Tuesday, August 24, 2010

Bolehkah aku bersuara

Saban minggu orang memperkatakan tentang masalah pembuangan bayi, masalah gejala remaja yang semakin hari semakin membarah seolah tempat yang luka terus dicurah dengan cuka. pedih dan teramat sakit bila mengenangkan betapa bermasalahnya umat akhir zaman ini. aku bukan ingin menambahkan lagi luka yang sudah lama terpalit, tetapi aku sebagai remaja yang semakin hari semakin berusia dan bertambah matang sejajar usia yang aku lalui mengakui amat risau dengan perkembangan yang tidak sihat ini.

Sudah banyak cadangan yang dikemukakan untuk mengatasi masalah ini seakan-akan orang yang batuk diberikan ubat demam, jika sembuh pun ia tidaklah begitu ketara. tetapi yang apa yang berlaku ia semakin kuat batuknya dan bukannya semakin beransur pulih. Antibiotik yang diberikan belum cukup untuk meredakan keadaan apatah lagi menyembuhkannya. usahlah terus menyuntik ubat jika punca penyakit tidak ketahui kerana ia akan bertambah parah keadaannya.

Jika ada suara-suara yang mengajak sudah tiba masanya untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, maka pemuka-pemuka munafik akan lantang bertempik bahawa orang yang mengajak manusia kepada agama hanyalah retorik politik semata-mata. si munafik tiada akan pernah serik untuk memperbodohkan orang disekelilingnya. biarkan si munafik itu bodoh bersendirian, orang muslim berpuasa, mereka juga berpuasa, orang Islam solat, mereka juga ada yang solat, tetapi apabila orang-orang Islam inginkan kepada Islam keseluruhan maka mereka mulalah memutarkan corong-corong radio mereka melempar apa sahaja fitnah bagi menggagalkan usaha kembali kepada Islam itu sendiri.

Pada bulan yang bakal menyaksikan negara bakal menyambut bulan kemerdekaan sebagai simbolik bebasnya negara dari belenggu penjajah tetapi malangnya pemikiran terus terjajah dan gejala sosial yang tidak pernah menjaminkan pemulihan. Adakah kemerdekaan sebegini dimahukan. kita mensyukuri nikmatnya kemerdekaan dan menghargai jasa-jasa pejuang-pejuang tanah air bagi menuntut kemerdekaan dari pihak imperialis dan kolonialis tetapi adakah perjuangan hanya terhenti di sini sahaja?.

bilakah fenomena masalah keruntuhan akhlak ini bakal berakhir? jawapannya bukan terletak kepada usaha individu tetapi perlu digembeling tenaga dari sepelusuk masyarakat. Di manakah buktinya periktirafan dari Allah dalam surah Al-Imran yang mengatakan kita umat terbaik? Aku tidak akan meletakkan cadanganku kerana kita semua dikurniakan akal untuk berfikir dan membezakan baik buruk. rujuk lah jugak surah Al-A'raf yang menemplak orang yang dikurniakan mata tetapi tidak mahu melihat, dikurniakan telinga tetapi tidak mahu mendengar dan mempunyai hati tetapi tidak mahu mengingati Allah, mereka seperti haiwan ternakan bahkan lebih sesat lagi.

No comments:

Post a Comment

al-quran

Listen to Quran

lawati juga