik kenderaan mesti nak guna jalan highway cepat sampai ke tempat di tuju. Kalaulah perjalanan ke syurga seperti jalan-jalan highway ni, senanglah nak masuk syurga. Tapi kenapa kita perlu melalui jalan yang berliku untuk sampai ke syurga. Renunglah kata-kata Amirul Mukminin Saidina Umar,” jika semua ke syurga kecuali seorang, aku bimbang seorang itu adalah aku”. Tahukah kita Umar adalah salah seorang daripada 10 orang yang dijamin Rasulullah S.A.W akan masuk syurga. Bagaimana dengan kita sahabat- sahabat sekalian? Anda yakin masuk syurga?

Seusia ini aku jarang mendapat teguran atau nasihat daripada sesiapa sahaja bermula dari kedua orang tua ku hinggalah kepada sahabat-sahabatku. Adakah aku tidak pernah buat salah? Aku bimbang akan timbul perasaan riak pada diri yang naïf ini. Pernah juga aku cerita kebimbanganku kepada sahabat yang aku percayai agar aku sentiasa berada di landasan yang benar. Sebelum aku memperbetulkan orang lain adalah lebih elok aku perbaiki kekurangan yang sering menggelisahkan aku di saat aku lena di ulit mimpi dunia yang mengasyikkan. Terkadang aku tercari-cari ke mana hala tuju yang perlu aku tempuhi.

Jika aku nak bercerita, aku tidak pandai untuk menulis cerita-cerita kerana daya imiginasi aku agak rendah. Aku tidak menggemari membaca novel, jadi agak sukar untuk ku mengungkapkan ayat-ayat puitis kerana bagiku ayat-ayat Allah lebih indah bahasanya. Jika diberi tugasan sekolah berbentuk karangan, aku lebih rela membuat karangan berorientasikan rencana kerana aku menggemari karangan yang sarat dengan fakta. Apa yang jelas fakta dari ayat-ayat al-Quran pasti benar dan tiada lagi keraguan padanya. Aku juga cuba memahami intipati sebenarnya apa yang di maksudkan dengan beriman dengan kitab ?. adakah hanya sekadar melafazkannya sahaja bersama dengan sedikit bacaan terhadapnya?

Aku rasa setakat ini yang mampu aku catitkan pada saat ini. Aku merasakan jiwaku tidak serasi dengan apa yang ingin ku sampaikan. Aku mohon seribu kemaafan seandainya aku menghalakan segala pertanyaan yang aku sendiri sukar untuk menghuraikan kemelutnya

No comments:

Post a Comment

al-quran

Listen to Quran

lawati juga