Friday, August 6, 2010

untuk sahabat, teman, rakan seperjuangan.

salam alaik.

ketika menunggu laungan azan zohor berkumandang, teringat pula akan memori bersama teman-teman sekalian. nostalgia lalu membuahkan bibit senyuman mengingatkan kenangan yang menggamit memori suka duka suatu masa dahulu. ada yang masih lagi bersama ketika ini dan ada juga yang sudah pun meneruskan haluan masing-masing dengan kehidupan yang baru di alam yang baru. tidak lupa juga ada yang telah pergi menghadap Yang Maha Kuasa. Al-fatihah buat yang telah pun pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. kenangan yang kalian tinggalkan masih utuh terpahat di hati.

tinggal beberapa hari lagi kita bakal menyambut kehadiran Ramadhan Al-Mubarak. bulan yang menjanjikan sejuta transfomasi bagi sekalian umat Islam. bulan yang menyediakan peluang ibadat yang tidak ada pada bulan yang lain antaranya solat terawih, malam lailatul qadr, pahala yang berlipat ganda dan mungkin ada lagi yang tidak saya nyatakan. saya juga mengharapkan tahun ini mampu menghadirkan puasa yang terbaik kerana bimbang andainya ini adalah ramadhan terakhir bagi saya. seperti mana yang saya selalu yakinkan diri saya bahawa saya tidak tahu bilakah ajal akan datang menjemput, pada waktu yang mana malaikat maut mencabut nyawa dan selalu mengingati mati kerana izrael datang kepada kita sebanyak 70 kali sehari menjenguk kita.

buat sahabat, jadikankanlah Ramadhan kali ini juga terbaik untuk kalian, bagi yang selalu mengabaikan solat fardu, tunaikanlah kerana puasa kalian adalah sia-sia jika kalian tidak melaksanakan tugas penting 5 kali sehari ini. kalian juga adalah pemegang kunci pintu syurga kerana kalian melafazkan kalimah agung, iaitu kalimah tayyibah atau lebih sinonim dengan kalimah syahadah. jadi mengapa kalian masih ragu-ragu lagi untuk melunaskan tanggungjawab kalian? saya sekadar berpesan kerana pesanan ini pasti sampai kepada saya dahulu kerana telinga saya lebih dekat dengan mulut yang mengucapkan kata-kata itu. gunakanlah peluang ini kerana ianya hanya datang sebulan dalam setahun. setiap kali saya membaca kisah-kisah sahabat Rasulullah s.a.w, mata saya selalu mengalirkan air mata kerana mereka menginginkan seboleh-bolehnya hari-hari adalah Ramadhan kerana ganjarannya tidak diberikan pada bulan-bulan yang lain.

tidak banyak yang ingin saya kongsikan pada kali ini. saya menulis ruangan ini kerana kesedaran atas diri saya atas tanggungjawab yang ada iaitu nasihat-menasihati pada kebaikan dan jua pada kebenaran. saya juga tidak tahu bagaimana ingin mengakhiri artikel pada kali ini. ibarat air mengalir laju tetapi terhalang dek lereng yang tertimbus oleh batuan. saya ingin terus melontarkan idea tetapi terhalang oleh kerja yang harus juga diutamakan. serasanya cukup sahaja buat kali ini. mohon seribu ampunan kemaafan jika ada tersalah dan tersilap kata dan juga pergaulan. buat anda sekalian selamat menghadapi bulan ramadhan, bulan tarbiyyah yang terbaik bagi kita supaya kita menyambut aidul fitri pada fitrah yang nyata lagi suci.

No comments:

Post a Comment

al-quran

Listen to Quran

lawati juga